Manage PermissionsManage Permissions

Cambahan idea syahdu berpuput

13/12/2015

cetusan minda

Bilangan 128

CAMBAHAN Idea Syahdu Berpuput adalah nama tajuk bab 16 muka surat 561daripada buku karya penulis bertajuk 'Menyusur Zaman : Biografi Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin' jadi perisian cetusan minda kali ini. Penulis mengajak khalayak untuk sama-sama menyelusuri buku ini. Sesiapa yang belum baca, tolong jenguk ke perpustakaan-perpustakaan yang terdapat di negara ini. Mari kita ikuti bersama membacanya, terima kasih :

''Mohd. Hasaan Haikel, seorang tokoh wartawan terkenal dari Mesir bekas ketua penyunting akhbar harian arus perdana Mesir, iaitu Al-Ahram berpendapat bahawa kita memisahkan berita dan pendapat serta buah pemikiran hanya dalam rupa, cara bagaimana ia dipersembahkan dan mencermin kedudukan tertentu yang perlu kita akur. Begitu juga tentang minda dan hala tuju pemikiran sesorang itu.

''Katanya, tidak terdapat sebarang akhbar di dunia yang liputannya tidak diperindah oleh cambahan idea disebabkan oleh sesebuah kedudukan politik atau lain-lain seperti persekitaran dan budaya setempat. Tidak dapat berdiri seorang insan, tidak dapat wujud seorang 'individu' atau 'tokoh' jika ia mengetepikan alam persekitarannya, jika ia cuba lari dari alam persekolahan dan persekitaran pendidikannya.

''Sehubungan itu, Mohd. Zain dalam meniti kehidupan dari alam kanak-kanak, persekolahan di Singapura, pembelajaran di Kolej Islam Malaya dan pengajian tingginya di Universiti Al-Azhar, Mesir serta kegiatan berpersatuan dan gigihnya berkarya sesungguhnya amat mempengaruhi caranya berfikir, caranya merancang, caranya bertindak dan caranya melaksana. Cambahan idea dicerna, dikalinga serta dianalisis secara kritis. Ia berasas kepada fakta, sejarah dan penelitian demi penelitian yang lutanan.

''Nah, begitulah juga halnya dalam penulisan buku saya yang bertajuk 'Menyusur Zaman : Biografi Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin' ini. Ia diadun melalui pengalaman, pengamatan, bancuhan pendidikan yang diterima, pembacaan di samping pengaruh budaya pergaulan setempat, serantau dan pendedahan pergaulan di peringkat antarabangsa. Semua ini mempengaruhi cara pendekatan dan pengolahan buku ini. Budaya setempat juga berperanan dalam hal ini bahkan sejarah negara masa lalu dijadikan titik tolak percambahan idea. Dan percambahan idea indah terus syahdu berpuput selagi bernafas.''

Kan halnya ternyata Mohd. Zain begitu pemedulian dan terserlah sifatnya yang bersedia bila-bila masa membimbing dan menasihati di samping sikap keisikannya seringkali mempelawa rakan sekerja, perkumpulan-perkumpulan dan institusi sosial lainnya makan malam di rumahnya. Di situ percambahan berlaku, alhamdulillah.

Sebenarnya sifat pemurah ini sudah mendarah daging dalam diri Mohd. Zain. Dalam peluang-peluang serupa inilah interaksi sosial dan percambahan idea berlaku. Nah, pada malam-malam tertentu kami berlima, iaitu Mohd. Zain sendiri, Haji Md. Ali bin Haji Abdul Razak, Pengiran Julaihi bin Dato Paduka Pengiran Othman, Haji Muhammad bin Haji Jambol dan penulis sendiri begitu mesra dan penuh bersefahaman bernada semangat berpasukan ketika meneliti teks atau manuskrip di samping melakukan pemilihan gambar-gambar untuk dimuatkan dalam buku 'Menyusur Zaman : Biografi Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin'. Buku biografi ini adalah hasil karya penulis. Manakala Pengiran Julaihi, Haji Mohd. Ali dan Haji Muhammad mereka yang tiga adalah bertindak selaku penyemak cum penyunting manuskrip buku ini. Mereka bertiga juga adalah pemilik publishing yang mencetak buku ini.

''Sebetulnya gambar-gambar yang hendak dimuatkan dalam buku itu sudah pun dipilih. Tugasan yang berlandaskan semangat berpasukan pada malam-malam itu ialah bagi menambah gambar-gambar yang bersesuaian untuk dimuatkan dalam buku berkenaan. Begitu harmoni malam itu. Sambil memilih gambar kami bergurau senda hinggakan pemilihan gambar-gambar itu dapat dilakukan dengan sempurnanya. Ternyata sikap keterbukaan dan toleransi tinggi Mohd. Zain terserlah. Di tengah tugasan itu kami berlima sama-sama makan malam di rumah kediaman rasminya itu, lepas itu kembali semula memilih gambar. Bagi kami ini pengalaman kerja dan tugasan yang sungguh istimewa, dan mempunyai merit tersendiri untuk dilorekkan dalam buku ini.

''Bagi penulis secara peribadi pula, ini adalah tambahan titian kehidupan penulis yang secara tidak langsung adalah di bawah asuhan dan didikan Mohd. Zain ketika penulis giat berkecimpung dalam Majlis Belia-Belia Brunei (MBB). Menariknya pada malam itu (6 Januari 2004), selepas beredar balik dari rumah kediaman rasmi Mohd. Zain, kami berempat tidak terus pulang ke rumah masing-masing. Kami singgah di salah sebuah medan selera yang terletak di Jalan Gadong sehingga larut malam.

Di salah satu meja bulat di medan selera itu (restoran) kami, iaitu Haji Md. Ali bin Haj Abdul Razak, Pengiran Julaihi bin Dato Paduka Pengiran Othman, Haji Mohammad bin Awang Haji Jambol dan saya meneruskan lagi percambahan fikiran mengenai buku yang bakal diterbitkan itu. Nah, percambahan idea di kalangan kami berempat pun terus berpuput lembut, sesyahdu hembusan bayu malam merentangi kemanisan dan keharmonian tugasan berpasukan dalam menghasilkan buku 'Menyusur Zaman : Biografi Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin'.

''Sesungguhnya idea kebebasan meluahkan pendapat adalah menjadi suatu kesedaran dalam bidang komunikasi kerana sebagai sifat jasmani dan rohani, kebebasan idea sering tidak dapat lepas dari kegiatan manusia, hubungan antara sesama individu, dan antara individu dengan persekitaran dalam membina sistem ekonomi dan politik bagi meneruskan kehidupan. Kebebasan mengeluarkan pendapat juga adalah elemen asas dalam membentuk hubungan antara manusia malah idea kebebasan intelektual dan perhatian dalam soal kekebasan berfikir adalah rangkaian yang bercambah dalam budaya.

''Pada dulu kala, ya ribuan tahun yang lalu, sejarah komunikasi dan sejarah kebebasan berfikir sering menekankan kepada kemajuan gaya, isi dan bentuk. Pergelutan untuk mendapatkan kebebasan berbicara, kebebasan menulis dan seumpamanya adalah merupakan pergelutan kumpulan dan individu terhadap lingkungan politik. Pengalaman orang Greek, misalnya, dengan kekebasan berbincang dan berbicara, jikalau diukur dari ukuran arena politik, retorik merupakan pelajaran utama dalam pendidikan.

John B. Bury dalam bukunya 'A History of Freedom Thought' (Greenwood Press, N.Y., 1975) telah menukilkan pendapat Plato melalui bukunya bertajuk 'Apology for Socrates' bahawa Plato telah menulis satu kekuatan hujah untuk kebebasan berfikir dan perbincangan awam apabila beliau berpendapat : ''Pada diri saya, ada kritik perangsang, hujah yang tetap dalam pembujukan, celaan, kukuh dengan ujian pandangan anda dan cuba menunjukkan tentang apa yang patut anda tahu. Perbincangan harian tentang hal-hal itu merupakan sesuatu yang terbaik bagi orang lelaki. Hidup tanpa perbincangan adalah merugikan.''

''Sebetulnya, komunikasi baik dalam apa bentuk sekalipun (percakapan, penulisan dan lain cara penyampaian seperti bahasa badan dan bahasa isyarat) adalah idea dari aspek dialektik dan retorik. Bahasa merupakan alat utama dalam dialog manusia, bukan sahaja melalui perkataan dan simbol, malah juga melalui penglibatan seluruh individu atau kumpulan dalam proses komunikasi. Pengucapan awam atau komunikasi massa pada awal pertumbuhan dibina secara sistematik oleh ahli sufi termasuk ahli-ahli fikir Islam yang terkemuka seperti Al-Farabi, Ibn Sina, Imam Al-Ghazali, Ibn Rushid dan Ibn Khaldun yang mencernakan retorik sebagai salah satu pelajaran yang penting dalam pendidikan lalu banyak mempengaruhi aspek kehidupan dalam masyarakat. Bahasa adalah sebagai ciri utama dalam hubungan manusia dalam soal kemasyarakatan dan budaya bagi satu masyarakat dalam satu daerah atau wilayah tertentu dan ini sering berubah dengan pengaruh pemikiran dan tingkah laku asing.

''Dalam hal ini, seseorang pasti menilai kebudayaan kebangsaan sebagai proses akultrasi secara tidak putus-putus yang memberi kesan langsung dalam soal sistem komunikasi. Lapipun, jika seseorang melihat bahasa bukan sahaja sebagai alat teknikal dan pembangunan kebudayaan seseorang individu dan masyarakat, tetapi juga sebagai kayu pengukur pemikiran sosial dan cara berfikir seseorang, kajian perbandingan boleh memberi maklumat berguna tentang proses pemahaman yang lebih baik terhadap pemikiran asing dan kebiasaan politik sesebuah negara lain. Begitulah juga halnya dengan buku ini. Kita serahkan kepada pembaca untuk menilainya dan siapa Mohd. Zain sebenarnya. Mohd. Zain siapa?

''Dalam mencambahkan pemikiran ialah mengetahui dan memahami ilmu secara global atau secara menyeluruh untuk membolehkan kita memperluas tanggapan atau persepsi kita tentang hakikat hidup dan perkembangan yang berlaku setiap hari di persekitaran kita, untuk membina pandangan hidup yang luas dan menghindari diri daripada menjadi mangsa kejahilan dan kepalsuan atau memutar belit maklumat yang kerap berlaku, bukan sahaja melalui media massa (cetak dan elektronik malah internet atau maya siber), tetapi juga dalam beberapa banyak buku yang dikatakan berasas ilmu. Nah, apa gunanya pendidikan contahnya jika para graduan ''tidak tahu membuat kerja'' dan tidak dapat ''mengaitkan dirinya dengan dunia realiti.'' Ini hakikat, sahabat. Terdapat siswa atau graduan yang pandai bercakap, petah berhujah dan cekap mengkritik tetapi, maaf cakap, malas untuk berfikir matang dan serius, malas untuk bekerja, malas untuk melaksana bahkan berlagak jahil dungu untuk merealisasikan rancangan bermanfaat.

''Dalam Islam, manusia adalah dianggap khalifah Allah di dunia. Dijadikan Allah sebagai makhluk yang sebaik-baiknya, yang diperintahkan untuk mentadbir manusia dan diri sendiri menurut sunatullah atau peraturan Allah. Dunia dan alam semesta ini diciptakan Allah untuk kebaikan dan kegunaan manusia. Dan bagi Mohd. Zain, ilmu yang didapat baik secara formal mahupun tidak formal (contohnya melalui konteks sosial atau pergaulan dan seumpamanya) adalah alat kemajuan untuk kebaikan manusia dan alam. Kerana dengan ilmu sahaja Islam dapat menentang kejahilan yang sering menjadi punca kerosakan moral dan pemikiran manusia. Fikir-fikirlah.

''Islam memberi kebebasan yang cukup luas dan rasional kepada manusia untuk mencapai kecemerlangan, dan mereka boleh maju semaju-majunya dalam semua bidang kehidupan di dunia di samping untuk kemajuan ummah dan bangsa. Hal ini nampaknya dimanfaatkan oleh Mohd. Zain dengan sebaik-baiknya. Mohd. Zain sebagai ketua yang memimpin tahu secara pasti apakah konsep dan bentuk kemajuan negara dan inti pati sebenar kehidupan yang harus dinikmati dan diamalkan oleh warga yang menghuni di tanah airnya kerana bagi Mohd. Zain semuanya datang daripada petunjuk Allah. Lalu usaha dan kemajuan bangsa, agama dan tanah air bukan sahaja menjadi tanggungjawab bersama malah menjadi tanggungjawab orang perseorangan. Orang perseorangan yang pertama-tama harus menjadi khalifah dirinya sendiri.

''Pendek kata, dalam Islam, kemajuan manusia dan kemajuan negara bangsa serta masyarakatnya adalah bersepadu, tidak terasing-asing. Tidak terpisah-pisah. Kerana itu apabila negara mengisytiharkan kemerdekaan sebagai negara yang berdaulat pada 1 Januari 1984, tiga unsur penting di dalamnya tidak dapat dipisahkan, iaitu Melayu, Islam dan Beraja.

''Pemikiran Melayu Islam Beraja ini sebenarnya terpancar segar dalam pemikiran Mohd. Zain, seorang lulusan Universiti Al-Azhar. Dan buku ini (Menyusur Zaman: Biografi Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin) tidak pernah lari daripada hakikat pemikiran ini. Sesungguhnya pola pemikiran Melayu Islam Beraja ini juga terpagat kukuh dalam minda seorang lagi lulusan Universiti Al-Azhar, iaitu Haji Badaruddin bin Pengarah Haji Othman. Hal ini dapat dibuktikan melalui gerakan-gerakan penerangan dan dalam sesi perjumpaan dengan khalayak, iaitu orang ramai dalam era pra-merdeka yakni 1981 - 1983 (ketika itu Haji Badaruddin adalah Ketua Pegawai Penerangan, Bahagian Penerangan, Jabatan Setiausaha Kerajaan), dan sesudah kemerdekaan yakni 1984 - 1985. Haji Badaruddin cukup berperanan ''secara altif dan proaktif'' dalam mencorak, membahana, membincang, menghurai dan menjelaskan pemikiran negara Melayu Islam Beraja. Ketika itu penulis adalah salah seorang pegawainya. Berkhidmat sebagai pembantu akhbar di Bahagian Penerangan,
Jabatan Setiausaha Kerajaan. Satu jawatan baru yang diwujudkan. Sebelum itu penulis adalah pegawai kanan di Jabatan Imigresen. Bebasah bakaring ke hulu ke hilir berjumpa khalayak dalam gerakan 'perang urat saraf' ke arah menerapkan pemahaman tentang negara Melayu Islam Beraja. Alhamdulillah.

''Natijah daripada gerakan 'perang urat saraf' yang dilakukan oleh Bahagian Penerangan, SUK itu ialah secara langsung dan tidak langsung turut menyumbang kepada negara bangsa hidup dalam keadaan yang aman dan sejehtera. Kita lalui kemerdekaan dalam suasana yang harmoni.

''Sesungguhnya status dan corak sebenar Brunei sepanjang sejarahnya tidak pernah luput daripada hakikat sebagai sebuah negara Melayu yang mempunyai kerajaan secara berpemerintahan beraja dengan mendapat pengaruh serta unsur yang kuat daripada ajaran Islam sebagai ciri terpenting rakyat dan kerajaan.''

Demikianlah sebahagian daripada episod dalam Bab 16 buku ini yang dikarang oleh penulis. Dan untuk sekian kalinya penulis memohon doa agar penulisan buku ini diberkati oleh Allah. Dan mampu memberi manfaat kepada sesiapa sahaja yang berpeluang membacanya, InsyaaAllah. Apa lagi bacalah buku biografi ini, pergilah ke perpustakaan awam atau perpustakaan institusi-institusi pendidikan yang terdapat dalam negara ini, buku ini ada di situ.

Malah ketika penulis berkunjung ke Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur, buku ini ada juga di situ bagi membolehkan orang meminjam dan membacanya. Terima kasih kerana luangkan masa membacanya. Alahai, belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah datang. Perumpamaan ini bermaksud orang yang faham kehendak sesuatu isyarat.

Attachments