Manage PermissionsManage Permissions

Aduhai, banyak kenangan mengimbau di Temburong!

30/10/2015

cetusan minda

Bilangan 126

MAHAMIRU, nama pena bagi Cikgu Haji Daud bin Taha menitipkan sisipan mayasiber pada 14 Julai 2015 tentang pengalaman seorang penumpang kapal terbang tambang murah dari Kuala Lumpur ke Bandar Seri Begawan. Sisipan itu dimuatkan dalam kumpulan kami. Terima kasih, Mahamiru. Dengannya banyak kenangan manis, lucu, geram semasa kami masih bujang tinggal di Rumah Persinggahan, Temburong pada akhir tahun 1968-an. Ketika itu penulis adalah pegawai sementara manakala dia adalah guru lepasan daripada Maktab Perguruan Melayu Brunei. Aduhai betapa sayangnya, maktab yang pernah melahirkan banyak guru berwibawa ini sudah tiada! Di mana silapnya?

Mahamiru banyak mengetahui tentang kenakalan dan ''gauk'' penulis ketika itu. Maklumlah, bujang. Kami sama-sama bujang. Malah dia pun tahu penulis pernah mengutus beberapa pucuk ''surat cinta'' kepada guru terlatih yang sama mengajar dengannya. Faham-faham sahajalah, sahabat! Aduh, kenapa terkidum. Penulis tidak bertepuk sebelah tangan. Tapi ya ialah rezeki, jodoh dan maut adalah ketentuan Allah jua. Manusia hanya merancang tapi Allah Yang Maha Perancang. Alahai…!

Cikgu Daud (tika itu belum lagi naik haji) ini masa bujangnya adalah seorang penyair dan penulis cerpen. Dulu rajin menghasilkan puisi bernada romantis, tetapi seperti ''mengantung pena'' setelah jadi pensyarah di Universiti Brunei Darussalam sebaik lulus ijazah dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Penulis masih ingat pada tahun 1967 (jika tidak silap, 1968) Radio Brunei menganjurkan peraduan menulis cerpen sempena perpuspaan. Daud Taha dapat nombor dua. Nombor satu ialah Ahmad Arshad, dan nombor tiga ialah Leman Ahmad. Cerpen-cerpen yang menang itu kemudiannya dikumandangkan melalui Radio Brunei, yang dibacakan oleh juruhebah ketika itu.

Penulis juga ikut serta peraduan ini, tetapi lucunya penulis hantar cerpen dalam bahasa Inggeris, bukan cerpen dalam bahasa Melayu. Apa lagi seorang pegawai kanan di Radio Brunei, Yusof Abdul Kadir, terus menghubungi penulis dan desak penulis supaya menulis cerpen itu dalam bahasa Melayu. Geram-sayang betul dia walhal seingat penulis dalam syarat peraduan tidak ada syarat yang mengatakan cerpen hendaklah ditulis dalam bahasa Melayu. Mungkin pihak penganjur terlepas pandang! Penulis yang ketika itu rajin dan gemar baca buku-buku cerita terutama novel dalam bahasa Inggeris tergerak hati menulis cerpen dalam bahasa Inggeris.

Cerpen yang dihantar dalam bahasa Inggeris ialah secebis kisah kehidupan di Temburong yang penulis alami ketika itu. Yusof Haji Abdul Kadir dan juruhebah Abu Bakar Ahmad mencabar penulis agar menulis langgam suara dan sandiwara radio dalam bahasa Melayu jika mahu jadi penulis. Penulis sahut cabaran itu. Maka keluarlah langgam suara dan sandiwara radio penulis di Radio Brunei. Saku poket penulis pun bertambah jua kerana Radio Brunei memberi bayaran setiap sumbangan karya yang disiarkan waima agak lambat bayaran itu diterima. Kenangan manis, dapat jua belanja kawan-kawan! Seingat penulis hampir 70 buah langgam suara dan sandiwara yang dapat penulis hasil dalam tempoh lima tahun

Oh kebetulan ketika itu penulis sedang belajar cara-cara mengarang dalam bahasa Melayu melalui pos dengan sebuah institusi penerbitan di Kuala Lumpur Karangan-karangan yang ditulis itu dihantar ke situ, dan pihak penyunting mengembalikan semula kepada penulis untuk dibetulkan. Aduhai, begitu banyak tatabahasa Melayu salah. Pendek kata dalam setiap ayat yang penulis lakar itu mesti ada yang salah. Penulis selalu tunjuk kertas-kertas pembetulan dari pihak penyunting luar itu kepada Daud Taha, dan dia hanya tersenyum tapi menepuk bahu penulis agar jangan berputus asa. Terima kasih, sahabat.

Sebetulnya masa itu penulis rajin membaca buku dan novel dalam bahasa Inggeris kerana buku-buku dalam Bahasa Melayu sukar diperolehi. Lagipun ketika jadi penuntut di Maktab Sultan Omar 'Ali Saifuddien penulis rajin ke Bilik Khutub Khanah (tika itu belum disebut bilik perpustakaan) baca dan pinjam buku-buku cerita dalam bahasa Inggeris. Malah dalam pertandingan menulis karangan (sekitar 2000 patah perkataan) dalam Bahasa Inggeris yang dibukakan khusus kepada penuntut sekolah menengah aliran Inggeris pada tahun 1965, penulis muncul sebagai pemenang pertama dengan karangan yang bertajuk ''Water Village''. Kehidupan masa remaja di Kampong Ayer jadi tema karangan itu. Hadiahnya ialah wang tunai $25.00 yang ketika itu merupakan jumlah wang yang tinggi nilainya. Bayangkan wang saku sekolah pada ketika itu hanya 50 sen, itu pun jarang-jarang ada.

Karangan penulis ini dimuatkan dalam majalah tahunan Maktab SOAS tahun 1966. Dengan hadiah itu penulis beli sebuah novel dalam bahasa Inggeris yang berharga $7.00. Nah, dari situlah bermulanya penulis rajin membaca buku cerita dan novel dalam bahasa Inggeris. Dua tiga tahun selepas itu baru tah rajin baca buku dalam bahasa Melayu. Sebahagian daripada gaji yang diterima itu dikhususkan untuk beli buku dan novel Melayu dan Inggeris. Malah jadilah penulis kutu buku.

Penulis masih ingat Cikgu Daud Taha ini gemar memasak lauk dengan hanya gunakan asam, sedikit perasa, garam…..woooh sedapnya habis nasi dua pinggan. Ketika itu sering kami makan sama-sama. Pernah satu ketika Daud Taha dan Ismail (seorang guru) makan belutak. Omar Johari, inspektor Cawangan Khas yang sama-sama tinggal di Rumah Persinggahan itu agak terkejut dengan berkata, ''Hah….kamu makan ular!''. Penulis pun juga berperasaan sama kerana tidak pernah nampak dan tahu benda yang bernama belutak. Dan kami semua ketawa terbahak-bahak meskipun terasa geli dan 'kambang liur'.

Rumah Persinggahan yang terletak di Kampung Menengah itu adalah sebuah bangunan kayu mempunyai enam buah bilik (bilik bujang), dengan beranda menganjur ke depan dan belakang. Tiap-tiap petang sembang-sembang di beranda. Kami tinggal di bilik berasingan tetapi sering makan sama-sama, maklum sama-sama bujang. Ketika itu Omar Johari, penulis, Daud Taha, Ismail dan seorang pegawai pertanian berbangsa Filipina bernama Emilio juga tinggal di situ. Sebuah bilik lagi kosong. Besar bilik itu ialah sekitar 14 x 14 kaki saja. Di sebelah kanan Rumah Persinggahan itu ialah kawasan kubur puak Murut, dan di sebelah kirinya ialah jambatan kecil yang menghubungkan Kampong Menengah ke Bangar. Dapur bilik kami sebesar dua kaki pula menghala ke Sungai Temburong.

Zaman itu bila disebut daerah Temburong, mereka yang tinggal di luar daerah itu menganggap sebagai satu daerah yang terpencil. Temburong diandaikan sebagai daerah yang begitu jauh seolah-olah terletak di benua lain atau jauhnya beribu-ribu batu. Tanggapan ini mungkin ada benarnya! Tika itu belum ada perahu motor tambang. Lagipun zaman itu Temburong masih lagi ''kawasan hitam'' atau kawasan bahaya kesan dari kekacauan berdarah yang meletus pada awal bulan Disember 1962. Mungkin, hanya orang-orang Brunei yang cekal hati saja mahu bertugas di Temburong pada masa itu!

Satu-satunya cara untuk sampai ke Temburong (sama ada hendak ke Labu, Pandaruan dan Bangar) ialah dengan menumpang motor sangkut kepunyaan Jabatan Pos (seminggu sekali), atau dengan motorsangkut Jabatan Pelajaran (panjang dan beratap) atau menumpang dengan pemilik-pemilik motorsangkut kepunyaan Ah Kuang, Lian Kiat, iaitu taukeh kedai runcit.

Numpang motorsangkut Jabatan Pos berbentuk bidar ini mengambil masa sekitar satu jam setengah, dan beratap, digerakkan oleh enjin 28 kuasa kuda model Johnson. Manakala motosangkut Jabatan Pelajaran lebih daripada dua jam; merupakan sebuah gubang besar yang panjang dan beratap serta digerakkan oleh enjin 28 kuasakuda jua. Kerana panjang dan berat, perjalanannya lidut.

Terdapat juga motor sangkut taukeh-taukeh kedai ini yang laju, dan dari Bangar ke Bandar Brunei boleh sampai dalam satu jam kerana digerakkan oleh enjin 80 kuasa kuda model Evinrude atau Mecury. Jabatan Daerah Temburong memang mempunyai motor sangkut sendiri yang digerakkan oleh dua buah enjin 60 kuasa kuda setiap satu. Laju dan sekitar 45 minit saja untuk pergi ke Bandar Brunei dari Bangar. Itu untuk kegunaan Pegawai Daerah saja!

Mengenai dengan kisah di Temburong ini, teruja penulis ulangbaca whassapp dari sahabat penulis, penyair Ibnu 'abdir-Raheem, nama pena Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Haji Ghani yang penulis panggilnya sebagai kanda. Dia ini lulusan University of Lancaster, London (1978) setelah ''ditamatkan tanpa kerelaan diri sendiri'' pengajiannya di University Malaya. Senghaja penulis sebut ''ditamatkan'' kerana sahabat ini bersama dengan penuntut-penuntut lain di Malaysia ''ditarik balik pulang ke Brunei'' pada 21 Nobember 1973, iaitu kira-kira sebulan sebelum menduduki peperiksaan akhir bagi ijazah Pengajian Islam. Abang penulis, Dato Seri Setia Haji Md. Jali, pun terlibat dalam penarikan penuntut ini, ketika itu dia jadi siswa tahun akhir Universiti Kebangsaan Malaysia. Ini fakta, dan menjadi sejarah jika kita mahu menyelidik dan analisis tentang dasar biasiswa pendidikan negara! Mana-mana sajalah.

Kenangan-kenangan silam ini juga turut menyentak minda kanda Ibnu 'abdir-Raheem dengan mengkongsikan cerita berikut melalui Whatsapp kepada kumpulan kami. Begini ceritanya : ''Sebenarnya banyak lagi khazanah sejarah silam mengenai Temburong yang tersimpan dalam lipatan minda dan ingatan kanda sama ada yang kanda alami sendiri atau didengar melalui lisan ayimulah bapa kanda. Paling menarik semasa kanda damit pada tahun 1959 kanda pernah mewakili Daerah Temburong ke peraduan membaca Al-Qur'an bahagian kanak-kanak peringkat negeri di Masjid Kajang Bandar Brunei ketika itu. Kanda jadi johan menggalahkan peserta-peserta dari daerah lain. Kali pertama Daerah Temburong yang lazimnya merupakan underdog memenangi peraduan itu…lapas atu pada tahun yang sama kanda dihantar belajar di Madrasah Al-Juned 'Arabiyyah Al-Islamiah bersama-sama dengan Mohd Jali Abd Latif (Dato Seri Setia Hj. Mohd. Jali, abang penulis), Awangku Muhammad Pg. Abd. Rahman (Pg. DSS Dr. Haji Muhammad, Menteri HEU), Abd. Halim Ahai dan Awang
Hamidun Haji Bakar (abang Haji Wasli, pernah Johan Qari Kebangsaan).''

Kan halnya semasa penulis dan Daud Taha berkhidmat di Temburong, ada seorang imam yang bernama Imam Haji Panjang, bentuk susuk badannya seiras macam pelakon terkenal ketika itu Mahmud Jun. Maaf cakap. Haji Panjang ini sering berkunjung ke bilik pejabat penulis berbual-bual hal ehwal semasa sambil memberi nasihat. Cara dan lenguknya bercakap dan sikapnya sama dengan cara kanda Ibnu 'abdir-Raheem bercakap. Manakan tidak, dia adalah ayahnya. Cuma dia lebih mesra dikenali sebagai Imam Haji Panjang dibanding nama sebenar Haji Abdul Raheem.

Alahai, sebelum penulis berkurapak dalam siri ini lebih jauh, elok kita rungkai dulu pengaruh media baharu yang sudah menjadi rutin harian kehidupan kita. Manakan tidak, asyik-asyik tekan butang telefon bimbit untuk lihat dan baca whassapp yang dikirim kawan. Alhamdulillah, dalam usia senja ini kita sempat juga menikmati kemudahan canggih ini.

Benar, evolosi media hari ini memberi pengaruh dalam kehidupan kita. Kesan dan pengaruh media baharu (panggil saja media sosial) ini mendorong kita untuk berfikir secara pantas dan cekap kerana ianya akan membentuk satu tamadun baharu. Tamadun yang dibentuk oleh media baharu ini jauh berbeza dengan tamaduan zaman dulu.

Maklumat-maklumat dan berita serta sisipan-sisipan yang disalurkan melalui media baharu ini ada yang sensasi dan terkini apabila ia dapat dikemaskini hampir setiap minit, jikapun tidak dalam sesaat. Maklumat-maklumat dan berita-berita dalam media baharu ini disertakan dengan gambar-gambar, videonya sekali dan dikongsikan kepada kawan kumpulan, ditaruh dalam Twitter, Instagram, Facebook dan seumpamanya. Dihantar kepada kawan-kawan atau kepada semua orang untuk dikongsikan. Aduhai…!

Perkongsian ini dapat melangkaui hingga ke satu dunia tanpa sebarang kos atau kos yang amat minimum. Ini adalah antara kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh media baharu berbanding dengan media lain seperti media cetak dan media televisyen. Akibat dari kelebihan-kelebihan teknologi ini maka kemunculan media baharu ini tidak dapat dikawal. Pengaruhnya amat besar dan luas. Malah peranan akal kita berfikir sesungguhnya sentiasa dibayangi oleh dapatan-dapatan dari media baharu ini.

Bagi generasi muda, ya terutama cucu-cucu kita, sudah semestinya memilih media baharu berbanding media cetak. Malah, aliran pemikiran mereka nanti berkemungkinan akan dipengaruhi oleh dapatan-dapatan atau sisipan-sisipan yang mereka layari dan baca daripada media baharu ini.

Natijahnya, sifat malu, santun, menghormati semakin terhakis. Realiti masyarakat Melayu pada masa kini kebanyakannya mudah menerima atau mempercayai sahaja apa-apa maklumat yang mereka baca dalam media sosial. Jika maklumat itu dilengkapi oleh data-data perangkaan atau gambar-gambar yang berkaitan maka kepercayaan dan keyakinan sukar untuk digugat lagi waima gambar-gambar tersebut sudah diedit atau data-data perangkaan itu tidak dinyatakan daripada sumber mana. Bukankah anda sudah mengalaminya? Sebahagian pengguna media sosial nampaknya agak malas untuk menyiasat, menyelidik dan mengkaji kesahihan sesuatu maklumat itu.

Maaf, penulis tak sempat memuat turun whatssapp pengalaman tragis seorang penumpang AirAsia ketika kapalterbang yang ditumpanginya dilanda ribut. Ruangan ini agak terhad, lagipun minda susut buntu. InsyaaAllah akan disambung dalam siri lain.

Attachments