Manage PermissionsManage Permissions

Syair Rakis dikarang pada tahun 1847 / 1848 Masihi ketika bermastutin di Brunei!

16/10/2015

cetusan minda

Bilangan 125

HINGGA kini peneliti-peneliti sastera tetap terpukau dengan pemikiran-pemikiran yang dituangkan oleh Pengiran Shahbandar Mohammad Salleh bin Pengiran Sharmayuda (PSMS) melalui Syair Rakis. Syair Rakis mengandungi 175 rangkap kesemuanya. Setiap rangkap syair dalam Syair Rakis itu terdiri dengan empat kerat pertuturan kecuali rangkap 170 yang hanya mempunyai dua kerat pertuturan sahaja. Dua rangkap pertuturan dalam Syair Rakis, iaitu rangkap 170 itu berbunyi begini : ''Mudah-mudahan disampaikan Allah; Janganku saja berniat salah.''

Nah bertolak dari rangkap ini penulis teruja menjadi bahan pemikiran dalam cetusan minda siri kali ini. Bilakah agaknya Syair Rakis ini dikarang? Sebelum penulis membahas persoalan ini, bisai tah dirungkai dulu keturunan diri pengarang Syair Rakis ini hasil daripada penyelidikan dan pembacaan penulis.

Pengiran Shahbandar Mohammad Salleh (PSMS) ini lahir 'dianggarkan' pada akhir tahun 1790-an. Masih tidak jelas bila tahun kelahirannya. Dia dibesarkan di Sambas hingga meningkat usia remaja. Ayahnya ialah Pengiran Sharmayuda bin Pengiran Indera Mahkota Pengiran Sulaiman bin Pengiran Abdul Rahman bin Pengiran Temanggung Dakula bin Sultan Abdul Hakkul Mubin, iaitu Sultan Brunei Ke-13 (1661 - 1773).

Ibu PSMS bernama Raden Kencana binti Sultan Umar Aqamaddin II, iaitu Sultan Sambas Ke-5 yang memerintah kesultanan Sambas selama 25 tahun bermula 1762 Masihi. Pada masa pemerintahannya ini banyak orang-orang Cina datang secara berkumpulan ke Sambas bagi melombong emas. Emas terdapat di perut bumi Sambas seperti di Daerah Monteradu, kemudian ditemui pula emas di daerah-daerah Lara, Lumar dan Simanis. Kesemua daerah ini adalah di bawah pemerintahan Kesultanan Sambas. Pada ketika itu di Asia Tenggara orang-orang Cina memang sudah mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam kerja-kerja melombong emas atau menambang emas. Jadi tidak heranlah dalam Syair Rakis ini melalui rangkap 42 dan 43, PSMS mencatatkan peristiwa itu :

Rakis Kedua pula diatur
Di Negeri Sambas khabar masyhur
Sungguh bercampur kumis dan
pitur
Karal adatnya tiada lebur.
Negeri Sambas terlalu aman
Rajanya budak lagi budiman
Serta wazir manteri sekalian
Laksana bunga kembang setaman.

Perkataan ''kumis'' yang digunakan oleh PSMS itu bermaksud pesuruhjaya atau komisaris, manakala perkataan ''pitur'' pula bermaksud merinyu atau inspektor. Dengan sumber kekayaan hasil pelombongan emas itu juga didirikan sebuah masjid, di sebelah kanan istana Sultan Umara Aqamaddin II. Masjid itu dipanggil sebagai Masjid Kamashaiaita. Ketika itu Kesultanan Sambas dan Kesultanan Brunei adalah merupakan kesultanan Melayu yang amat digalati dalam gugusan-gugusan nusantara. Dalam suasana kehidupan beginilah PSMS lahir dan menjalani kehidupan sehingga remaja belia.

Semasa berada di Sambas itu, dia dikatakan sempat menerima pendidikan di Batavia (nama lama Jakarta) dan pernah juga pergi ke Belanda. Dari sini terbukti PSMS adalah orang yang berpendidikan di samping mengalami pergaulan yang luas dan mempunyai minda yang terbuka dan berwawasan jauh ke hadapan. Kecerdikan dan daya fikirnya yang tinggi ini turut diakui oleh James Brooke.

Kemudian kira-kira dalam tahun 1820, PSMS dipanggil balik ke Brunei oleh Sultan Muhammad Kanzul Alam (1807 - 1826). PSMS dikurnaikan gelaran Pengiran Indera Mahkota. PSMS memang merupakan pancir keturunan Sultan Brunei daripada datuknya, iaitu Pengiran Indera Mahkota Pengiran Sulaiman. PSMS diangkat oleh Sultan Brunei ketika itu dengan gelaran Pengiran Indera Mahkota dan diutus sebagai wakil Sultan Brunei di Sarawak.

Ketika James Brooke datang ke Sarawak pada bulan Ogos 1839, PSMS yang masa itu diam di Kucing sebagai wakil Sultan Brunei di Sarawak, telah mengadakan lawatan ke kapal James Brooke pada waktu malam. Dalam kapal yang bernama ''Royalist'', James Brooke mendapati PSMS bercakap dalam bahasa Belanda dan bahasa Inggeris. PSMS berada dan berbual di kapal ''Royalist'' itu ketika hari gelap hingga 10 malam.

Spenser St. John dalam bukunya ''The Life of Sir Jame Brooke'' antara lain mencatat perwatakan dan cara berfikir PSMS seperti ini : ''He was probably the most intelligent Malay whom we ever met in Borneo, frank and open in manner, but looked upon us the most cunning of the raja's advisers. He was much puzzled, as were indeed all the nobles, as to the true subject of Brooke's visit to Borneo.''

Manakala T. Pringle, dalam bukunya ''Rajah and Rebels'' (1970) menyifatkan PSMS sebagai ''His education has been more attended to the than another of his own rank. He both reads and writes his own language, and is well acquainted with the government, laws and custom of Boreno.''

Mundy, Captain R., dalam ''Narrative of Events in Borneo.. Journals of James Brooke'' menukilkan pengamatan James Brooke secara pribadi mengenai PSMS sebagai berikut : ''I (James Brooke) may be excused a brief description of Mahkota, (Pengiran Shahbandar Mohammad Salleh) a man of much ability and seemingly free from the common faults of his countryman. His appearance is plain, but good-humoured and intelligent; and his countenance has few traces of a Malay accent. His manner, schooled, perhaps, by subtle dissimulation, seem at once lively, frank and engaging; his descriptions of countries and people are so graphic that he is diffuculat to doubt their fidelity. He stated openly the reason of his visit, which to discuss with me the future conduct of the trade of this place. He talked much and well of the English and Dutch; informed me that the latter had offered to assist him in opening the mines. He represented this province as rich in ores and other commodities.'' Demikian pendapat James Brooke tentang ketokohan PSMS ini.

Dari pengamatan analisis ini tidak heranlah PSMS dapat menghasilkan sebuah syair berwawasan jauh yang bernama Syair Rakis. Pemikiran-pemikiran yang terdapat dalam syair ini mendahului zamannya. Namun soal yang timbul ialah tentang tarikh atau bila syair ini dikarang?

Prof. Madya Dr. Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid melalui bukunya ''Menyuruki Syair Rakis'' (UBD, 2006) mengandaikan bahawa Syair Rakis ini dikarang kira-kira dalam tahun 1843 / 1844 seperti hujahnya :

''Syair Rakis ini dipersembahkan oleh Pengiran Shahbandar Mohammad Salleh ibnu Pengiran Sharmayuda kepada Sultan Abdul Momin sebagai buah tangannya setelah mengembara bertahun-tahun di negeri orang. Sebenarnya Pengiran Shahbandar Mohammad Salleh ibnu Pengiran Sharmayuda adalah wakil Sultan Brunei untuk menjadi penguasa jajahan Sarawak, tetapi apabila James Brooke dilantik menggantikannya tanpa pengetahuan beliau sendiri, maka beliau berhijarh ke Mukah. Sebelum itu terjadi tentangan daripada beliau ke atas James Brooke, malangnya gagal. Dan apabila Sultan Abdul Momin menjemput beliau pulang ke Brunei, maka dalam pelayaran pulang itulah syair itu ditulis, iaitu kira-kira dalam tahun 1843 / 1844. Syair ini bukan sahaja dibaca oleh Sultan ketika itu, tetapi juga pembesar-pembesar negara, malah disalin oleh orang ramai. Memandangkan kecemerlangan beliau ini, beliau telah dikurnia gelaran sebagai Pengiran Shahbandar (sebelumnya beliau bergelar Pengiran Indera Mahkota).''

Manakala Pehin Orang Kaya Amar Diraja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, melalui makalahnya ''Syair Rakis : Karangan Almahrum Pengiran Shahbandar Pengiran Md. Salleh ibnu Pengiran Sharmayuda (Pusat Sejarah Brunei, 1983) menulis bahawa : ''Syair Rakis dikarang oleh Pengiran Indera Mahkota semasa dalam pelayaran dari Mukah ke Brunei dan kemudiannya disembahkan kepada Sultan Omar Ali Saifuddien II (1828 - 1852).''

Namun andaian Syair Rakis ditulis kira-kira tahun 1843 / 1844 sewaktu dalam pelayaran pulang dari Mukah ke Brunei masih belum dapat dibuktikan. Ini cuma andaian. Apa yang membingungkan kita ialah dikatakan bahawa karya ini dipersembahkan kepada Sultan Abdul Momin (menantu Sultan Omar Ali Saifuddin II) walhal baginda mula memerintah Brunei dari tahun 1852 hingga 1888. Terdapat jarak enam tahun tu!

Jika benar Syair Rakis ditulis pada tahun 1843 / 1844 selayaknya Syair Rakis disembahkan kepada Sultan Brunei ketika itu, iaitu Sultan Omar Ali Saifuddin II, Sultan Brunei Ke-23, yang memerintah Brunei dari tahun 1828 hingga 1852 Masihi. Fikir-fikirlah.

Andaian yang mengatakan Syair Rakis dikarang pada tahun 1844 semasa dalam pelayaran dari Mukah ke Brunei masih dapat dipersoalkan kerana pada tahun berikut PSMS ditawan oleh James Brooke, dan dikembalikan ke Brunei.

Hemat kita pula ialah Syair Rakis berkebarangkalian dikarang sekitar tahun 1847 / 1848. Jika ini betul maka Syair Rakis bukan ditulis ketika dalam perjalanan pulang dari Mukah ke Brunei. Lalu bagaimana?

Hipotesis kita mengandaikan bahawa Syair Rakis dikarang dan ditulis ketika PSMS sudah bergelar Pengiran Shahbandar. Maknanya Syair Rakis ini ditulis ketika PSMS berada dan bermastutin di Brunei. Hujah-hujah ini kita sandarkan kepada rangkap-rangkap 20 dan 21 yang diungkapkan oleh PSMS dalam Syair Rakis tersebut. Rangkap 20 dan 21 Syair Rakis ini berbunyi begini :

Pulau Labuan dipinta segera
Akan tempat tiang bendera
Di sana terdapat berkira-kira
Dari Sarawak ke Singapura.
Dagang tercengang mendengarkan titah
Hati di dalam sangat gelabah
Labuan itu bukannya mudah
Alamat negeri di bawah perintah.

Nah jika benar Syair Rakis dikarang pada tahun 1883 / 1844 ketika PSMS dalam perjalanan pulang dari Mukah ke Brunei maka kita kemukakan soalan-soalan di bawah :

Pertama, bagaimana mungkin PSMS mengetahui titah mengatakan Pulau Labuan sudah dipinta segera oleh Inggeris?

Kedua, bagaimana PSMS mengetahui lebih awal ''Dagang tercengang mendengarkan titah'' walhal dia dalam perjalanan pulang dari Mukah ke Brunei?

Ketiga, bagaimana pula Syair Rakis tu dikatakan hendak disembahkan kepada Sultan Abdul Momin kerana pada tahun-tahun 1843 / 1844 dia belum lagi menjadi sultan Brunei? Pada tahun tersebut Pengiran Abdul Momin adalah menantu Sultan Omar Ali Saifuddin II yang memerintah Brunei dari tahun 1828 hingga 1852.
Keempat, Sultan Abdul Momin menjadi Sultan Brunei pada tahun 1852 hingga 1888 Masihi.

Kelima, Pulau Labuan diserahkan kepada Kerajaan Inggeris pada 18 Disember 1846 oleh Sultan Omar Ali Saifuddin II (1828 - 1852) melalui perjanjian ''Cession of the Island of Labuan.'' Perjanjian ini menyerahkan Pulau Labuan kepada Kerajaan Inggeris untuk dijadikan pangkalan menentang dan menghapuskan lanun di perairan Borneo.

Hemat kita bahawa rangkap 20 Syair Rakis, iaitu ''Pulau Labuan dipinta segera, akan tempat tiang bendera, di sana terdapat berkira-kira, dari Sarawak ke Singapura'' adalah luahan perasaan kekecewaan PSMS apabila mengetahui Pulau Labuan telah pun diserahkan kepada Kerajaan Inggeris pada tahun 1846. Inilah yang menyebabkan PSMS menulis rangkap-rangkap ini. Lagipun rangkap 20 tersebut diperkuat dengan rangkap 104 yang menukilkan : ''Inggeris datang dari England, Pulau Labuan jadi pangkalan, Jikalau jaujhari kurang handalan, Di sanalah ia berbuat jalan.'' Hal ini dikuatkan lagi dengan rangkap 19 dalam Syair Rakis tersebut :

Khalifah bertitah sangat majlis
Khabarnya bersahabat dengan
Inggeris
Tercap surat dua belas rakis
Dengan Queen perjanjian habis.

Berpandukan hujah-hujah inilah makanya kita berandaian bahawa Syair Rakis dikarang oleh PSMS ketika ia bermastutin pulang di Brunei, iaitu selepas perjanjian ''Cession of the Island of Labuan'' ditandatangani bukan ketika dalam perjalanan pulang dari Mukah ke Brunei. Nah, Syair Rakis dikarang sekitar tahun 1847 / 1848, iaitu selepas PSMS dinaikkan gelaran sebagai Pengiran Shahbandar bukan ditulis ketika dia bergelar Pengiran Indera Mahkota.

Templer J.C.. dalam bukunya ''The Private Letters of Sir James Brooke'' (Vol. II, London, 1853) menulis bahawa ''Back ini Brunei, Mahkota bercame the Sultan's principal adviser. He was enobled again with the title 'Shahbandar' one of the highest position's in Brunei.''

Analisis penulis mengenai hal ini terdapat dalam buku penulis bertajuk ''Syair Rakis : Renaisans Wacana Dagang Bestari Bukan Handalan'' terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei pada 2009. Tolong, silalah baca buku akademik ini. Terima kasih.

Attachments