Manage PermissionsManage Permissions

Nikmat rezeki Allah tiada dapat diduga

26/01/2015

cetusan minda 26012015

Oleh: Haji Mohd. Salleh Abdul Latif


BILANGAN 118

PERTEMUAN AP Writers di Bangkok mengumpulkan lebih daripada 100 orang penulis dan penterjemah dari rantau Asia Pasifik. Pertemuan ini diadakan pada 5 November 2012 selama lima hari. Pertemuan yang julung kali diadakan sejak AP Writers ditubuhkan pada tahun 2009. AP Writers berpangkalan di Hong Kong. Pertemuan ini cuba merungkai dua tema, iaitu keunikan nilai tersendiri yang terdapat dalam anugerah-anugerah penulisan karya kreatif, di samping keperluan memperluas pasaran sejagat karyakarya kreatif yang diterjemahkan.

Karyawan yang paling proaktif sehingga pertemuan ini berlangsung dengan jayanya adalah Jane Camens, cerpenis wanita, lulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Penulisan Kreatif dari University of East Anglia, United Kingdom. Dia adalah pemenang pada tahun 2010 bagi anugerah “Fish Publishing Short Story Prize”.

Di hari pertama pertemuan ini sahaja sebanyak enam jenis acara dialog diadakan bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Hari kedua, ketiga, dan keempat dipadati dengan empat jenis acara perbincangan.

Pertemuan ini mengumpulkan karyawan-karyawan dari rantau Pasifik. Antaranya ialah Phan Thu Than Nhan, penyair Viet Nam yang pada tahun 2007 dianugerahkan “Viet Nam’s Government Award for Art and Literature”.

Mo Tejani keturunan kacukan Indian lahir di Tanzania pada awal tahun 50-an. Menjadi orang pelarian setelah dihalau dari Uganda, lari ke England lalu ke Amerika Syarikat dan kini menetap di Thailand. Dia fasih berbicara dalam lapan bahasa. Lebih 20 tahun bekerja di khemah-khemah pelarian di Asia. Pernah jadi penyelaras projek-projek membasmi kemiskinan di Afrika. Telah menghasilkan tiga jilid tebal tentang pengembaraan orang-orang pelarian yang berjudul “A Chameleon’s Tale: True Stories of a Global Refugee”. Buku ini terpilih ke peringkat akhir pada 2007 untuk anugerah “PEN New York Book Award”.

Zeyar Lynn, penyair kontemporari Myanmar. Ngarmpun (Jane) Vejjajiva, novelis Thailand yang menerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2006.

Dipika Mukherjee, pengarang novel Thunder Demons (Gyaana Books, 2011), tersenarai-pendek untuk anugerah “Man Asian Literary Prize 2009”. Novelnya yang bertajuk The Palimpsest of Exile (Rubicon Press, 2009) memenangi anugerah “2009 Platform Flash Fiction Prize”.

Perwakilan dari Negara Brunei Darussalam dalam pertemuan Asia Pacific & Translators Association (AP Writers) ialah penulis sendiri, Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Arif (Zefri Ariff) dan Ardysham bin Haji Abu Bakar, pengarang di Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam. Alhamdulilah, nikmat rezeki Allah tidak diduga. Tiket penerbangan, penginapan dan elaun sara hidup bagi penulis dan Ardysham ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Manakala Zefri Ariff atas perbelanjaan sendiri.

Ketika pertemuan AP Writers ini berlangsung di Bangkok, Kerajaan Thailand juga melangsungkan upacara Anugerah Penulis Asia Tenggara atau The South East AsianWriters’ Awards (S.E.A.Write Award) bagi tahun 2012. Upacara penganugerahan diadakan pada 9 November 2012, iaitu hari kelima pertemuan AP Writers. Seperti lazimnya, sejak anugerah ini diperkenalkan pada tahun 1979, penganugerahan diadakan di Royal Ballroom, Mandarin Oriental Hotel, Bangkok.

Dua hari sebelum upacara penganugerahan itu berlangsung, yakni pada 7 November 2012, peserta-peserta pertemuan AP Writers berpeluang mendengar pengalaman penerima-penerima S.E.A. Write Award 2012. “Meet The 2012 S.E.A Write Award Winners” ini diadakan di tingkat 30, Auditorium, Ibu pejabat Bangkok Bank. Selain daripada kami, yakni peserta-peserta pertemuan AP Writers, turut hadir dan memenuhi auditorium dalam acara itu ialah lebih 300 orang siswa.

Di atas pentas auditorium bermula 2.00 hingga 4.00 petang pemenang-pemenang anugerah dari lapan buah negara ASEAN menceritakan serba ringkas susur galur pengalaman mereka semasa menulis dan menjalani kehidupan berkarya. Nikmat rezeki Allah tiada siapa dapat menduga, begitulah.

Bagi pemenang yang tidak fasih berbahasa Inggeris, mereka digandingi oleh rakan dari negara masing-masing untuk dialihbahasakan ke bahasa Inggeris. Dalam hal ini, Zefri Ariff duduk bertindak sebagai penterjemah ke bahasa Inggeris, duduk bersebelahan dengan penerima anugerah dari Negara Brunei Darussalam di atas pentas.

Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (The S.E.A. Write Award) dari Negara Brunei Darussalam pada tahun 2012 ialah Pengiran Haji Mahmud bin Pengiran Damit. Lahir di Kampung Labu Estate, Temburong pada 20 Mei 1942. Pemegang Ijazah dalam bidang Pendidikan pada tahun 1988, dan Ijazah Sarjana dari Universiti Pertanian Malaysia pada tahun 1993. Pada tahun 1971 berkursus di Universiti Malaya, dalam bidang pengajian Melayu. Bekas lulusan Maktab Perguruan Melayu Brunei (1960-1962) antara lain pernah mengajar di Sekolah Menengah Melayu Pertama Muhammad Alam, Seria dan Pusat Tingkatan Enam. Sebelum bersara wajib pada Mei 1997 dari perkhidmatan awam, beliau adalah Pensyarah di Universiti Brunei Darussalam (1988 hingga 1997).

Mula menulis pada tahun 1961 ketika masih menjalani kursus perguruan hinggalah sekarang. Meminati bidang puisi dengan menggunakan nama pena, antaranya ialah M.I.Mas, Mas Dharma, Seroja i.s., salmah mahmuda dan mahmudamit yang digunakan sejak tahun 1992 hingga sekarang. Karya-karyanya dalam bidang puisi lebih menyerlah. Bidang puisi yang diceburinya telah mengangkatnya untuk menerima anugerah yang berprestij ini.

Selain puisi, Mahmudamit juga menulis cerpen. Penghuni Piasau Tunjung adalah tajuk cerpennya yang memenangi hadiah pertama, anjuran ASTERAWANI pada tahun 1964. Tiga kali memenangi Hadiah Kreatif Bahana dalam bidang puisi. Menghasilkan tiga buah buku berkaitan pendidikan bahasa, antaranya Aspek Kemahiran Lisan (Syarikat Mega, 2003) dan lain-lain. Antologi puisi perseorangannya ialah Dwimadah Ekawadah (2008) dan Sepi Di Tengah Kota (2010) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam. Puisi Mahmudamit dalam buku program penganugerahan ialah Teratai seperti di bawah ini:

Daun-daun yang lebar
mengapung di permukaan kali
merakusi sinar mentari.
Teratai di permukaan kali
angkuh dengan keanggunan
bunga-bunga indah mempesona
sedang puncak pucuknya
tak mencecah awan
dan akarnya pun
tak mencecah bumi.

Menurut Mahmudamit bahawa tema-tema yang selalu diangkat dalam puisinya ialah tentang semangat patriotik untuk tetap sentiasa agama, bangsa, dan tanahair.

Oka Rusmini, pengarang wanita yang tinggal di Bali adalah penerima dari Indonesia. Antara buku yang diterbitkan ialah Monolog Pohon (puisi, 1997), Tarian Bumi (novel, 2000), Sagra (antologi cerpen, 2001), Kenanga (novel, 2003), Patiwangi (puisi, 2003),Warna Kita (puisi, 2007), Tempurong (novel, 2010), dan Akar Pule (kumpulan cerpen, 2012). Sedutan cerpennya bertajuk Akar Pule yang dijadikan tajuk buku antologi cerpennya, seperti berikut:

Makin hari perangai cuaca semakin aneh. Langit gelap merudung desa. Sebentar-sebentar hujan turun rintik-rintik, padahal musim sedang kemarau. Suasana desa kian mencekam. Fikiran semua warga desa seperti terbang ke suatu kawasan asing yang tak bertepi.

Penerima The S.E.A. Write Award 2012 dari Laos ialah Duangxay Luangphasy, lahir pada 15 Julai 1944 di Vientaine. Lulusan Sekolah Tinggi Hanoi pada tahun 1965, dan sejak itu mula menulis dalam bidang novel. Salah satu novelnya menerima anugerah Mekong Literature Award. Manakala novelnya yang bertajuk Sai Leuad Dio Kan (Darah Keturunan Yang Sama) yang ditulis dalam bahasa Laos melayakkannya mendapat anugerah ini. Novel ini mengisahkan tentang perjuangan sebuah keluarga untuk mendapatkan kemerdekaan tanahair tercinta.

Ismail Kassan, lahir pada 26 September 1954 di Johor Bahru adalah penerima dari Malaysia. Penglibatannya dalam bidang kesusasteraan bermula pada tahun 1972 dengan drama pentasnya bertajuk “Fajar Merah di Teluk Ketapang”. Sejak itu telah menghasilkan lebih 35 buah drama pentas, yang beliau sendiri jadi pengarahnya.

Antara drama pentasnya yang jadi bualan ramai peminat sastera Malaysia ialah “Pelayaran Inderaputera”, “Menanti Puteri Hijau”, “Gelanggang Tuk Wali”, dan “Jambatan Merah”, “Kilung Musung”, “Along Bistari”, “Muzikal Tun Mahathir”, “Kembang Cempakasari” dan lain-lain. Dia juga menulis novel, cerpen, drama tv dan sandiwara radio. Diturunkan sedutan dialog drama pentasnya yang bertajuk “Gelanggang Tuk Wali” antaranya seperti berikut:

MAK UMI: Ooo! Waknya! Pukul tiga dah ni! Bersiap mengalahkan orang betina!

TUK WALI: (Dari atas rumah) Tengan bersiaplah ni!

MAK UMI: Semakin tuan makin galak bersolak! Er..dan dan.. dah buang tabiat eeh orang tua ini.

(TUK Wali keluar dengan baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok mereng. Penampilannya cukup hebat).

MAK UMI: Awak ni nak bersilat ke nak pergi bernikah?

TUK WALI: (Berdiri gagah sambil memejamkan mata membaca doa pelangkah). Hari ini Khamis, langkah kanan, langkah pendekar. (Menekan lubang hidung kanan! Menarik nafas dari lubang hidung kiri). Nafas lancar kiri kanan. Gerak hari ini, gerak menyerang! Tak perlu bertahan atau berundur, boleh mengumpan tapi berpada.Yang eloknya biar menyerang terus sampai musuh tumbang.

MAK UMI: Tak mengapa undur selangkah ke belakang untuk maju dua langkah ke hadapan.

TUKWALI: Itu silat kamu, silat aku lain.

Penerima daripada Filipina ialah Charlson Ong, lulusan Ijazah Psikologi Unversity Filipina pada tahun 1981. Telah menghasilkan tiga buah buku antologi cerpen dan tiga buah novel. Pada tahun 1998 novelnya bertajuk “Embarrassment of Riches” ditulis dalam bahasa Tagalog memenangi pertandingan “The Phillipine Centennial Prize”. Manakala dua buah novelnya “Banyaga and Blue Angel” dan “White Shadow” yang ditulis dalam bahasa Inggeris memenangi anugerah “National Book Award”. Di bawah diuntaikan petikan asal dalam bahasa Inggeris dari novelnya “Banyaga and Blue Angel”, iaitu:

But the old man could only hear the mournful tune of his youth drowned in the cold slutter of cymbals, deafening silences, favored but the so-called ‘avant grade’ in academies from Manila to Beijing to New York.

Suchen Christine Lim, penulis wanita yang lahir di Kedah dan menjadi warga negara Singapura adalah penerima anugerah dari republik itu. Pernah menuntut dalam bidang Kesusasteraan di National University of Singapore awal tahun 70-an. Novel pertamanya “Rice Bowl” terbit pada tahun 1984. Diikuti dengan novel “Gift from the Gods” (1990), “Fistful of Colours” (1992), “A Bit of Earth” (2000). Antologi perseorangan cerpennya juga diterbitkan pada 2007. Sedutan karya cerpennya dalam bahasa Inggeris dimadahkan di bawah:

Mark and Nica had applauded her and cheered her on. Paint the past for what it was. Unadorned by political myths, they had urged. Don’t do those pretty murals to adorn the walls of some HDB blocks or MRT stations.

Penerima Anugerah The S.E.A. Write Award 2012 dari Thailand ialah Wipas Srithong, lahir pada tahun 1970. Pernah jadi siswa dalam bidang perubatan di Ramathibodi Hospital, Mahidol University, Thailand. Tidak berkecimpung di bidang itu, sebaliknya menumpukan sepenuh masa dalam pembuatan filem, visual dan penulisan. Telah menerbitkan dua buah buku antologi perseorangan cerpennya dalam bahasa Thai bertajuk “Maow Kao Chiwit” (Kucing dan 9 Kehidupan”, 2002); “Wela Luang Phan Umong” (Terowong Masa, 2008); dan antologi puisi dalam bahasa Inggeris bertajuk “Graffiti” (2002). Novel sulungnya dalam bahasa Thai bertajuk “Kon Krae” yang bermaksud “Orang Kerdil” terbit pada tahun 2012.

Trung Trung Dinh adalah penulis Viet Nam, lahir pada bulan September 1949. Penerima anugerah ini, berkhidmat sebagai tentera sebelum melanjutkan pengajian di Nguyen Du Creative Writing College. Pernah jadi Penyunting majalah People Army Magazine. Novelnya dalam bahasa Viet Nam bertajuk “Lapangan Tempur Tentera” jadi asas layak terima anugerah ini.

Alkisah terungkai nostalgia ketika penulis pernah berada di pentas yang sama pada tahun 1990, iaitu 24 tahun yang lalu, penerima anugerah yang sama. Ketika itu umur penulis baru menjangkau 43 tahun. Novel penulis yang bertajuk “Gegaran Semusim” dijadikan asas utama penulis terima anugerah tersebut. Alhamdulilah! Hingga kini penulis masih giat menulis, umur sudah melebihi 67 tahun.

Penulis sudah tua dan beruban. Ia bukan soal yang boleh dibuat lawak. Jangan mempersendakan suasana tua dan beruban ini dengan menganggap ia bukan fasa penting dalam kehidupan.

Benar, kita usahakan untuk mendapat rahmat Allah. Usia tua bersama biarlah disirami dengan rasa cinta berterusan. Allah ya Allah, betapa sungguh Allah itu Maha Pengasih. Kami mohon keampunanMu, ya Allah. Nikmat rezeki Allah tidak siapa yang dapat menduga. SEKIAN.

Attachments