Manage PermissionsManage Permissions

Warkah telus untuk semua sahabat

19/01/2015

Oleh: Haji Mohd. Salleh Abdul Latif


 cetusan minda

BILANGAN 117

WARKAH telus untuk semua sahabat jadi perisian kali ini. Wahai para sahabat:

Mari kita perhatikan fenomena diri kita sendiri. Ketika kita melihat foto bersama, gambar siapakah yang dicari dan amati terlebih dahulu? Tentunya, kita mahu lihat diri kita sendiri. Ya, wajah gambar kita sendiri. Contoh lain, ketika semasa bahagian tubuh kita gatal digigit nyamuk, ke manakah arah garuan itu? Bukankah ke arah jantung!

Hakikatnya, dalam keadaan tertentu, manusia sering kalah untuk bertertib, misalnya ketika beratur untuk menunggu giliran. Tentu ada yang resah. Ada yang risau. Nah, tanpa disedari setiap manusia mahu dilihat baik, hingga perkara ini membuatkan dia tidak sanggup menampilkan dirinya yang sebenar. Semakin kuat dan berlapis dia menutup dirinya, semakin besar pula kesannya semasa perkara itu ditutup itu terbongkar dan diketahui umum.

Benar, tiada manusia yang semua sempurna. Tetapi, mengapa kita mahu menjadi seperti orang lain sedangkan kita tidak boleh melakukannya. Setiap manusia mempunyai masalah dan pergelutan hidupnya sendiri. Punya waktu ‘jatuh bangun’ sendiri. Setiap manusia memiliki kehidupan yang tidak mungkin sama antara satu sama lain.

Setiap manusia dicipta unik sesuai dengan kehendak Allah. Apabila kita menyedari perkara ini, sudah sewajarnya kita bersyukur dengan keadaan diri kita sebagai manusia yang hingga ke hari ini masih diberi peluang untuk menikmati nafas kehidupan.

Sewaktu kita menjadi diri sendiri, waktu itulah kita melakukan perbezaan. Menyusuri kehidupan bukan bermakna perlu menewaskan orang lain dan selalu membuat lebih baik daripada orang lain. Bukan!

Salah satu sifat semula jadi manusia adalah tidak pernah puas. Tidak pernah merasa cukup. Semakin rendah kadar imannya, semakin dia tidak berasa cukup. Rasa tidak puas dan sering tidak merasa cukup, tambahan pula didorong keinginan yang kuat bagi mendapatkan sesuatu dengan segera, kekadang menyebabkannya mengambil tindakan tergesa-gesa. Bertindak terburu-buru tanpa pertimbangan moral yang teliti. Kewaspadaan disingkirkan jauh-jauh.

Maka penulis pun teringat kata seorang pensyarah bertaraf profesor\ semasa menuntut di Universiti Stirling, Scotland puluhan tahun yang lalu. Dia memberi anekdot dengan cara berjenaka dan menggelikan hati mengenai seorang pekerja. Anekdot yang dimaksudkan di sini ialah kisah yang ringkas.

Sewaktu si pekerja baru mula berkerja, pertanyaan hariannya ialah, “Hari ini kita makan apa, ya?”

Selepas pekerja itu ditetapkan dalam jawatan dan dia diberikan kepercayaan untuk menguruskan beberapa kerja, pertanyaannya turut berubah, “Hari ini kita hendak sarapan di mana, ya?”

Kemudian setelah dia menjawat jawatan tinggi, pertanyaannya pula berubah nada, “Oh ya, hari ini kita sarapan dan makan dengan siapa?”

Hah, ‘cukup’ setakat itu sajakah pertanyaan pekerja itu. Tentu belum cukup, bukan. Pertanyaannya akan terus berkembang, ya tidak cukup setakat itu.

Fikir-fikirlah, wahai para sahabat.

Makna kata ‘cukup’ itu amat relatif atau nisbi. Malah seingat penulis, semasa masih berkerja tentunya, dalam perbualan ketika rehat sarapan atau makan tengah hari, sering definisi ‘cukup’ diambil ringan. Malah dijadikan bahan gurauan. Bukankah begitu sahabat.

Contoh mudah ialah seperti : “Ku nak beli kereta baru, cukupkah gajiku setelah ditolak perbelanjaanperbelanjaan lain!” Lazimnya ini pertanyaan orang bujang.

Jika sudah beristeri dan punya anak, pertanyaan ini pula diajukan kepada diri sendiri: “Ku nak makan angin keluar negara bersama isteri dan anak-anak, cukupkah wangku!”

Atau : “Ku mahu memiliki rumah sendiri, mampukah dan cukupkah wangku!”

Tidak salah melakukan pelaburan bagi masa depan. Semua orang mahu jadi senang. Tiada seorang pun yang mahu hidup susah. Tetapi, bagaimana kesenangan itu diperoleh wajar menjadi fokus utama. Ya, bagaimana kekayaan itu didapat.

Kiranya kekayaan dan kesenangan itu didapat dengan muslihat dan tipu daya, harta itu habis begitu saja. Tiada berkah. Namun, mereka yang menganggap semua kesenangan dan kekayaan yang dimilikinya ini adalah kurnia anugerah Allah, terdorong berkongsi kasih sayang dan memberi hingga hidupnya dilihat tenang, aman dan penuh bahagia.

Wahai para sahabat, maka berkatalah cendekiawan yang budiman bahawa manusia ini semacam dibahagi kepada tiga kelompok. Kelompok ‘si polan bodoh’ mendakap erat semua miliknya dan bimbang hak miliknya akan berkurangan. Sentiasa bimbang terhadap sebarang perubahan yang berlaku. Segala tindakan tidak berasaskan fikiran. Lebih banyak menurut emosi daripada akal fikiran.

Benar ya memang benar. Dalam tubuh manusia ada sel aktivasi, sel otak yang mempengaruhi emosi kita. Mempengaruhi apa yang kita nampak. Tetapi apa yang kita nampak bukan hanya dengan pancaindera yang bernama mata, tetapi sewajarkan kita semua lihat melalui mata dengan hati dan otak. Ya mata hati! Ya, dengan hati dan otak! Faham-faham sajalah.

Kelompok ‘si polan pandai’ sentiasa belajar menerima kepastian. Bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan. Malah siap siaga menghadapi setiap perubahan.

Benar ya memang benar. Mari kita kawal apa yang kita dengar melalui telinga. Mari kita kawal apa yang kita fikirkan melalui minda. Mari kita kawal apa yang kita percakapkan melalui mulut dan lidah. Dan mari kita kawal apa yang kita lihat melalui mata. Faham-faham sajalah.
Kelompok ketiga ialah ‘si polan yang arif’ menghormati nilai ketidakpastian. Dan menerima kepastian tanpa berubah. Maknanya kebenaran tetapi kebenaran. Baginya memiliki sesuatu sama sahaja dengan tidak memiliki.

Benar ya memang benar. Tidak gemar menjadi pemerhati orang lain, pemerhati sikap orang lain dengan tujuan untuk menila, menghukum dan membuat perbandingan antara amalan orang lain dengan diri sendiri.
Hubaya-hubaya, ada juga orang yang sentiasa merasa tidak puas hati atau merasa tidak cukup dengan kecekapan yang dimiliki, dengan kesenangan yang ada, dengan harta benda yang dimiliki sehingga selalu bertanya mengapa tidak seperti orang lain yang seolah-olah segalanya berjalan lancar dan mudah? Lalu hanya pandai mengkritik, hanya tahu kesalahan orang lain. Kesalahan diri sendiri cuba diselindung. Selindung di sebalik sarangan laba-laba!

Perasaan ego hendak ditonjolkan.
Perasaan rendah diri mahu disembunyi. Eloklah bina keyakinan diri dengan mencari reda Allah Subhanahu Wata'ala supaya rasa ego dan bongkak itu beransur-ansur pupus.
Bukankah, lebih baik dinilai bodoh tetapi benar, daripada dianggap cerdik tetapi berbohong! Dunia dalaman kita menentukan dunia luaran kita.

Aduhai, berapa ramai orang yang melihat sesuatu kejayaan dari sudut luaran. Setiap orang mempunyai masalah dan kegembiraan masing-masing. Sebenarnya kita bertanggungjawab kepada diri kita sendiri. Nah, ambil keputusan dalam hidup kerana keputusan itu memang benar. Jangan ambil keputusan disebabkan kita andaikan ianya mudah. Cabaran dalam mengambil keputusan yang benar lazimnya datang dari dalam diri kita sendiri.

Wahai para sabahat, bacalah anekdot kisah di bawah ini.

“Syahdan, si polan yang mempunyai musuh hendak melihat wajah musuhnya.”

Musuh itu sentiasa mengekorinya ke mana saja si polan pergi.
Semua rancangan si polan dihalang. Cita-cita si polan yang hampir tercapai digugat hingga tidak berjaya. Kemajuan masa depan si polan disekat dengan pelbagai halangan, tentangan dan serangan. Si polan tidak boleh meloloskan diri. Ada-ada sahaja ikhtiar musuhnya itu agar si polan tidak maju.

Si polon dengan nada sedih berkata, “Tidak boleh lama-lama begini.”
Kemudian pada suatu malam, si polan berjaya memerangkap musuhnya yang sedang bertopeng itu.
Si polan menarik topeng musuhnya. Lihat dan teliti wajah musuhnya selama ini. Tetapi ternyata yang dilihatnya itu adalah dirinya sendiri. Ternyata musuhnya itu adalah dirinya sendiri.

Sesungguhnya, si polan itu langsung tidak punya musuh. Orang yang dianggapnya selama ini musuh, ya musuhnya, adalah dirinya sendiri.”

Fikir-fikirlah.

Penulis pun teringat kepada sebuah pepatah yang menyebut, “Belon dapat terbang bukan kerana warnanya tetapi kerana isinya!”
Wahai para sahabat. Masing-masing punya masalah. Berat ataupun ringan. Senang ataupun sukar. Itu namanya kehidupan. Namun untuk diri sendiri, kita bertanggungjawab penuh untuk menata dan menatang dengan lebih baik lagi.

Lebih baik kita berkongsi dengan memberi kesempatan kepada orang lain bergembira dengan apa yang kita miliki.
Kerana itu, apabila berlaku suatu kejadian yang tidak diingini, kita perlulah menyemai sangkaan baik pada Allah. Pada waktu yang sama wajarlah terus berusaha dan berdoa supaya usaha itu mendapat kejayaan dengan keberkahan.

Pada ilmuan Muslim menyatakan bahawa qadak dan qadar adalah ketetapan Allah yang ditentukan sejak dari azali lagi berdasarkan ilmunya yang maha tinggi, disusuli dengan kejadian alam semesta, Allah menetapkan gas atau asap memenuhi angkasa raya diikuti dengan kejadian bintang serta planet dan itulah yang sebenarnya berlaku tanpa dapat dihalang. Satu bahagian oksigen perlu bercantum dengan dua bahagian hidrogen bagi menjadi air (H2O), dan hakikat ini tidak dapat diubah sampai bila-bila.

Allah menetapkan kaum wanita dan bukannya kaum lelaki yang mengandung dan melahirkan anak. Hakikat ini juga tidak dapat diubah.
Begitulah juga Allah menetapkan mata sebagai alat bagi melihat. Telinga bagi mendengar. Fungsi ini berterusan sampai bila-bila. Allah menetapkan setiap yang hidup pasti merasai mati. Tidak ada seorang pakar perubatan, pakar saintis manapun yang boleh mengubah kenyataan ini.

Semua ini dan yang lain-lainnya tidak dapat diubah kerana ia adalah ketetapan Allah sejak dari azali lagi berdasarkan kebijaksanaan-Nya yang tanpa batas dan ia menjadi hukum alam yang dikenali sebagai “hukum sebab musabab dan sebab akibat”. Maknanya adalah takdir. Kerana itu apabila berlaku suatu kejadian atau suatu peristiwa yang tida diingini, tak kiralah melibatkan diri sendiri, keluarga dan orang lain, manusia wajarlah menyemai sangkaan baik kepada Allah. Jangan sekali-kali berburuk sangka kepada Sang Pencipta. Tinggal lagi, manusia tidak mampu menyalami serta memahami rahsia dan hikmat itu.

“Justeru, hukum alam yang berkait rapat dengan kehidupan manusia ini adalah sebahagian daripada ketetapan qadak dan qadar,” begitu rumusan para ilmuan Muslim.

Wahai para sahabat,

Bila-bila masa sahaja, kita dapat menciptakan emosi kita sendiri, bukan! Apabila anda yakin, maka diri anda sendirilah yang mewujudkan perasaan itu. Bukan orang lain. Bila anda sedih, andalah yang menyebabkannya. Apabila anda bersemangat tinggi, andalah yang membentuknya. Tidak ada sesiapa pun ataupun yang apa pun yang boleh memberi kesan ataupun mengubah emosi anda selagi anda tidak membenarkan diri anda sendiri berubah.

Adakah ini benar? Mari fikirlah hal ini. Mengapa dua orang yang mengalami pengalaman yang sama mempunyai perasaan yang berbeza mengenai pengalaman itu? Ada orang takut dan gementar hendak bercakap di hadapan orang ramai manakala orang lain tenang saja. Ada orang bosan pergi ke pejabat, menakala orang lain begitu bermotivasi. Ada orang tercabar dan mendapat inspirasi apabila menghadapi rintangan, sementara orang lain kecewa.

Nah, dapatkah anda lihat, bukan apa yang berlaku di luar yang memberi kesan kepada seseorang, tetapi apa yang berlaku dalam diri mereka sendiri.

Lalu kita merenung diri mengenang masa lampau yang telah berlalu. Bagi kita yang sudah tergolong 'warga emas’ ini, ianya bukan tempuh singkat. Setiap kali kita berseorangan mengenang kisah lampau maka kita tidak dapat mendustakan masa yang telah dikurniakan Allah.

Allah masih memberi ruang masa untuk berfikir tentang kisah silam dan merenung masa berbaki. Ya, masa berbaki yang kita masih diberi peluang untuk terus menghirup udara segar. Tetapi ya, banyak pertanyaan yang dikaitkan dengan semalam dan kisah masa lampau tidak mampu dijawab dengan rasa lega. Malah ia mencuakkan perasaan yang tidak mampu dihilangkan melalui aroma pelancongan atau berhibur sambil berkaraoke.

Hati dan perasaan sentiasa berdebar atau mungkin sangat gementar. Mungkin ada yang berpura-pura tidak mahu berfikir. Membiarkan hari-hari yang telah berlalu pergi seolah-olah tiada apa yang berlaku. Masya-Allah, Subhanaalah, Allahu Akbar. Jika kita sehat sejahtera, bermakna Allah telah memberi sekurang-kurangnya dua nikmat yang berbeza, iaitu nikmat kesihatan dan nikmat masa.

Fikir-fikirlah, sahabat!

Attachments