Manage PermissionsManage Permissions

Menerjah minda penulis kreatif dan penterjemah Asia Pasifik

29/12/2014

logo cetusan minda 29122014 Menerjah minda penulis kreatif dan penterjemah Asia Pasifik


CETUSAN MINDA Bil: 115

LEBIH 100 orang peserta dari Asia Pasifik menyertai pertemuan AP Writers. Pertemuan pertama kali diadakan sejak AP Writers ditubuhkan pada tahun 2009. AP Writers adalah singkatan bagi Asia Pacific Writers & Translators Association. Terjemahan langsung pertubuhan ini dalam bahasa Melayu ialah Pertubuhan Para Penulis dan Penterjemah Asia Pasifik.

Pertemuan yang berkonsepkan seminar, forum dan bual santai sesama peserta diadakan selama lima hari bermula 5 hingga 9 November 2012. Bahasa Inggeris digunakan sepanjang berkomunikasi. Peserta-peserta terdiri daripada kalangan penulis kreatif dan penterjemah dari Afrika, Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, Kemboja, Taiwan, Hong Kong, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Myanmar, Pakistan, Filipina, Singapura dan Thailand.

Beberapa orang penulis kreatif dan penerbit dari Amerika Syarikat dan United Kingdom juga menyertai pertemuan julung kali diadakan ini. Tujuannya ialah bagi menerjah minda para penulis kreatif sastera dan pada penterjemah karya kreatif di rantau Asia Pasifik.

Acara-acara utama dilakukan di Fakulti Sastera, Chulalongkorn University, Bangkok. Negara Brunei Darussalam diwakili oleh dua orang penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara atau The S.E.A. Write Award iaitu Haji Mohd. Salleh Abdul Latif dan Mohd. Zefri Arif bin Mohd. Zain Arif atau nama penanya Zefri Ariff. Seorang pengarang dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam (NBD), iaitu Ardysham bin Haji Abu Bakar turut menyertai pertemuan ini.

Penulis dan Ardysham dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan NBD. Dalam makna, tiket penerbangan pergi balik, penginapan dan elaun sara hidup sepanjang mengikuti pertemuan AP Writers itu ditaja oleh Kerajaan NBD. Manakala Zefri Ariff atas perbelanjaan sendiri.

Penglibatan penulis-penulis kreatif dari NBD ke pertemuan AP Writers yang julung kali diadakan ini adalah atas inisiatif dan daya usaha Zefri Ariff, ahli bersekutu AP Writers. Komunikasi setiakawan Zefri Ariff dengan penulis-penulis serantau telah memberinya ruang dan peluang terkini bagi penulis tanah air diterima menghadiri pertemuan ini. Malah penulis pun belum jadi ahli kepada AP Writers. Syabas, atas sikap proaktif yang ditunjukkan oleh Zefri Ariff. Para penulis Brunei seharusnya melihat jauh ke hadapan. Harus berfikir di luar kotak. Bukan sekadar terperap dalam lingkungan tempatan sahaja!

Pertemuan AP Writers ini julung kali diadakan sejak AP Writers ditubuhkan pada tahun 2009. AP Writers berpangkalan di Hong Kong. Pertemuan pertama kali ini diadakan di Bangkok. Kebanyakan para peserta pertemuan ini adalah para penulis yang pernah memenangi anugerah karya kreatif di negara masing-masing. Para pengkaji dan peminat sastera juga turut menghadiri, di samping para penterjemah.

Dalam pertemuan AP Writers ini, penulis sering kali berbual dengan Profesor Harry Aveling, nama yang sudah tidak asing di kalangan pengkaji dan peminat sastera Asia Pasifik. Dia adalah salah seorang ahli panel dalam satu forum khusus menyentuh tentang hal ehwal penterjemahan karya-karya kreatif. Forum ini diadakan di hari kedua pertemuan tersebut. Kebetulan Harry menginap di hotel yang sama dengan penulis. Jadi, setiap pagi sarapan sama-sama satu meja dengannya. Dia boleh berbahasa Melayu.

Moderator forum ialah ShirleyYoung-Eun Lee. Dia adalah penyair, penterjemah dan komposer serta pernah jadi siswa dalam bidang Kesusasteraan Klasik Persi di Oxford University. London. Shirley adalah salah seorang pengasas AP Writers.

“Kesukaran-kesukaran yang sering dihadapi oleh para penterjemah ialah merungkaikan pemikiran para penyair yang diolah begitu rupa dalam bahasa ibunda masing-masing, tetapi makna bahasa yang diguna pakai itu langsung tidak ada dalam bahasa Inggeris. Ianya terpaksa diterangkan dalam nota kaki dengan agak panjang. Itu pun maknanya tidak menepati apa yang dimaksudkan oleh penyair. Penterjemahan dari bahasa asal karya-karya kreatif ke dalam bahasa Inggeris atau ke bahasa-bahasa lainbukanlah semudah yang disangka,” kata Shirley. “Lagipun pembayaran yang diterima oleh para penterjemah itu tidak berbaloi. Para penerbit terlalu berkira-kira apabila mahu menerbitkan buku terjemahan. Malah ada ketikanya buku yang sudah diterjemahkan itu lebih 10 tahun masih diperam oleh penerbit,” luahan kecewa dari salah seorang peserta yang mencelah secara tiba-tiba semasa forum berlangsung.

Kekecewaan itu dipersetujui oleh ahli panel yang lain, iaitu Jane Weizhen Pan, warga Hong Kong yang bahasa ibundanya ialah Mandarin dan Kantonis. Pemegang Ijazah Sarjana Bidang Pengajian Penterjemahan dari Monash University. 'Ordained by Heaven', opera abad 17 China tulisan Li Yu telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Jane, di samping buku 'Magician of 1919' karya Li Er. Kedua-dua buku terjemahan ini diterbitkan oleh MakedoPublishing.

Seorang ahli panel dari Jepun, Kyoko Yoshida berkata, “Di negara kami Jepun, kerja-kerja penterjemahan dilakukan secara profesional. Ada institusi-institusi khusus mengenainya. Buku-buku yang diterjemahkan ke bahasa Jepun adalah dari semua bahasa-bahasa utama yang terdapat di dunia ini. Tidak kira buku kreatif atau non-kreatif. Kebanyakannya terjemahan ke dalam bahasa Jepun itu adalah buku-buku ilmu pengetahuan dari pelbagai bahasa di dunia. Kami amat menghargai ilmu pengetahuan. Kami juga menterjemahkan buku kreatif dan non-kreatif yang dikarang dalam bahasa Jepun ke dalam bahasa-bahasa lain.”

Kyoko Yoshida lahir di Fukuoka, Jepun. Pemegang ijazah sarjana dari Kyoto University, dan PhD dari University of Wisconsin-Milwaukee. Antara karya kreatif bahasa Jepun yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris ialah antologi puisi Kiwao Nomura yang diberi tajuk 'Spectacle & Pigstywon' selain 'Park City' karya Masataka Matsuda.

Buku terjemahannya 'Spectacle & Pigstywon' telah menerima anugerah 'Rochester University’s Best Translated Book Award in Poetry' tahun 2012. Dia adalah peserta '2005 International Writing Program at University of Iowa'.

Dengan nada yang agak perlahan Profesor Harry Aveling berkata, “Kita biasanya menganggap bahawa asal sahaja seseorang itu memperoleh ilmu secara formal di sekolah dan di pusat pengajian tinggi, orang itu dianggap sudah celik budaya ilmu, atau culturally literate. Hal ini mungkin berpunca daripada kegagalan pengajaran dan pembelajaran ilmu yang formal untuk memperluaskan ufuk mental atau pandangan dunia ilmu itu. Ilmu dianggap sebagai disiplin akademik, sebagai sesuatu yang elitis, yang serius, jadi orang umum yang tidak memahami atau menguasai disiplin ilmu melalui sistem pengajaran dan pembelajaran yang formal tidak akan dianggap sebagai orang berilmu walaupun barangkali orang itu mengetahui ilmu itu.”

Penulis amat teruja dengan hujah-hujah bernas ini. Memang benar, usaha menuntut ilmu harus berdasarkan disiplin atau kaedah tertentu. Tetapi disiplin ilmu tidak bermakna bahawa ilmu itu elitis sifatnya dan oleh yang demikian ia mesti dipisahkan. Dan penterjemahan karya kreatif dari bahasa asal ke bahasa lain tidak boleh dianggap sebagai elitis.

“Pemahaman sesuatu idea lebih penting daripada pengetahuan yang diperolehi secara hafalan atau melalui pembacaan sepintas lalu sahaja. Dalam kerja-kerja penterjemahan ini kita bukan sahaja harus mengetahui, tetapi lebih penting lagi, harus memahami sesuatu idea, prinsip secara kritis sehingga kita dapat berfikir sendiri, membincangkannya, dan jika perlu, menerapkan pemikiran penulis itu dalam berbagai-bagai konteks tempatan, di mana penulis itu lahir dan dibesarkan,” kata Profesor Harry Aveling, kini masih bertugas di Monash University, Melbourne, Australia.

Beliau ini telah banyak menterjemah bukubuku sastera, iaitu karya-karya kreatif penulis Indonesia dan Malaysia dari bahasa Indonesia dan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Antara buku terjemahan utamanya ialah Secrets Need Words: Indonesian Poetry 1966-1998 terbitan Ohio University Press, 2001; buku antologi puisi perseorangan Saint Rosa: Selected Verse of Dorothee Rosa Herliany terbitan Indonesia Tera, 2005.

Tahun 1991, Profesor Harry Aveling telah menerima Anugerah Pengembangan Sastera dari GAPENA atas sumbangannya mengangkat dan memperkenalkan martabat kesusasteraan Melayu di arena antarabangsa.

“Harry, meski sastera Melayu itu dialihbahasakan sebegitu rupa ke dalam bahasa Inggeris, misalnya, sastera Melayu itu memanglah sastera bangsa Melayu, yakni sastera yang diciptakan oleh penulis Melayu dan dikarang dalam bahasa Melayu, bukan sastera bangsa lain. Seperti Harry maklum kami di Brunei memanggilnya bahasa Melayu, di Malaysia sebagai bahasa Malaysia, dan di Indonesia sebagai bahasa Indonesia. Jadi saya bercakap dalam konteks nusantara,” kataku ketika kami sama-sama sarapan pagi di hotel. Kebanyakan peserta pertemuan AP Writers inimenginap di Hotel Asia Bangkok.

“Saya setuju, Salleh. Pendek kata sastera Melayu itu lahir di bumi Nusantara (bumi Melayu) di kawasan yang disebut Dunia Melayu sejak zaman dahulu kala, tidak di bumi atau di dunia lain,” celahnya.

Lalu penulis menyambung, “Sastera inilah yang telah membentuk tradisi yang tersendiri. Yang memperlihatkan bentuk, isi, watak, gaya dan tenaga dalaman tersendiri sebagai hasil kebijaksanaan dan keupayaan daya cipta seni bangsa Melayu. Sastera inilah, Harry, yang telah melahirkan puisi tradional Melayu seperti pantun, gurindam dan seloka, cerita atau hikayat lipur lara, hingga ke zaman lahirnya hikayat tulisan yang dipercayai terawal, iaitu Hikayat Raja Pasai, di pertengahan abad ke-14.”

Harry Aveling memperakukan dengan berkata, “Memang benar, Salleh. Nilai budaya, moral dan sosial orang Melayu, falsafah atau pandangan dalam berbagai-bagai bentuk dan gaya, misalnya melalui kiasan, bidalan, perumpamaan, jenaka, sindirian dan kritikan dapat dilihat melalui karya-karya agung Melayu seperti Sejarah Melayu (Sulalat al-Salatin), Hikayat Hang Tuah dan lain-lain lagi.”

Bicara santai kami berdua semasa menikmati minum pagi di kafeteria hotel penginapan kami itu cukup bermakna. Bicara santai kami berdua itu menggunakan bahasa Inggeris. Tapi pada satu ketika penulis bercakap dalam bahasa Melayu bagi merungkai kesukaran menterjemah bahasa Melayu ke dalam bahasa Inggeris.

“Beri contoh perkataan Melayu apa yang sukar diterjemah dalam bahasa Inggeris, Salleh?” tanya Harry Aveling semacam menguji perbendaharaan kata.

Aku segera berkata selepas meneguk teh o, “Bersawah padi sering dikaitkan dengan petani khususnya petani berbangsa Melayu. Dalam negara kami, petani itu adalah majoritinya dari puak Kedayan.”

“Benar, jadi apa masalahnya?” sampuk Harry Aveling.

“Istilah bahasa Melayu yang kami ucap atau panggil bagi suatu benda hasil bersawah padi ini sungguh unik. Banyak perkataan yang mempunyai maksud berbeza. Dalam bahasa Melayu terdapat perkataan seperti ‘padi’, ‘beras’, ‘nasi’, ‘emping’, ‘atah’ atau ‘antah’. Tetapi semua patah-patah perkataan, iaitu ‘padi’, ‘beras’, ‘nasi’, ‘emping’ dan ‘antah’ dalam bahasa Inggerisnya cuma diterjemahkan sebagai rice. Ya, hanya rice. Maaf cakap, Harry. ” terangku.

Secara berhati-hati aku menerangkan bahawa 'padi' ialah sejenis tumbuhan yang buahnya dijadikan beras (rice in the husk); 'beras' ialah padi yang telah ditumbuk dan kulitnya telah terkupas (uncooked rice with husk removed); 'nasi' ialah beras yang telah dimasak (cooked rice); 'antah' ialah butir-butir padi yang tertinggal dalam beras atau nasi (rice grains left unhusked among the husked after pounding); dan 'emping' ialah sejenis kuih yang dibuat daripada padi yang belum masak betul (a cake made from rice which is crushed before it is fully rife).

Harry Aveling tersenyum mendengar penjelasanku itu. Dia akur lalu berkata, “Itu adalah salah satu masalah yang dihadapi oleh penterjemah karya kreatif, Salleh. Apa pun cabaran yang dihadapi, penterjemahan tetap dilakukan jua. Benar, sering juga apa yang ditulis-cipta penulis asal lari maknanya bila terjemahannya kurang tepat. Ya, mungkin salah penterjemahan! Nota kaki panjang punkadang-kadang tidak menepati makna.”

Kemudian kami berdua beralih kepada isu-isu semasa. Kami berdua sependapat dengan langkah proaktif yang dilakukan oleh AP Writers yang julung kali mengadakan pertemuan ini.

Di masa yang lain, penulis berpeluang bersembang dengan Iwan Sulistiawan, pensyarah sepenuh masa Sekolah Tinggi Bahasa Asing LIA Jakarta. Beliau ini menulis esei dan cerpen dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris. Buku pertamanya bertajuk Miskin tapi Sombong, terbit pada tahun 2009. Novel keduanya ialah Kupu-Kupu Pembunuh Naga yang terbit pada tahun 2011.Kami lebih banyak bercakap tentang pergolakan semasa daripada membincangkan tentang perkembangan kesusasteraan nusantara.

Di hari kedua pertemuan AP Writers itu, penulis mengenali lebih dekat lagi seorang pengarang wanita, lahir di Pakistan, dibesarkan sejak kecil dan terus menetap di United Kingdom. Qaisra Shahraz, lulusan Ijazah Sarjana Dalam Bidang Kesusasteraan Inggeris dan Eropah dari University of Manchester. Dia mengarang beberapa buah novel dalam bahasa Inggeris. Antaranya ialah The Holy Woman (2001) dan Typhoon (2003). Dia yang sudah mempunyai tiga orang anak lelaki ini datang ke Thailand bersama suaminya, khusus bagi mengikuti pertemuan AP Writers tersebut.

Bicara penulis dengannya bertambah rancak bila dia mendapat tahu bahawa penulis adalah lulusan Sarjana Dalam Bidang Pengajian Penerbitan dari University of Stirling, Scotland. Pun penulis pernah jadi siswa di North East London Polytechnic (kini dinaiktaraf sebagai North East London University) dalam bidang Pengajian Pengurusan. Suaminya adalah graduan dari polytechnic tini. Jadi perbualan kami dalam bahasa Inggeris mudah dimengerti.

Kedua-dua buah novel Qaisra Shahraz diterbitkan oleh Alhamra Publishing, Islamabad, Pakistan. Kedua-dua buah novel ini telah pun diterjemahkan dalam beberapa bahasa dan terjual melalui acara festival sastera serantau dan antarabangsa.

The Holy Woman memenangi anugerah 'The Golden Jubilee Award' dan 'Waterstones’s Book of the Month'. Novel ini diterbitkan pada tahun 2001, dibahagikan kepada 68 bab. Novel setebal 491 muka surat ini yang telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia, dan terlaris dijual di Indonesia. Novel yang berkisar tentang konsiprasi sebuah keluarga yang disaluti dengan keghairahan beragama, di samping kasih sayang yang tidak kesampaian. Ya, pertembungan antara adat dan agama.

Diamenghadiahkan novel-novelnya itu kepada penulis. Dengan rendah hati menurunkan tulisan tangannya seperti berikut : 'For brother Salleh. Lovely to meet you. I hope you enjoy reading this novel – Good luck with your writing. Qaisra Shahraz 6/11/12' (Tulistangannya dalam novel The Holy Woman). Bagi novel Typhoon pula dia menulis begini: 'For brother Salleh Latif. Great to meet you. Enjoy your reading. Best of warm regards. Qaisra Shahraz 6/11/12 qshahraz@ hotmat.com.'

“Terima kasih. Terima kasih. Bila anda ke Brunei, sila hubungi aku.” Penulis berikan e-mel. Pun juga nombor telefon bimbit penulis kepada suaminya.

“InsyaaAllah,” serentak mereka menjawab. Pertemuan APWriters sungguh menerjah minda! Kenangan yang menjana ilham untuk siri cetusan minda kali ini. SEKIAN.

Attachments