Manage PermissionsManage Permissions

Kampung Pandai Besi menyusur zaman

21/06/2015

​Oleh : Haji Mohd. Salleh Abdul Latif, Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A. Write Award 1990)

BILANGAN 123

TIGA HARI sebelum pelancaran buku yang mengisahkan tentang sebuah kampung di Kampong Ayer itu berlangsung, penulis dihubungi secara telefon oleh sahabat penulis yang bernama Haji Abd. Kadir bin Taha. Menurutnya, sebuah buku yang mengisahkan Kampung Pandai Besi akan dilancarkan di salah sebuah hotel terkemuka di Jerudong. Penulis ucapkan syukur dan amat berterima kasih atas ingatan baik. Alhamdulillah.


Datanglah penulis dengan berbaju lengan panjang ke tempat yang dimaksudkan pada waktu yang ditetapkan, iaitu malam 9 Mac 2015, selepas menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid yang tidak jauh dari hotel itu. Terpingga-pingga penulis masuk ke lobi hotel itu kerana semua berpakaian cara Melayu warna putih. Aduhai, di mana silapnya. Mungkin silap penulis kerana langsung tidak bertanya pakaian apa yang perlu dipakai pada majlis itu yang hanya dikhususkan untuk warga yang berasal dan bermastutin di Kampung Pandai Besi sesuai dengan nama buku yang dilancarkan.


Maaf, penulis mengakui kesilapan itu. Atau sahabat penulis itu terlupa menyentuh tentang jenis pakaian. Penulis sendiri cuma memastikan bila, di mana dan apa namamajlis itu walhal pada sebelah pagi, pada hari pelancaran buku itu, penulis dihubungi untuk kali kedua oleh Haji Kadir bagi mengingatkan lagi jemputan peribadinya itu. Pun tidak juga sentuh tentang jenis pakaian yang harus dipakai. Penulis hanya meyakinkan bahawa penulis akan hadir pada majlis pelancaran buku itu. Janggal bukan, penulis saja pakai baju lengan panjang corak separuh batik!


Alhamdulillah, Haji Abd. Kadir berpeluang menjumpai penulis setelah penulis menyatakan akan meninggalkan majlis itu sebaik sahaja buku yang bakal dilancarkan dapat diperolehi. Banyak kenalan penulis beriya-iya benar mengajak untuk masuk ke dewan, tetapi ya penulis dengan hormatnya menolak. Kerana bagi penulis adalah tidak manis dan tidak berhemah jika penulis duduk bersarapan di majlis itu (berpakaian lengan panjang) dengan keseluruhan warga Kampung Pandai Besi yang rata-rata berpakaian cara Melayu sepengadak warna putih. Lagipun jemputan yang memenuhi dewan besar hotel rata-ratanya mereka yang berasal dari Kampung Pandai Besi. Penulis adalah berasal dari Kampung Lurong Sikuna. Ini boleh diibaratkan sebagai ''kacau daun''.


Buku setebal 294 muka surat bertajuk ''Kampong Pandai Besi Menyusur Zaman'' terbitan PHMD Publishing Company, Negara Brunei Darussalam, tahun 2015 itu dapat penulis beli dengan harga BND15 sebelum ia rasmi dilancarkan pada malam 9 Mac 2015 itu. Buku ini dirasmilancarkan oleh tetamu kehormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Haji Abdul Wahab bin Haji Md. Said, anak jati Kampung Pandai Besi.


Buku itu sempat ditandatangani oleh Haji Abd. Kadir bin Taha, yang teringsut-ingsut berjalan dengan tongkat, mendatangi penulis yang di luar dewan upacara itu. Terima kasih, sahabat. Lepas itu penulis mohon diri, nasib baik tetamu kehormat belum lagi sampai.


Bila membaca judul buku tersebut yang berlatarbelakangkan Kampong Ayer penulis terus teringat buku penulis yang bertajuk ''Menyusur Zaman Biografi Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin'' tebalnya 704 muka surat, terbitan Minda Kreatif Publishing, Negara Brunei Darussalam pada tahun 2004. Kulit depan buku penulis ini berlatar belakangkan potret Haji Mohd. Zain sendiri. Buku ini penulis hasilkan dengan mengambil masa dua tahun lima bulan termasuk penyelidikan dalam negeri dan luar negara, dengan puluhan orang ditemubual.Kan halnya, perkataan ''menyusur zaman'' memang boleh digunapakai oleh sesiapa saja!


Berbalik kepada buku ''Kampong Pandai Besi Menyusur Zaman'', penulis amat teruja dengan madah Haji Abd. Kadir, selaku Pengerusi Jawatankusa Penerbitan, di muka surat 12 dan 13 yang antara lain menulis begini : ''Pada mulanya rancangan dan cadangan saya untuk membuat buku kenangan mengenai Kampung Pandai Besi hanyalah cakap-cakap dan cadangan sahaja, tetapi hasrat saya itu akhirnya saya luahkan kepada beberapa orang teman dan kawan dan akhirnya menjadi kenyetaan. Saya percaya dengan adanya buku ini nanti akan dapat memberikan kesedaran kepada kita khususnya bekas penduduk Kampung Pandai Besi betapa kampung tempat kelahiran kita itu semestinya diingat dan dikenang, kerana di situlah kita dilahirkan dan dibesarkan serta tempat kita sepermainan semasa zaman kanak-anak sehingga kita dewasa dan seterusnya berpindah ke tempat lain. Jawatankuasa penerbitan ini telah berusaha keras dalam menggali fakta-fakta sejarah dan mengumpulkan gambar-gambar yang ada kaitan dengan penduduk Kampung Pandai Besi, serta kecemerlangannya.''


Belum lewat untuk penulis ucapkan syabas dan tahniah. Buku ini berdaya mampan untuk menjadi khazanah sejarah negara bangsa tentang khidmat bakti, sumbangan kejayaan anak watan yang berasal dari Kampung Pandai Besi. Buku ini juga menambah bilangan buku bernada sejarah yang amat berguna untuk bahan kajian dan penyelidikan bukan sekadar untuk para siswa malah untuk tatapan semua peringkat umur. Nilai sejarah yang terdapat dalam buku ini begitu tinggi. Perlu diketahui oleh rakyat dan penduduk negara ini tentang keakraban dan ''jiwa rakyat'' yang bersulam kental dalam nubari Almahrum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien. Muka surat 156 dan 157 dalam buku ''Kampong Pandai Besi Menyusur Zaman'' ini menceritakan begini :


''Pada tahun 1956, semasa keberangkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien untuk bercemar duli di hari raya di rumah Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Haji Md Sa'ad bin Juru Apong ninda kepada Awang Haji Abdul Wahab di Kampung Pandai Besi dan ketika itu Awang Haji Abdul Wahab sedang menghidang santapan ke hadapan Majlis Kebawah Duli yang Maha Mulia Baginda Sultan Omar 'Ali Saifuddien, lalu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan bertanyakan kepada Yang Dimuliakan Pehin Siraja Khatib Haji Md Sa'ad bin Juru Apong (1889-1967), siapa gerangannya yang sedang menghidangkannya ini.


Pehin Siraja Khatib Haji Md Sa'ad lantas menjawab, ''Beribu Ampun cucu Patik''. Setelah dua bulan kemudian Awang Haji Abdul Wahab dipanggil oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Omar 'Ali Saifuddien. Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Dewa ketika itu diperintahkan untuk ke Kampung Pandai Besi ke rumah Pehin Siraja Khatib Haji Md Sa'ad untuk memberitahu akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Omar 'Ali Saifuddien untuk memanggil Awang Haji Abdul Wahab ke istana. Setelah itu, nindanya, Pehin Siraja Khatib Haji Md Sa'ad memberitahu supaya Awang Haji Abd. Wahab segera bersalin pakaian dan berseluar panjang denan berbaju lengan panjang.


Awang Haji Abd. Wahab ketika itu berasa gementar dan dilihat oleh Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Dewa lalu mengatakan ''Inda ada apa-apa Awang barangkali ada hajat Baginda Sultan''. Pehin Siraja Khatib ketika itu juga turut memberikan pesan supaya Awang Haji Abd. Wahab menjaga ulah, ketertiban, tunduk dan bercakap apa yang ditanya oleh Baginda Sutan dan empat juga nindanya mengajar untuk membahasakan diri dengan beradat apabila bersama dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan. Sejak itu, Awang Haji Abd. Wahab sering dipanggil ke istana.


''………..Dengan tingkah laku dan perangai yang bisai yang ditunjukkan oleh Awang Haji Abd. Wahab ketika berada dan bergaul di istana dengan anakda-anakda baginda (Sultan Omar 'Ali Saifuddien), maka baginda pun merasa 'terpakai' kan ulah dan juga Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Hassanal Bolkiah berasa selesa dan serasi akan keulahan Awang Haji Abd. Wahab ditambah lagi dengan kemerduan suara Awang Haji Abd. Wahab ketika membaca Al-Qur'an. Maka Baginda Sultan pun berkenaan untuk menjadikan Awang Haji Abd. Wahab sebagai teman atau kawan pengiring kepada anakda baginda Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Hassanal Bolkiah dan anakda-anakda yang lain.


Sejak daripada itu, maka Awang Haji Abd. Wahab pun menjadi rakan dan sahabat akrab kepada puter-putera Kebawah DYMM Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien terutama yang lebih rapat dengan beliau ialah Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda Hassanal Bolkiah.


Setelah sekian lama persahabatan terjalin, dan usia keduanya pun sudah meningkat remaja maka Awang Haji Abd.Wahab semasa belajar di Sekolah Arab Hisamuddin, Kelang, Selangor pun dibawa untuk 'mendangani' Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda Hassanal Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda Mohammed Bolkiah ketika melanjutkan pengajian di Sekolah Victoria Institution, Kuala Lumpur. Awang Haji Abd. Wahab pun tinggal bersama dengan Yang Teramat Mulia Duli Pengiran Muda Hassanal Bolkiah ke Malaya ketika itu dan bersamasama belajar. Beliau bersama-sama tinggal di IstanaAwang Alak Betatar di Ampang Jaya, Kuala Lumpur.''


Awang Haji Abd. Wahab yang dinukilkan dalam buku ini adalah Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Haji Abd.Wahab bin Haji Md. Said. Dalam 'Sekapur Sirih Seulas Pinang' muka surat 7, sifatnya sebagai Penasihat Jawatankuasa Penerbitan Buku ''Kampong Pandai besi, Menyusur Zaman'' ini antara lain menulis :


''Peramba, saya berharap dengan terbitnya buku ini juga mudahmudahan akan dapat memberikan banyak manfaat dan faedah dalam menimba pengalaman dan pengetahuan dalam bidang sejarah khususnya kepada pengkaji dan penggiat sejarah….''


Buku ini juga memuatkan gambar-gambar antaranya majlis perkahwinan Haji Abd. Kadir bin Taha pada tahun 1964 (muka surat 61); gambar nostalgia padian sedang berjaja (m.s. 70); gambar ramai murid Sekolah Melayu Pekan Brunei tahun 1948 (m.s. 109); gambar keluarga Pengiran Anak Hashim bin Pengiran Anak Metusin di akhir tahun 1950-an (m.s. 149); gambar Haji Abdul Wahab mengiri YTM Duli Pengiran Muda Sufri Bolkiah ketika perpuspaan DYTM Pengiran Muda Mahkota Hassanal Bolkiah tahun 1968 (m.s. 163): gambar majlis khatam Al-Qur'an bagi Awang Haji Abdul Wahab bersama adik perempuannya Dayang Rosnah pada tahun 1950 (m.s. 158). Terdapat juga rakaman gambar padian yang sedang berjaja di Kampong Ayer. Aduhai, padian hanya tinggal nostalgia! Siraung bini yang jadi penutup kepala padian berlabuh kekal dalam arkib!


Penulis juga terharu melihat gambar Haji Zainal bin Tudin dan Haji Masri bin Omar membawa batu dari Butir dalam tongkang kecil masuk ke Tambing Sungai Kianggeh. Aduhai, mengimbau lagi kenangan lama. Bidar atau gubang yang digerak secara berawat, orang merawai di Sungai Brunei, keriangan penulis 'menyambut' kikik yang putus, dan tohor yang melandai, dan mengambil air bersih dari paip di Sungai Panga menerpa sekilas dalam minda. Aduhai, kenangan manis meruntun jiwa.


Haji Zainal bin Tudin yang lahir pada tahun 1922 pernah bekerja mengambil batu di Butir untuk menyarai keluarga sebelum beralih kepada kerja menganyam serta membuat pelbagai jenis bakul dan belatak daripada rotan. Dia mempunyai kepandaian tersendiri dengan boleh jadi tukang buat rumah. Rumah yang didiaminya di Kampung Pandai Besi adalah hasil kerja tangannya sendiri. Gambar-gambar lain termasuklah juga rakaman gambar mesyuarat jawatankuasa penerbitan buku ini.


Mesyuarat pertama penerbitan buku ini bermula pada 23 Februari 2011 di Restoran Tarindak yang menghadap Kampong Ayer. Disusul dengan mesyuarat kedua di RPN Lambak Kanan hingga mesyuarat keenam. Mesyuarat kelima diadakan di balai rumah kediaman Pengiran Haji Othman bin Pengiran Anak Hashim, seorang peniaga dan pengusaha yang berjaya kelahiran dari Kampung Pandai Besi. Dari segi sejarah, mesyuarat ini penting untuk dinyatakan. Sayangnya, hanya tarikh mesyuarat pertama saja yang dicatat bila, mesyuarat-mesyurat susulan itu tidak bertarikh walhal dari segi sejarah tarikh itu amat penting bagi merungkai suatu perkara. Tunggu dulu, sahabat.


Kan halnya pula penulis masih ingat kedai makan Pengiran Haji Othman yang diberi nama Wisma Restoran. Kedai makan ini terletak di Jalan Sultan, Bandar Seri Begawan. Restoran itu amat popular sekitar tahun 1982 membawa ke tahun 1987. Mercu tanda restoran itu ialah nasi lemaknya yang jadi kegemaran orang ramai yang berkunjung ke restoran itu. Untuk nasi lemak sahaja dapat meraih jualan sehingga BND4,000 (empat ribu ringgit) sehari. Menurut Pengiran Haji Othman setiap hari, pada masa itu, antara 12 ke 14 gantang beras ditanak untuk nasi lemak itu sahaja bagi memenuhi kehendak pelanggan. Nasi lemak itu laris macam goreng pisang panas setiap hari. Dari situlah perniagaannya meningkat dan mampu menjana pendapatan lumayan sehingga berjaya memiliki hartanah. Dia adalah contoh pengusaha yang gigih yang dapat dibanggakan oleh purih dari Kampung Pandai Besi. Dalam bahasa mutakhir dia ini dapat digolongkan sebagai orang korporat yang berjaya. Syabas!


Sebagai seorang pencinta dan pengamat sejarah tanah air dalam kehidupan bernegara bangsa, masih belum lewat untuk penulis ucap syabas dan ceria terus kerana kejayaan menerbitkan buku yang banyak merungkai pelbagai peristiwa yang tidak pernah diceritakan sebelumnya terutama kepada ahli Jawatankuasa Penerbitan Buku ''Kampong Pandai Besi, Menyusur Zaman''.


Kalungan bunga digayutkan kepada antaranya Haji Abdul Kadir bin Taha (Pengerusi JK Penerbitan Buku), Pengiran Haji Md. Yusof bin Pengiran Anak Hashim (aktivis belia seangkatan dengan penulis dalam menggerakkan Majlis Belia Brunei lewat 60-an membawa ke tahun 80-an); Haji Hamdani bin Haji Md. Said; Haji Abdul Manaf bin Haji Adam; Haji Abu Bakar bin Haji Zainal; Pengiran Haji Othman bin Pengiran Anak Hashim, Pehin Penyurat Haji Osman, Haji Abd. Rahman bin Lamit dan lain-lain ahli jawatankuasa penerbitan buku ini. Kesepaduan dan kesepakatan itu telah membuahkan hasil yang pasti jadi ristaan anak-anak dan cucu-cucu di kemudian hari kelak. Namun ikhlas diucapkan buku ini harus ditambahbaik terutama dari segi penyuntingan dan soal ejaan. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Kepada mereka yang sudah menghadap Ilahi awal daripada kita, mari sama-sama panjatkan doa dan sedekahkan Al-Faatihah.


Kampung Pandai Besi berjaya menjana tokoh-tokohnya yang tersendiri dalam pelbidang. Bidang agama ialah Begawan Pehin Siraja Khatib Hj Md Sa'ad bin Juru Apong, Pehin Khatib Dato Seri Utama Haji Metali bin Md. Yassin, Pehin Khatib Dato Paduka Haji Md. Said bin Tengah, Dato Seri Setia Paduka Haji Abu Bakar bin Haji Tengah, Haji Bakir bin Othman, Haji Momin bin Besar, Haji Hidup bin Mohammad dan lain-lain. Dalam kegiatan belia dan kesukarelawanan terdapat Pengiran Haji Tajuddin bin Pengiran Anak Hashim dan Pengiran Haji Yusof bin Pengiran Anak Hashim. Kampung ini juga dapat berbangga dengan kependikaran Haji Moksin bin Chuchu dalam persilatan dan kuntau yang ditekuninya sejak berumur 19 tahun lagi. Lalu diangkat menjadi Penasihat kepada Persatuan Seni Siltan dan Kuntau Brunei Darussalam. Sering jadi 'wasit' atau hakim persilatan dalam pertandingan ini baik dalam negeri mahupun luar negara. Kita sedekahkan Al-Faatihah.


Coretan ini semacam tidak lengkap jika tidak disebut warga Kampung Pandai Besi yang mula pernah berkhidmat di Pejabat British Residen pada tahun 1949 sebagai pembantu
pejabat. Haji Md. Yusof bin Taha sempat berkerja di Pejabat Penerangan di awal penubuhan jabatan itu sekitar awal tahun 50-an. Tugas utamanya ialah mengendalikan tayangan gambar di perkarangan Istana Darul Hana bagi tontonan Baginda Sultan dan kerabat diraja yang lain, dan menjadi sahabat baik baginda. Hal ini dibuktikan dengan kesediaan Baginda Sultan berangkat bercemar duli ''berhari raya'' ke rumah kediaman Haji Yusof bin Taha di Kampung Pandai Besi pada tahun 1956, 1957 dan 1958. Sultan yang berjiwa rakyat, rakyat yang setia taat mengasihi Sultan. Jumpa lagi di lain siri.


Attachments