Manage PermissionsManage Permissions

Lihatlah masa depan sendiri dan hujung usia

08/12/2014

logo cetusan minda 081214 lihatlah masa depan sendiri dan hujung usia

CETUSAN MINDA Bil: 114

TERUJA penulis ketika teringat kata-kata seorang pakar motivasi dari negara jiran yang pernah berkata bahawa carilah pekerjaan yang memungkinkan anda banyak belajar bukan yang memberikan anda wang yang banyak.

Benar, asas sesuatu pekerjaan adalah melakukan sesuatu. Menulis di masa lanjut usia ini adalah juga merupakan pekerjaan.

Kegiatan adalah salah satu ciri yang menunjukkan manusia itu hidup. Manusia itu masih bernafas. Masih mensyukuri nikmat bakat yang dikurniakan kepadanya oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Kegiatan rutin dan dilakukan dengan baik dapat merehatkan dan meningkat daya ketahanan mental terhadap stress, jika ada. Nah, jangan biarkan diri kita berhenti daripada kegiatan sebab itu menurunkan semangat dan motivasi kerja. Teruskan kerja. Bekerjalah selagi Allah mengurniakan kita kudrat, tenaga dan kemampuan. Bekerja asal tidak melanggar syariah. Bekerja menurut kemampuan dan kebolehan kita. Bukankah setiap manusia itu mempunyai bakat dan kebolehan tersendiri yang dikurniakan oleh Allah!

“Bekerja” adalah sebahagian daripada kegiatan hidup selain daripada rehat, tidur dan makan. Berkerja tidak sekadar menghasilkan nafkah yang cukup bagi memenuhi keperluan hidup. Berkerja itu adalah bagi menikmati hidup. Berkerja itu adalah bagi membina hubungan dengan orang lain. Berkerja juga membuat dinamik hidup lebih bermakna.

Benar, para cendekiawan yang budiman sepakat berkata bahawa bekerja itu terbahagi kepada tiga kumpulan utama. Pertama ialah “occupation”. Kedua ialah “profession”. Ketiga ialah “vacation”. Bisai tah penulis huraikan satu persatu.

“Occupation” bererti seseorang bekerja hanya bagi menghabiskan waktu dan memperoleh sejumlah wang. Baginya tidak penting sama ada dia dinaikkan pangkat, mengembangkan kerjayanya ataupun menerima penghargaan lainnya.

Pekerja hanya mementingkan gaji mingguan atau bulanannya diterima secara tetap, sudah memadai.

Pekerja jenis ini tidak hirau bagaimana nasib agensi atau syarikat tempat ia berkhidmat dan berkerja.

Seorang sahabat penulis menggelar mereka yang bekerja pada tahap ini sebagai : “Pekerja yang kemarinnya, hari ini dan esok, sama sahaja!”

Nah, tidak heran jika pekerja yang berada di tahap ini masuk kerja bukannya terus bekerja. Dia berbual ke sana dan ke sini. Minum kopi ataupun berkongsi makanan. Enak dan selesa membuang banyak waktu berharga dengan berbuat demikian.

Bekerja yah memang berkerja. Yang penting setiap bulan gaji diterima seperti biasa sebagai haknya. Hah, sebagai haknya!

Memang benar, sekiranya kita berhenti melakukan kegiatan hari ini, kita tidak akan pernah tahu apa yang menanti kita pada masa depan. Tetapi aktiviti itu penting selama ia dilakukan secara tekun, penuh azam dan penuh tanggungjawab.

Penulis ulang, lakukan kerja secara tekun, penuh azam dan penuh tanggungjawab jika mahu maju. Bukan ala kadar sahaja. Sendiri yang menentukan masa depan sendiri. Bukan orang lain. Bukan kerja tanpa kesan!

Kedua, pekerja yang tergolong ke tahap profesional. Menurut para cendekiawan yang budiman bahawa jenis pekerja ini melaksanakan kewajipan dan tugas harian, di sampingsama-sama berfikir bagaimana meningkatkan mutu tugas dan pekerjaannya. Yang berada di tahap ini menempa keahliannya.

Bekerja ke tahap ini ialah melakukan sebaik mungkin agar ini lebih baik daripada kelmarin. Baginya, tiada masa terbuang sebaik sahaja kerjanya sempurna dilakukan. Malah bersedia pula menyudahkan kerja orang lain. Membantu orang lain bagi menyelesaikan kerja.

Rangsangan bagi melakukan tugas bukan sekadar mendapatkan gaji. Dia berusaha terus-menerus demi meningkatkan kecekapan diri waima di luar displin ilmunya.

Aktiviti kerja yang mengutamakan kewajipan daripada hak. Hal ini ternyata secara langsung mahupun tidak langsung meningkatkan nilai hidup seseorang itu.

Bukankah mereka yang hanya sibuk dengan haknya atau bahagian masing-masing memiliki nilai dan persepsi yang rendah pada hidupnya sendiri. Lihatlah masa depan diri sendiri.

Tiada siapa yang tahu bila ajalnya akan sampai. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Allah Yang Maha Perancang.

Faham-fahamlah, perjalanan hidup tidak selalu lancar sebagaimana yang kita rancang. Usaha menggarap impian tidak selalu melalui jalan pintas dan mudah.

Sering perlu merentasi badai, peluh dan air mata. Perlu ada ikhtiar dan kerja lutanan bagi memperoleh sesuatu yang lebih baik.

Bukankah pohon durian yang tinggi lagi besar memerlukan waktu bertahun-tahun lama menjadi kukuh dan berbuah dengan lebat. Bahkan, ia perlu menahan pelbagai tentangan yang berat bagi mencapai usia dewasa hingga berbuah.

Kerananya, pohon durian tetap bertahan dalam cuaca apa sekalipun. Dan tetap menghasilkan buah setiap kali pada musimnya.

Bandingkan pula dengan tumbuhan tauge. Dalam sehari tauge sudah tumbuh dengan mudah dan dalam sehari pula ia kembali layu.

Mahukah sahabat menjadi tauge?

Setiap orang memiliki cita-cita dan jalan kehidupan yang sudah ditetapkan oleh Allah. Bersamanya kita dapat melakukan perkaraperkara yang bermanfaat dalam menjalani hidup ini. Tetapi ya tetapi, tiada seorang pun yang dapat melakukan suatu kerja dengan kekuatan sendiri. Tunggu dulu.

Sebagai makhluk, tentulah kita perlu bersandar kepada Allah bagi mengelola seluruh ciptaan yang diamanahkan kepada manusia. Benar memang benar, untuk tetap bertahan dalam mengharungi perjuangan hidup, kita memerlukan perlindungan dan kekuatan Allah yang lebih berkuasa.

Setiap insan mempunyai jalan hidupnya sendiri. Penetapan jalan ini tentulah diawali dengan impian. Impian menentukan sasaran. Sasaran menurunkan rancangan dan rancangan mengarahkan kita bertindak. Tindakan yang terarah menentukan hasil yang saling kait-mengait.

Bukan angan-angan Mat Jenin! Bukan ibarat pungguk rindukan bulan!

Pakar motivasi ada berkata bahawa rintangan dalam meraih kejayaan hanya satu, iaitu alasan atau berdalih. Kerana 99 peratus kegagalan hanya datang daripada orang yang selalu mencari alasan.

Hubaya-hubaya, orang yang gagal dan sering mengeluh dalam menjalani liku-liku perjalanan hidup termasuk dalam melaksanakan suatu pekerjaan adalah mereka yang sering mencari alasan mengapa mereka tidak berjaya.

Walhal kegagalan tidak terjadi semasa kita jatuh. Kegagalan terjadi ketika kita menolak untuk bangkit semula.

Nah, jangan terus berkelana dengan angan-angan kosong. Tetapi belajarlah bangkit. Lihatlah realiti. Orang yang terus dapat bertahan dan terus meniti kehidupan adalah orang tidak mencari-cari alasan untuk melaksanakan suatu kerja.

Malah ketika alasan mereka direstui sekalipun, mereka hanya punya dua kata, iaitu tekun dan tekun. Jadi, bagaimana anda? Jadi, bagaimana sahabat!

Lihatlah masa depan sendiri. Sendiri yang menentukan masa depan. Bukan orang lain. Bukankah pada ketika kita memilih jalan yang menurut pandangan kita baik dengan segala risiko yang terkandung, ternyata tidak semua orang menyokong keputusan kita nanti. Itu kenyataan. Orang yang bertanggungjawab atas perbuatan dan masa depan kita adalah diri kita sendiri. Bukannya orang lain. Benar, kebanyakan orang hanya menjadi penonton. Malah jadi tukang komen yang baik (alhamdulillah) atas apa yang kita lakukan. Jangan jadi tukang komen yang negatif.

Ya, orang lain mungkin meragui kata-kata kita, tetapi mereka percaya apabila melihat kemampuan dan perbuatan kita. Membuktikan perbuatan yang seimbang dengan kemampuan. Bukan hanya cakap-cakap sahaja, terutama yang banyak cakap itu. Setiap manusia mempunyai kawasan atau zon sendiri yang peribadi, yang tidak mudah dimasuki atau dipengaruhi orang lain.

Terdapat beberapa sebab yang membuat orang terus gigih dan berani melakukan sesuatu waima usia sudah lanjut.

Pertama, dia mempunyai tujuan yang pasti, tidak menyerah kepada takdir.

Kedua, punya keyakinan yang tidak dapat digugat kerana dengan keberanianini bermakna dia dapat meningkatkan taraf dan martabatnya.

Ketiga, berani kerana ada orang lain membenarkan tindakannya.

Keempat, berani kerana nilai dan norma sesuai dengan aturan hidup dan agama yang menjadi anutannya.

Kelima, berani kerana ada yang menyokong ataupun mendampinginya.

Namun faham-fahamlah, keberanian yang sebenar adalah keberanian yang membantu orang lain dan berlandaskan keikhlasan.

Semasa ianya dilakukan, ada kekuatan alamiah dan keceriaan dalaman, yang mendampingi kita bagi menegakkan kebenaran di persekitaran kita.

Allah tidak membiarkan seseorang itu bekerja sendirian dengan keberanian sendiri dalam melakukan sesuatu yang disukainya.

Sejarah membuktikan sebahagian orang yang berjaya dalam kerjaya yang diceburinya adalah kerana mereka berazam agar maju. Berani mengatasi rintangan-rintangan yang ada tanpa sedikit pun berfikir untuk mundur.

Benar pada awalnya, perjuangan hidup seseorang memang berat dirasakan. Namun ketika semuanya berlalu, apa yang dianggap berat terasa ringan.

Bagaimana pula kerja yang digolongkan sebagai “vacation”. Ketiga, bekerja adalah “vacation”. Menurut para cendekiawan yang budiman bila bekerja dianggap sebagai “vacation”, mereka sudah tidak lagi mementingkan apa yang akan didapat tetapi lebih kepada apa yang dapat diberikan kepada orang lain.

Apa yang dapat disumbangkan kepada orang lain. Menebarkan manfaat ilmu dan pengalaman untuk dikongsi sama dengan orang lain.

Ya bagi mereka ini, melakukan kegiatan bukan lagi suatu pekerjaan tetapi sudah menjadi panggilan hati. Benar, panggilan hati. Bukankah asas sesuatu pekerjaan adalah melakukan sesuatu.

Masya-Allah, bernaunglah kepada kehebatan Allah yang boleh kita nikmati dan dan peroleh menerusi iman dan doa-doa.

Tidak kira sama ada remaja, belia, dewasa, tua dan lanjut usia. Usia bukanlah suatu penyakit. Pun usia bukanlah penghalang untuk kita tidak bekerja.

Usia tua tidak boleh menjadi muda. Lahir sahaja manusia ke dunia maka jarum usia mula berdetik. Mula bergerak tanpa berhenti.

Setiap saat, minit, jam, hari, bulan dan tahun tetap silih berganti. Tidak pernah berhenti waima sekali. Pergerakkan usia ini terus-menerus berlaku kepada setiap manusia.

Akhirnya manusia menjadi lemah dan tidak berdaya. Keberanian pun luput dengan sendiri. Masa depan sudah di tahap hujung.

Di hujungnya terbit akibat terakhir penyakit usia iaitu kematian. Kematian adalah suatu yang mutlak. Nah, pada ketika itu usia tidak lagi bertambah. Kerja pun sudah tidak lagi dapat dilakukan baik kerja sebagai “occupation” mahupun kerja sebagai “profession” atau kerja sebagai “vacation”. Tidak perlu lagi risau tentang kerja!

InsyaaAllah, catatan usia terhenti akan dicatatkan pada satu monumen terkenal yang bergelar batu nisan.

Benarlah firman Allah dalam Surah Al Mu'min ayat 67 yang kira-kira maksudnya:

“Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamumemahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Allah).”

Faham-fahamlah sahabat. Tanda kita sudah semakin berusia dan semakin hampir ke penghujung ada di mana-mana. Penunjuknya ada pada diri sendiri. Umur 40 – 50 – 60 – 70 tahun merupakan tanda nyata. Namun nilai kemerosotan tenaga berbeza-beza di antara individu dengan individu yang lain.

MasyaaAllah, Subhanaalah, Allahu Akbar.

Nikmat masa hidup yang dipinjamkan ini, sungguh-sungguh bermakna, untuk kita berfikir. Untuk kita cuba menggunakan sebaik mungkin.

Kita bersyukur kerana mata dan telinga masih mampu membaca dan mendengar ilmu yang ditulis oleh bijak pandai yang lain. Sehingga minda masih tetap berfungsi. Kuasa berfikir ini merupakan anugerah Allah. Ia dikurniakan kepada mereka yang benar-benar berkehendakkannya.

Benar, banyak perkara tidak lagi seperti dulu. Orang tua mudah letih berbanding ketika usia muda. Mata cepat mengantuk. Selera makan juga berbeza. Begitulah, bagaimana kemampuan diri dengan izin Allah terhapus sedikit demi sedikit selari dengan bergeraknya usia. Renung-renunglah. SEKIAN.

Attachments