Presiden Xi, Putin bertukar ucapan sempena Tahun Baharu

01/01/2022

BEIJING, 1 Jan. - Presiden China Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin bertukar-tukar ucapan sempena Tahun Baharu pada Jumaat.



Bagi pihak kerajaan dan rakyat China, Xi mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Putin dan rakyat Rusia, menurut agensi berita Xinhua.



Dengan tahun 2021 menandakan ulang tahun ke-20 Perjanjian Rundingan China-Rusia terhadap Semangat Kejiranan dan Kerjasama Erat, Xi berkata beliau dan Putin mengumumkan pelanjutan perjanjian itu, serta mengetuai hubungan dua hala ke arah pembangunan mantap dalam erti kata menjalinkan persahabatan berkekalan serta memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.



Kedua-dua pihak komited terhadap empat perjanjian untuk menyokong teguh antara satu sama lain, dengan saling mempercayai, sambil menambah bahawa kedua-dua negara akan bekerja keras melawan kesan pandemik COVID-19 dan mencapai keberhasilan dalam kerjasama praktikal yang menyeluruh.



Xi menyatakan bahawa program Tahun Inovasi Saintifik China-Rusia dan Teknologi telah berjaya dimuktamadkan, perdagangan dua hala mencapai tahap tertinggi baharu, dan projek-projek strategik utama dalam bidang seperti tenaga, aeroangkasa dan perhubungan telah berkembang pesat.



Presiden China itu berkata beliau amat berpuas hati terhadap hubungan itu.



Menelusuri 2022, Xi menegaskan bahawa kedua-dua negara akan melancarkan program Pertukaran Tahun Sukan sekaligus melakar sejarah baharu dalam hubungan persahabatan.



Putin dijadual mengadakan lawatan ke China dan menghadiri majlis perasmian Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing.



Xi berkata beliau mengharapkan hubungan erat kekal terjalin dengan Putin melalui pelbagai cara dan bersama-sama mengetuai perkongsian strategik komprehensif China-Rusia bagi era baharu dan pembangunan yang berterusan.



Sementara itu, Putin menyatakan bahawa 2022 menandakan ulang tahun ke-20 pemeteraian Perjanjian Rundingan China-Rusia terhadap Semangat Kejiranan dan Kerjasama Erat, dan telah meletakkan asas kukuh terhadap pembangunan hubungan dua hala.



Putin yakin dengan usaha bersama, kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang akan mencapai pembangunan selanjutnya.

 


Menjangkakan program Pertukaran Sukan Tahun Rusia-China berjaya, beliau yakin bahawa China akan menjayakan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, dan berhasrat untuk bertemu Xi di acara sukan itu. - ©BERNAMA


Attachments