Manage PermissionsManage Permissions

Harry warganegara kongsi prospek Indonesia pada Sukan SEA

29/11/2019




JAKARTA, 29 November, (Bernama). - Jawatankuasa Olimpik Indonesia (KOI) melantik Harry Warganegara sebagai chef de mission (CDM) kontinjen Indonesia untuk Sukan SEA ke-30 di Filipina yang berlangsung pada 30 November hingga 11 Disember ini.

 


Berusia 48 tahun, beliau adalah Pengerusi KOI Suruhanjaya Pembangunan Sukan sejak 2015 dan ahli Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (INASGOC).



Dalam temu bual eksklusif di Jakarta sebelum beliau berlepas ke Filipina, beliau menjawab soalan-soalan mengenai kontinjen Indonesia dan pandangannya terhadap cabaran akan datang.

 


Bernama (B): Bagaimana persiapan kontinjen Indonesia untuk Sukan SEA?


Harry (H): Masih bekerja keras sehingga waktu berlepas (ke Filipina). Ada beberapa sukan yang masih berlatih dan dalam percubaan di bawah pemantauan. Sehingga Ahad lepas, enam pasukan sukan telah tiba di Filipina.


B: Berapa ramai kontinjen Indonesia?

H: Kontinjen kami terdiri daripada 840 atlet yang mana 60 peratus adalah atlet lelaki dan 40 peratus wanita. Pegawai seramai 470 orang maka jumlah keseluruhan kontinjen adalah 1,310 orang.



B: Berapa jenis sukan pasukan Indonesia bertanding?

H: Kami akan mengambil bahagian dalam 52 jenis sukan dan 66 disiplin untuk 424 acara.



B: Apakah sasaran pingat dan apakah sukan yang paling diharapkan pingat?

H: Kami menyasarkan 50 pingat emas. Kami yakin akuatik, olahraga, angkat berat dan badminton akan menyumbang banyak pingat.



B: Apakah sasaran akhir keseluruhan dalam Sukan SEA?

H: Kami berhasrat untuk menduduki kedudukan lebih tinggi daripada Sukan SEA 2017 yang mana kami meraih tempat ke-5 dengan 38 pingat emas, 63 perak dan 90 gangsa (terendah sejak Indonesia menyertai Sukan SEA pada 1977. Daripada 21 penampilan pada sukan itu sejak 1977, Indonesia menamatkan kedudukan di tempat ke-5 hanya tiga kali - 2005, 2015 dan 2017. Selain itu, Indonesia sentiasa berada sekurang-kurangnya pada kedudukan empat teratas).



B: Berapakan bajet Indonesia untuk persiapan Sukan SEA edisi Filipina?

H: Kami menetapkan bajet kira-kira Rp67 bilion (RM14.6 juta) untuk menampung matlmat kami. Kerajaan memperuntukkan Rp59 bilion manakala beberapa syarikat menyumbang Rp8 bilion.



B: Negara manakah Indonesia anggap cabaran terbesar dan apakah ramalan anda untuk tiga negara teratas pada temasya sukan ini?

H: Kami melihat Thailand sebagai pencabar terdekat. Kami jangka Filipina diikuti Thailand dan Vietnam akan bersaing untuk tiga sukan teratas, tanpa mengabaikan harapan Malaysia dan Singapura untuk menjadi antara tiga pemenang teratas.



B: Apa yang diharapkan Indonesia daripada juara keseluruhan dan tuan rumah edisi lepas, Malaysia?

H: Kami yakin Malaysia akan tampil dengan atlet terbaik untuk meletakkan cabaran yang kuat sebagai juara bertahan.



B: Jenis sukan apakah Indonesia melihat Malaysia sebagai pencabar terkuat?

H: Malaysia mempunyai sukan tradisi yang mampu mengumpul banyak pingat iaitu olahraga, sepak takraw, hoki dan skuasy.



B: Adakah Indonesia melihat pelbagai sukan yang diadakan dalam lima kluster adalah satu cabaran, dan bagaimana Indonesia akan mengatasinya?

H: Setelah mendapat pengalaman daripada Sukan Asia ke-18 sebagai tuan rumah, kami rasa kami boleh mengurusnya. Kami mengambil langkah berhati-hati untuk menguruskan kesemua keperluan untuk menyokong atlet. Oleh kerana atlet akan dipisahkan dalam kluster berlainan, kami menyediakan ibu pejabat di Metro Manila, New Clark City, Subic dan Selatan Luzon.



B: Apakah ganjaran kepada atlet yang memenangi pingat emas atau perak dan gangsa?

H: Kami sangat menghargai kerajaan kami, khususnya Menteri Pemuda dan Olahraga yang baharu (Zainudin Amali) yang amat menyokong para atlet dan telah menjanjikan bonus wang tunai kepada pemenang pingat.



B: Ada sebarang kata-kata terakhir mengenai temasya sukan dwitahunan ini?

H: Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada PHISGOC kerana dapat menyediakan semua infrastruktur sukan dan venue sokongan walaupun berdepan cabaran dan had masa, bagi memastikan kontinjen pelawat diterima dengan baik. Kami berharap Sukan SEA Filipina akan menjadi pesta sukan yang berjaya dan kami juga berharap dapat menyaksikan beberapa aksi cemerlang daripada belia kami. Akhir sekali, moto 'We Win as One' ternyata mewakili semangat ASEAN.

-- BERNAMA


Attachments