Manage PermissionsManage Permissions

Malaysia yakin keupayaan Filipina selesai masalah berbangkit Sukan SEA

29/11/2019





NEW CLARK CITY (Filipina), 29 November, (Bernama). - Malaysia yakin Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) dapat menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, terutamanya penambahbaikan di beberapa venue, sebelum bermulanya upacara pembukaan rasmi Sukan SEA ke-30 di Philippine Arena, Manila, Sabtu ini.

 


Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA ke-30, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mendedahkan, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif PHISGOC, Ramon Suzara malam tadi, bagi membincangkan beberapa masalah yang melanda tuan rumah, dalam memastikan temasya dwi-tahunan berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

 


Media tempatan di sini, dilaporkan membidas PHISGOC susulan kegagalan mereka dalam menyelesaikan beberapa perkara berbangkit, sehingga mengundang kritikan rakyat negara berkenaan, terutamanya di laman sosial.

 


"Jadi, kita hanya boleh memberikan sokongan supaya apa yang mereka usahakan ini tidak akan mencacatkan perjalanan dan kelancaran Sukan SEA (pada kali ini).

 


"Yang penting adalah atlet kita supaya jangan terganggu emosi, dengan beberapa perkara yang mungkin sedikit tidak mencapai tahap yang mereka kehendaki," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada majlis menaikkan bendera 10 negara ASEAN serta Timor-Leste, yang bertanding pada Sukan SEA ke-30 di Perkampungan Atlet Clark, di sini, hari ini.

 


Untuk rekod, seramai 214 atlet dan 98 pegawai sukan Malaysia tinggal di Perkampungan Sukan Clark yang terletak kira-kira 90km dari Manila.

 


Dalam pada itu, Megat Zulkarnain optimis skuad polo negara dapat mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.



Malaysia akan berentap dengan tuan rumah, Filipina pada aksi final di Padang Polo Inigo Zobel, Ahad ini selepas masing-masing muncul naib juara dan juara pada pusingan awal.

 


Ditanya mengenai tahap persediaan atlet negara pada kali ini, Megat Zulkarnain sudah mengingatkan atlet negara sebelum bermulanya Sukan SEA, terutamanya atlet yang berada di Manila, supaya dapat mempersiapkan mental masing-masing, terutamanya dalam menghadapi kesesakan luar biasa di ibu negara Filipina itu.

 


"Saya bersimpati dengan nasib pasukan bola sepak wanita (kita) yang perlu menempuh perjalanan tiga jam (ke Stadium Bola Sepak Binan), sebelum balik semula (ke hotel penginapan) selama tiga jam, tapi berlatih hanya setengah jam.



"Separuh hari mereka sudah habis (di atas jalan raya), dan ini menguji mental mereka, jadi mental mereka harus kuat," tegas Megat Zulkarnain. Pada majlis berkenaan, Timbalan Ketua Pengarah PHISGOC, Arrey Perez turut menyampaikan plak penghargaan kepada wakil 11 negara bertanding, termasuk kepada Megat Zulkarnain selaku wakil kontinjen Malaysia.

-- BERNAMA

 291119_FLAG_RISING.jpg

CLARK, 29 November. -- Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Megat Zulkarnain Omardin (kiri) menerima plak penghargaan daripada Timbalan Ketua Pengarah Jawatankuasa penganjuran Sukan Sea Filipina 2019 Arrey Perez pada Majlis menaikkan bendera-bendera negara ASEAN yang bertanding pada Sukan Sea Filipina 2019 di Perkampungan Sukan Clark hari ini.

--©BERNAMA

 




Attachments