Manage PermissionsManage Permissions

Penduduk Kampung Chenulang gotong-royong bersihkan masjid akibat banjir

30/11/2019





KUALA KRAI, 30 November (Bernama). - Selepas dinaiki air kira-kira 1.5 meter sejak awal pagi semalam, penduduk Kampung Chenulang bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung itu serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bergotong-royong membersihkan masjid kampung berkenaan untuk digunakan semula.

 


Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Chenulang Mat Jusoh Mat Nor berkata, masjid yang berusia 34 tahun itu memang sentiasa dinaiki air terutama di tingkat bawah yang agak rendah.

 


"Setakat yang saya ingat, sekiranya hujan lebat berterusan bahagian tingkat bawah masjid ini akan dinaiki air kerana kedudukan masjid yang terletak di kawasan rendah.

 


"Sebelum ini, adakalanya tingkat bawah masjid ini akan dinaiki air sebanyak tiga kali setahun namun kejadian kali ini adalah yang pertama pada tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

 


Mat Jusoh berkata gotong-royong yang melibatkan 31 orang membersihkan masjid hari ini bermula pada pukul 10 pagi dan siap sepenuhnya dua jam kemudian.



Walaupun tingkat bawah masjid itu dinaiki air namun beliau bersyukur kerana ia masih mampu digunakan untuk solat Jumaat, semalam.

 


"Penduduk Kampung Chenulang dan empat kampung lain menggunakan tingkat atas masjid untuk menunaikan ibadah itu semalam walaupun terpaksa berhimpit kerana ruang sempit.

 


"Saya berharap agar masjid ini tidak lagi ditenggelami air pada musim tengkujuh ini kerana ia akan menyukarkan penduduk untuk melaksanakan ibadah," katanya.



Semalam, 29 penduduk daripada lima keluarga di Kampung Chenulang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang selepas kawasan rumah dinaiki air namun kebanyakan mangsa dibenarkan pulang pada hari ini.

-- BERNAMA 

301119_BANJIR.JPG

KUALA KRAI, 30 November. - Para penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan masjid setelah air surut akibat ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Chenulang hari ini.

--©BERNAMA


Attachments