Manage PermissionsManage Permissions

Julian waspada dengan cabaran peserta sukan SEA

30/11/2019

Daripada R. Vikneswaran

 

 



MANILA, 30 November, (Bernama). - Peluncur ais negara, Julian Yee tidak mahu mengambil mudah status sebagai juara bertahan dan Olimpian negara pada temasya Sukan SEA ke-30 di sini.

 


Selepas penampilan pertama di Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan, pada 2018, peluncur berusia 22 tahun itu kini berwaspada dengan cabaran yang semakin meningkat daripada peluncur serantau pada temasya dwitahunan itu.



Selepas acara 'short' program di gelanggang ais, S, Megamall di sini, semalam, Julian kini mendahului saingan selepas mengumpul 63.4 mata diikuti rapat oleh dua peluncur tuan rumah, Christopher Caluza (62.4 mata) dan Edrian Paul Celestino (61.5 mata).

 


Selain saingan pasukan tuan rumah, Julian turut berwaspada dengan saingan peluncur Thailand, Micah Kai Lynette dan wakil Singapura, Pagiel Yie Ken Sng yang masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima.

 


Julian perlu bertenang dan memperagakan emosi terbaik selain mengurangkan kesilapan pada acara 'free skating' untuk menerajui saingan dan pulang dengan pingat emas.

 


Juara akan ditentukan dengan pungutan mata keseluruhan daripada dua program tersebut.

 


Julian menyifatkan saingan edisi Sukan SEA kali ini lebih sukar berbanding edisi lalu, justeru beliau perlu mengekalkan prestasi dengan memperagakan persembahan yang bersih tanpa cacat cela.

 


"Tiada perbezaan sama ada anda seorang Olimpian dan juara bertahan kerana tekanan tetap sama. Bagaimanapun, dengan pengalaman beraksi di peringkat tinggi, ia dapat membantu saya dari segal mental," katanya.

 


"Jika semua berjalan lancar, saya harap dapat membawa pulang pingat emas," katanya kepada Bernama di sini.

 


Selepas short program dengan iringan lagu 'Everglow' yang dimainkan oleh kumpulan Coldplay selama dua minit 50 saat, Julian, yang berpangkalan di Kanada, akan melengkapkan long program selama empat minit dengan iringan lagu 'rock and roll' kumpulan Kings and Queens, AC/DC dan Seven Nation Army, esok.

 


Ditanya kepentingan cara menampilkan ekspresi wajah dalam luncur ais, Julian menyifatkan ia adalah antara komponen paling penting dalam saingan kerana emosi dengan iringan muzik tidak dapat dipisahkan.

 


"Jika komponen ini dapat digabungkan untuk melakukan aksi lompatan dan putaran yang sukar, sudah tentu ia adalah satu kelebihan," katanya.

-- BERNAMA

 301119_ICESKATING.jpg

MANILA, 30 November. - Atlet luncur ais negara Julian Yee yang ditemuramah pemberita sempena Sukan SEA di Manila baru-baru ini.

--©BERNAMA.

 


Attachments