Manage PermissionsManage Permissions

Pupuk kesedaran mengenai hidupan liar seawal usia kanak-kanak

21/05/2020

KUALA LUMPUR, 21 Mei -- Kesedaran mengenai kepentingan hidupan liar perlu dipupuk dalam kalangan masyarakat seawal usia kanak-kanak berikutan peningkatan kadar kepupusan, kematian dan penurunan populasi hidupan liar.

 

Pakar Ekologi dan Pengurusan Hidupan Liar, Pusat Asasi Sains Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Marina Mohd Top@Moh Tah berkata kanak-kanak belajar mengenai hidupan liar dan alam semula jadi dalam suasana formal dan tidak formal, selain mempunyai pelbagai jenis hubungan terhadap hidupan liar.

 

"Sebagai contoh, program alam sekitar, lawatan ke zoo dan juga penyampaian maklumat interaktif melalui media seperti dokumentari video boleh dijalankan bagi menarik minat generasi muda terhadap hidupan liar," katanya dalam kenyataan sempena Hari Antarabangsa Kepelbagaian Biologi 2020 esok, bertemakan 'Our Solutions are in Nature'.

 

Menurut Marina ramai yang tidak menyedari, hidupan liar memainkan peranan tersendiri dalam persekitaran semulajadi termasuklah menyokong kepelbagaian tumbuhan dengan menyebarkan biji benih dan pendebungaan seperti kelawar dan burung.

 

Katanya, hidupan liar juga memberi manfaat dari segi kos dan kepentingan ekonomi, pengembangan pendidikan alam sekitar menerusi nilai estetik, rekreasi hidupan liar, eko-pelancongan dan program pendidikan alam sekitar. - ©BERNAMA


Attachments