Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Thailand lanjut perintah darurat sehingga 30 Jun

22/05/2020



BANGKOK, 22 Mei. - Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 Thailand (CCSA) hari ini bersetuju agar perintah darurat di negara itu dilanjutkan sehingga 30 Jun ini berikutan keadaan pandemik COVID-19 dunia masih belum stabil.

 

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen. Prayuth Chan o-cha hari ini yang turut membincangkan kemungkinan memendekkan tempoh perintah berkurung berbanding 11 malam hingga 4 pagi sekarang.

 

Jurucakap CCSA Thaweesilp Wissanuyothin berkata pelanjutan perintah darurat itu juga bagi membolehkan kerajaan menggubal langkah-langlah yang lebih berkesan untuk mengekang wabak selain bersedia untuk fasa pelonggaran seterusnya.  

 

''Pelanjutan tempoh perintah darurat ini tertakluk kepada persetujuan kabinet pada Selasa,'' katanya pada taklimat media harian COVID-19 di sini.

 

Thaweesilp berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 29 Mei ini bagi membincangkan pelonggaran lebih banyak sekatan.

 

''Fasa ketiga pelonggaran dijangka bermula 1 Jun,'' katanya.

 

Thailand sebelum ini mengumumkan pelaksanaan perintah darurat bermula 26 Mac hingga 30 April sebelum dilanjutkan sehingga 31 Mei bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 

Kerajaan mula melonggarkan sekatan pada 3 Mei yang menyaksikan enam jenis perniagaan dan venue dibuka semula dan fasa kedua bermula pada 17 Mei.

 

Sementara itu, Thaweesilp berkata tiada kes baharu jangkitan atau kematian akibat COVID-19 direkodkan Thailand dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 kekal pada 3,037 kes dengan 56 kematian. - ©BERNAMA


Attachments