Manage PermissionsManage Permissions

Rebut harta pusaka, pasangan suami isteri cedera ditetak

22/05/2020




KUALA LUMPUR, 22 Mei -- Sepasang suami isteri ditemui dalam keadaan berlumuran darah, dipercayai selepas ditetak dan dilanggar dengan kereta, susulan satu pergaduhan yang dikatakan berpunca daripada perebutan harta pusaka, di hadapan sebuah Kuil Gudwara Sahib, Kampung Chuang Rasa, dekat sini, pagi semalam.

 


Kereta yang dipercayai melanggar mereka pula ditemui beberapa jam di tebing sebuah lombong dengan pintu bahagian pemandu terbuka, dan mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan terapung dalam lombong berkenaan.

 


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt Arsad Kamaruddin berkata dalam kejadian pada pukul 7.56 pagi itu, pasangan itu ditemui terbaring di tepi jalan bersebelahan pagar kuil berkenaan dengan kesan tetakan di kaki serta tangan.

 


Beliau berkata ada saksi memaklumkan ternampak seorang suspek yang menaiki sebuah kereta warna hitam jenis Proton Iswara, menetak pasangan itu menggunakan sebilah parang, dan polis kemudiannya menemui sebilah parang di tepi jalan simpang tiga di Pekan Rasa berdekatan perhentian bas, dipercayai senjata dalam serangan itu.

 


Dalam satu kenyataan hari ini beliau memaklumkan pasangan yang sedang menerima rawatan di Hospital Selayang itu kini berada dalam keadaan stabil, dan siasatan mendapati suspek mempunyai pertalian saudara dengan pasangan itu.

 


Arsad berkata beberapa jam kemudian kereta suspek dtemui orang awam di lombong Antara Gapi, beberapa kilometer dari tempat kejadian, dalam kedudukan terjunam di tebing lombong dengan separuh bahagiannya ditenggelami air.

 


"Polis turut menemukan mayat seorang lelaki dalam keadaan terapung berhampiran kereta berkenaan," katanya,"katanya.

 


Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas fizikal mayat berkenaan mendapati tiada sebarang kecederaan atau wujud unsur jenayah, dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.


 

Menurutnya polis percaya lelaki itu mempunyai kaitan dengan kejadian langgar dan tetak terhadap kedua-dua pasangan suami isteri di hadapan Kuil Gudwara Sahib itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. - ©BERNAMA



Attachments