Manage PermissionsManage Permissions

Pesta Tagunggu wadah satukan etnik sungai

01/12/2019





BELURAN, 1 Dis (Bernama) -- Pesta Tagunggu yang diraikan setiap tahun merupakan wadah penyatuan masyarakat etnik Sungai di Paitan, Sugut dekat sini, kata Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

 


Katanya penganjuran pesta itu oleh Pejabat Parlimen Beluran sejak 2006 telah menjadi satu acara tahunan yang penting di daerah itu dan bertujuan untuk mempamerkan seni budaya muzik tradisi etnik Sungai di daerah Sugut.

 


"Penganjuran pesta ini selama 13 tahun kini telah berjaya menanamkan semangat mendalam terhadap muzik tradisi dalam kalangan generasi muda etnik ini.

 


"Kini, anak-anak muda etnik Sungai lebih yakin untuk menonjolkan seni budaya mereka", katanya ketika merasmikan Pesta Tagunggu di Pekan Daerah Kecil Paitan hari ini.



Kiandee berharap agar seni budaya etnik Sungai terus diangkat hingga ke peringkat yang lebih tinggi.

 


Beliau yakin usaha yang giat dilaksanakan oleh penggerak seni etnik Sungai akan meletakkan etnik itu setaraf dengan kejayaan etnik lain di negeri ini, terutamanya dalam bidang seni dan budaya.

 


"Saya juga berharap kepada masyarakat di Beluran agar menyertai dan bergiat dalam persatuan-persatuan seni budaya yang berdaftar.  



"Ini penting agar bantuan daripada kerajaan lebih mudah disalurkan kepada golongan sasar," katanya.

-- BERNAMA

 


Attachments