Manage PermissionsManage Permissions

Cabaran OKU penglihatan mengharungi era digital

02/12/2019

Oleh Akhirul Fitri Mhd Kassim





KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kemudahan awam masa kini masih sukar digunakan oleh orang kurang upaya (OKU) terutama OKU penglihatan menyebabkan golongan ini sukar menjalankan aktiviti harian mereka.

 


Bagi Khairul Ikhwan yang telah kehilangan penglihatannya sejak berusia 14 tahun akibat kemalangan jalan raya, masalah yang dihadapinya adalah kesukaran semasa menggunakan mesin ATM yang telah dinaik taraf menggunakan sistem skrin sesentuh.

 


"Memang susah kalau saya hendak menggunakan mesin ATM, sebab mesin tersebut menggunakan sistem skrin sesentuh dan tidak mengeluarkan suara. Jadi saya tidak tahu mana yang harus dipilih (merujuk kepada pilihan yang disediakan pada skrin mesin ATM)," katanya ketika ditemu bual Bernama.

 


Hal ini menyebabkan beliau terpaksa meminta pertolongan orang awam yang berada di sekitarnya untuk mengeluarkan wang tunai dan mungkin terdedah dengan risiko penipuan.



Tambahnya, selain fasiliti bank, terdapat juga kemudahan awam lain yang susah untuk digunakan. Contohnya, bangunan yang mempunyai lif tetapi tidak dilengkapi dengan nombor braille dan tidak menyediakan pemegang pada dinding untuk mereka berpaut. Hal ini menyebabkan beliau lebih rela menaiki tangga.

 

 

Selain itu, Khairul juga sukar menggunakan kemudahan tactile atau laluan pejalan kaki yang disediakan untuk mereka. Ia disebabkan kecuaian sikap masyarakat sendiri yang meletakkan kenderaan dan ada juga yang membuka gerai di atas tactile tersebut.

 


Tahun ini sahaja seramai 780,000 OKU penglihatan telah berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan mendapatkan latihan kemahiran di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).

 


Pengurus Besar MAB, George Thomas berkata, pelbagai latihan telah diberikan kepada golongan OKU penglihatan supaya mereka mampu mengakses perkhidmatan dan menjalankan tugas serta aktiviti harian seperti orang normal.

 


Namun, teknologi yang dikuasai oleh grafik tanpa penerangan bersuara merupakan cabaran utama bagi mereka untuk memberikan pendedahan lebih mendalam mengenai teknologi digital kepada golongan tersebut.

 


"Saya harap sesiapa yang mencipta aplikasi agar mencipta aplikasi yang mempunyai penerangan mengenai grafik yang dipaparkan pada skrin," katanya lagi.

 

 

Menurut George, pihak MAB telah membuat perbincangan dengan pihak bank untuk membantu OKU penglihatan agar berkemampuan menggunakan kemudahan mesin ATM dengan menyediakan mesin ATM bersuara khas untuk golongan tersebut.



Sebagai contoh, Singapura yang telah menyediakan mesin ATM dilengkapi dengan fon telinga untuk kegunaan OKU penglihatan di samping dapat menjaga privasi OKU tersebut. Namun sehingga kini dipercayai masih belum ada mesin ATM bersuara yang disediakan di Malaysia, katanya.

 


Sempena Hari OKU Sedunia bertemakan aksesibiliti (kemudahcapaian) yang disambut esok, MAB berharap pihak bertanggungjawab menjadikan semua perkhidmatan yang terdapat di Malaysia sebagai mesra OKU supaya golongan ini mampu mengakses semua kemudahan tanpa mengharapkan bantuan golongan celik.

 -- BERNAMA

 


Attachments