Manage PermissionsManage Permissions

TUDM terbangkan pesakit mangsa banjir di Besut

02/12/2019





JERTEH, 2 Disember, (Bernama). -Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak hari ini melakukan penerbangan ihsan membawa seorang kanak-kanak perempuan Orang Kelainan Upaya (OKU) berusia enam tahun untuk mendapatkan rawatan di Hospital Besut.

 


Kanak-kanak itu, Siti Nurul Batrisya Mat Imi,  yang menghidap penyakit jantung berlubang mengalami masalah tiada selera makan sejak beberapa hari lalu yang dikhuatiri akan menyebabkan dirinya mengalami penyahidratan sekiranya dibiarkan berlarutan.

 


Pegawai Perubatan Pengkalan Udara Gong Kedak, Mejar Dr. Muhammad Fitri Daud berkata, penerbangan bermula pada 12.15 tengah hari dan mengambil masa 30 minit untuk sampai ke Kampung La di Hulu Besut.

 


"Laluan masuk dan keluar ke kampung itu terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana banjir... satu-satunya cara untuk menyelamatkan pesakit ini ialah dengan pengangkutan udara (helikopter).

 


"Alhamdulillah, kanak-kanak itu stabil dan akan menerima rawatan kesihatan lanjut di Hospital Besut," katanya kepada pemberita, di sini.

 


Kanak-kanak tersebut turut diiringi ibunya, Bibi Naziraini Mat Ghani.

 


Penerbangan ihsan itu dikendalikan oleh Mejar Zool Amali Shodali dan Kapten Wan Muhammad Haqimi Wan Zin manakala operasi menyelamat diketuai Komander Kolonel Shaiful Azuar Ariffin bersama empat pegawai dan lima anggota TUDM menggunakan eurocopter EC725 TUDM.

 


Sebelum ini, TUDM telah melakukan penerbangan ihsan untuk membawa dua orang ibu mengandung dan seorang lelaki berusia 80 tahun yang mengalami masalah pembuangan air besar.

 


Selain operasi penerbangan ihsan, TUDM turut menjalankan penghantaran bekalan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat seberat 250 kilogram kepada penduduk terjejas banjir di kampung tersebut.

 


Ketika ini seramai 182 mangsa banjir daripada 43 keluarga berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masjid Kampung La.

-- BERNAMA

 021219_PENERBANGAN_TUDM.jpg

BESUT, 2 Disember. - Pegawai Perubatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Pengkalan Udara Gong Kedak, Majer Dr Muhammad Fitri Daud (kanan) bersama anggota TUDM mengiringi kanak-kanak perempuan Siti Nurul Batrisya Mat Imi yang berusia enam tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang di Pengkalan Udara TUDM Gong Kedak hari ini.

Kanak-kanak tersebut diterbangkan dari Kampung La, Hulu Besut yang terputus laluan darat ekoran banjir dengan menggunakan helikopter jenis Eurocopter EC 25 milik TUDM bagi mendapatkan rawatan di Hospital Besut.

--©BERNAMA.

 


Attachments