Manage PermissionsManage Permissions

Indonesia sasar 50,000 pelancong asing kunjungi Pulau Komodo setiap tahun

03/12/2019





JAKARTA, 3 Dis (Bernama) -- Indonesia telah menyasarkan sejumlah 50,000 pelancong asing berkunjung ke Pulau Komodo dan menjana sekurang-kurangnya 600 bilion rupiah (US$42.5 juta) dalam tempoh setahun, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

 


Kerajaan wilayah Nusa Tenggara Timur kini membangunkan satu sistem tiket secara online bagi Taman Negara Komodo, satu-satunya habitat asli biawak Komodo di dunia, dan mencadangkan pas sepanjang tahun ke pulau itu, yang memiliki populasi Komodo terbesar, untuk pelancong asing pada harga US$1,000.

 


Sistem online dijangka beroperasi tahun depan bagi menarik lebih ramai pelancong ke pulau itu dan meningkatkan hasil pelancongan kerajaan serantau.

 


Pada 30 Sept, kerajaan Indonesia memutuskan untuk membatalkan penutupan Pulau Komodo seperti dirancang memandangkan populasi biawak Komodo yang jarang ditemui itu kekal stabil.

 


Tahun lepas, lebih 176,000 pelancong berkunjung ke Taman Negara Komodo.

 


Ketika ini, biawak Komodo di taman yang merangkumi tiga pulau iaitu Komodo, Rinca dan Gili Motang berjumlah 2,897 ekor, menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia.

-- BERNAMA


Attachments