Manage PermissionsManage Permissions

Acara sukan dalam venue tertutup Sukan SEA diteruskan di Manila

03/12/2019





MANILA, 3 Disember, (Bernama). - Walaupun beberapa acara melibatkan venue luar terpaksa ditunda akibat Taufan Kammuri, kebanyakan acara Sukan SEA ke-30 melibatkan venue tertutup di sini,  berjalan dengan lancar setakat tengah hari ini.



Seperti diramalkan oleh agensi ramalan cuaca, hujan lebat berserta angin kencang sudah melanda bandar Metro Manila sejak awal pagi tadi, yang dijangka berterusan hingga lewat malam dan boleh menyebabkan banjir dan tanah runtuh.

 


Walaupun penduduk tempatan sudah mengurangkan aktiviti luar sebagai langkah berjaga-jaga  menghadapi taufan yang dikenali sebagai Tisoy di negara ini, acara seperti menembak, wushu, badminton dan boling berjalan dengan lancar di Manila,.



Bagaimanapun, acara tenis di Pusat Tenis, Kompleks Sukan Memorial Rizal terpaksa ditunda kerana hujan lebat.

 


Tinjauan Bernama mendapati lalu lintas di bandar raya ini berkurangan, berbanding sejak seminggu lalu dengan  keadaan trafik sentiasa sesak.

 


Pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC), juga telah membuka khemah-khemah di hadapan kesemua venue pertandingan sejak lewat malam tadi untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.

 


Semalam, PHISGOC telah membuat keputusan untuk menunda beberapa sukan seperti bola tampar pantai, kanu/kayak, Muay Thai, pencak silat, pentathlon dan luncur angin yang dijadualkan di sekitar Clark dan Subic pada hari ini, ke tarikh baru.



Ketua Pegawai Operasi PHISGOC, Ramon Suzara berkata pegawai teknikal sudah mempunyai pelan kecemasan untuk mengatasi masalah berkaitan taufan itu, termasuk keperluan meminda venue pertandingan, tetapi menegaskan bahawa temasya itu tidak akan dilanjutkan melebihi tarikh penutupan pada 11 Dis ini.


 

Menurut laporan berita semalam, sekurang-kurang seorang terbunuh manakala ribuan rakyat di Filipina dipindahkan serta operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di sini digantung ketika Taufan Kammuri, yang merupakan taufan yang ke-20 melanda negara ini, semakin mendekati pulau utama, Luzon.

-- BERNAMA


Attachments