Manage PermissionsManage Permissions

SUKAN SEA: Semua acara tetap berlangsung sebelum majlis penutup

03/12/2019





MANILA, 3 Disember, (Bernama). - Sekurang-kurangnya 11 acara sukan terpaksa ditangguhkan selepas terdapat laporan yang menyatakan taufan Kammuri sedang melanda beberapa kawasan di Filipina.


 

Perkara itu disahkan Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan SEA ke-30, Ahmad Faedzal Md Ramli yang berkata penangguhan acara itu dibuat selepas mengambil kira nasihat pihak berkuasa Filipina mengenai laluan angin taufan Kammuri.



Katanya Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) memberi jaminan acara sukan yang tertangguh tetap akan berlangsung sebelum majlis penutupan rasmi 11 Dis ini.


 

"Untuk kluster South Luzon dan La Union (Solu) papan selaju, hoki dalam air dan polo ditangguhkan sementara waktu. Kemudian di kluster Clark pula acara petanque ditangguhkan.

 


"Manakala bagi cluster di Subic, sepak takraw, kanu, kayak, bot tradisi, muay dan luncur angin ditangguhkan sementara waktu sehingga dimaklumkan oleh pihak penganjur," katanya.

 


Penangguhan acara sukan turut membabitkan lokasi di Metro Manila, namun hanya melibatkan satu acara menembak iaitu  "benchrest".

 


Sementara itu, mengulas mengenai nasib kontinjen negara yang terkandas sama ada yang mahu berlepas ke Filipina atau pulang ke Malaysia, Ahmad Faedzal berkata pihaknya sudah mempunyai pelan kecemasan bagi menangani situasi berkenaan.

 


"Kita sekarang berhubung rapat dengan pihak Malaysia Airlines untuk memastikan esok hari, segala penerbangan dapat dilaksanakan, saya dimaklumkan Malaysia Airlines mungkin akan menyediakan kapal terbang lebih besar untuk memuatkan atlet kita atau mungkin juga membuat penerbangan tambahan.

 


"Begitu juga bagi penerbangan pulang, contoh seperti bola jaring sepatutnya dah pulang tetapi kami buat sedikit pertukaran untuk menjaga kebajikan mereka semua dan hanya akan membenarkan mereka pulang bila semuanya disahkan selamat." katanya.

 


Antara atlet yang dilaporkan terkandas untuk berlepas ke Manila ialah dari sukan terjun, olahraga, gimrama, dan e-sport.

 


Selain bola jaring, pasukan bola sepak wanita, triathlon dan skuad berbasikal dilaporkan antara kontinjen yang terpaksa menangguhkan penerbangan pulang hari ini.

-- BERNAMA


Attachments