Manage PermissionsManage Permissions

SEA : Nasib malang timpa Muhammad Faizul

03/12/2019





SUBIC (Filipina), 3 Dis (Bernama) -- Nasib malang menimpa pesilat elit negara, Muhammad Faizul M Nasir setelah mengalami kecederaan di bahagian muka ketika berdepan pesilat tuan rumah, Dines Dumaan pada pusingan kedua Kelas Putra B (50-55kg) acara pencak silat Sukan SEA ke-30 di Filipina, hari ini.

 


Pesilat kelahiran Petaling Jaya itu yang merupakan juara bertahan acara berkenaan, dilaporkan terkena tendangan Dines di muka sewaktu cuba menjatuhkan pesilat tuan rumah itu pada aksi di Pusat Konvensyen dan Pameran Subic.

 


Dumaan diisytiharkan sebagai pemenang dengan keputusan 5-0, sekali gus menyaksikan Muhammad Faizul gagal mempertahankan emas yang dimenangi pada edisi 2015 di Singapura, serta Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

 


Tindakan lewat oleh sekretariat pertandingan untuk memberikan bantuan perubatan segera kepada Muhammad Faizul, jelas mengundang kemarahan jurulatih silat tanding negara, Mazlan Saari.

 


Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang dihubungi Bernama, memaklumkan Muhammad Faizul telah dikejarkan ke Hospital Memorial James L. Gordon, dekat sini bagi rawatan lanjut.

 


"Saya difahamkan pasukan perubatan hospital berkenaan sedang berusaha untuk menstabilkan keadaan Muhammad Faizul," kata Megat Zulkarnain yang merupakan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019.

 


Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong yang ditemui pemberita ketika melawat venue pertandingan, mendedahkan tiada sebarang pelawat dibenarkan menemui atlet itu ketika ini bagi membolehkan pasukan perubatan untuk menstabilkan keadaan pesilat berkenaan.

 


Terdahulu, pesilat wanita negara, Nursyafiqah Hamzah sekadar menduduki tangga ketujuh daripada lapan pesilat dalam kategori silat seni tunggal puteri setelah mengutip 441 mata.

 


Pesilat Indonesia, Sari Puspa Arum, meraih pingat emas dalam acara berkenaan setelah mengutip 467 mata, disusuli pesilat tuan rumah, Mary Francine Padios (454 mata), manakala wakil Brunei, Anisah Najihah Abdullah terpaksa berpuas hati dengan kutipan gangsa setelah mencatat 451 mata.

-- BERNAMA

 031219_SILAT_TANDING.jpg

SUBIC (FILIPINA), 3 Disember. - Pegawai Perubatan mengusung Atlet Silat Negara Muhammad Faizul Nasir yang tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan ketika menentang atlet Filipina dalam acara Silat Tanding Kelas B sempena Sukan Sea Filipina 2019 di Subic Bay Convention Centre hari ini.

--©BERNAMA

 



Attachments