Manage PermissionsManage Permissions

Kes COVID-19 meningkat akibat berkumpul semasa Aidilfitri, Bahrain tangguh kebenaran adakan solat Jumaat

04/06/2020

MANAMA, 4 Jun. - Kebenaran mengadakan solat Jumaat pada 5 Jun ditangguhkan, kata Kementerian Kehakiman, Hal Ehwal Islam dan Wakaf, lapor agensi berita Bahrain (BNA).

 

Keputusan itu diumumkan susulan mesyuarat antara presiden Pasukan Petugas Perubatan Kebangsaan untuk memerangi COVID-19, Shaikh Mohammed Abdullah Al Khalifa dengan ketua Wakaf Sunni, Shaikh Rashid Mohammed Al Hajiri dan ketua Wakaf Jaafari, Youssif Saleh Al Saleh.

 

Mesyuarat diadakan bagi mengkaji langkah pencegahan memerangi COVID-19 dan meneliti laporan terkini mengenai lonjakan jumlah kes disebabkan perhimpunan awam sempena Aidilfitri.

 

"Berdasarkan kenyataan Majlis Tertinggi untuk Hal Ehwal Islam mengenai sambutan semasa pandemik dan atas syor mesyuarat tiga pihak, Kementerian Kehakiman, Hal Ehwal Islam dan Wakaf memutuskan untuk menarik balik kebenaran menunaikan solat Jumaat buat masa ini," kementerian itu kata dalam satu kenyataan.

 

Justeru, tarikh baharu akan diputuskan selepas perkembangan terbaru dan laporan berkaitan kes COVID-19 diteliti.

 

"Semua laporan keputusan akan dikaji secara berkala selaras dengan peraturan Syariah." - ©BERNAMA

 

 


Attachments