Manage PermissionsManage Permissions

Anggota polis sebabkan kematian Floyd, berdepan tuduhan membunuh tahap kedua

04/06/2020

WASHINGTON, 4 Jun. - Bekas anggota polis yang menyebabkan kematian George Floyd berdepan tuduhan membunuh tahap kedua, manakala tiga lagi dituduh bersubahat, lapor agensi berita Anadolu.

 

Peguam Negara Minnesota Keith Ellison yang mengumumkan perkara itu pada sidang media, Rabu, berkata Derek Chauvin, pegawai Jabatan Polis Minneapolis sudah dipecat dan kini ditahan.

 

"Saya yakin bukti yang ada sekarang menjadi bukti kukuh untuk menyokong tuduhan pembunuhan tahap kedua," kata Ellison.

 

Selain itu, katanya waran tangkap dikeluarkan untuk tiga pegawai lain yang juga sudah dipecat. Tiga pegawai itu Thomas Lane, J. Alexander Kueng dan Tou Thau berdepan tuduhan bersubahat.

 

"Saya sangat percaya perkembangan ini demi keadilan buat George Floyd, keluarganya, masyarakat serta negara kita."

 

Sementara itu, peguam yang mewakili keluarga George Floyd, Benjamin Crump berkata belum masanya untuk meraikannya kerana tertuduh belum disabitkan bersalah, sambil menambah keluarga mangsa mahu Chauvin didakwa dengan kesalahan membunuh tahap pertama.

 

"Anda sudah pasti tahu, kami mahukan keadilan yang sepenuhnya. Kami mahu dia dituduh melakukan pembunuhan tahap pertama," kata Crump.

 

Peguam itu berkata "ada dua sistem keadilan di Amerika. Satu untuk Amerika kulit hitam dan satu untuk Amerika kulit putih, sepatutnya hanya ada satu undang-undang untuk semua rakyat Amerika Syarikat."

 

Seorang bekas pegawai, J. Alexander Kueng, dijangka hadir di mahkamah pada Khamis petang, menurut sumber mahkamah.

 

Ditanya mengenai jadual proses pendakwaan, Ellison berkata "ia mungkin memerlukan masa beberapa bulan lagi sebelum kes ini dapat dikemukakan di hadapan juri." - ©BERNAMA

 

 


Attachments