Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Thailand benar solat berjemaah di masjid

05/06/2020

BANGKOK, 5 Jun -- Pejabat Sheikhul Islam Thailand membenarkan solat berjemaah dilakukan di masjid-masjid mulai hari ini (5 Jun), dengan syarat langkah pencegahan membendung wabak COVID-19 perlu dilaksanakan.

 

Dalam satu kenyataan, Sheikhul Islam Thailand, Aziz Phitakkumpon, berkata memandangkan keadaan bertambah baik dan semakin banyak larangan dilonggarkan, Pejabat Sheikhul Islam bersetuju membenarkan solat berjemaah dilakukan di masjid seluruh negara.

 

"Sebelum memasuki masjid, jemaah mesti memakai pelitup muka, memeriksa suhu badan dan menggunakan pensanitasi tangan.

 

"Selain itu, jemaah perlu mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah sendiri dan menjaga jarak sosial satu hingga dua meter.

 

"Jemaah perlu memakai pelitup muka dan mematuhi peraturan penjarakan sosial ketika menunaikan solat," kata kenyataan itu.

 

Aziz berkata pegawai masjid mesti menyediakan borang bagi individu mendaftarkan nama dan nombor telefon. "Masjid perlu dibuka 15 minit sebelum dan ditutup 15 minit selepas solat," katanya.

 

Beliau menambah ahli jawatankuasa masjid mesti memastikan semua langkah pencegahan dipatuhi sepenuhnya. Solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid di Thailand dilarang buat sementara waktu apabila negara itu melaksanakan perintah darurat mulai 26 Mac - yang melarang perhimpunan besar-besaran, antara lain - untuk menghentikan penularan COVID-19.

 

Aziz menambah jumlah tetamu di majlis 'akad nikah' atau perkahwinan pula tidak melebihi 50 orang. - ©BERNAMA


Attachments