Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Langkah kawalan lebih ketat di Terminal Feri, Lapangan Terbang Labuan

06/06/2020

LABUAN, 6 Jun. - Langkah kawalan lebih ketat dilaksanakan di Terminal Feri Labuan dan Lapangan Terbang Labuan selepas empat kes baharu COVID-19 dikesan di terminal feri pada 31 Mei dan 1 Jun, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

 

Beliau berkata langkah kawalan itu dilaksanakan dengan kerjasama polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

 

Walaupun ramai yang merungut mengenai ujian calitan dan prosedur kuarantin, langkah kawalan diperketatkan itu telah membuahkan hasil positif, katanya.

 

''Walaupun perlu melakukan banyak kerja, kami berjaya membendung penularan dalam kalangan penduduk setempat selepas kami mengesan empat kes dari Sabah yang tidak menjalani saringan kesihatan sebelum datang ke sini,'' katanya kepada Bernama hari ini.

 

Seorang pekerja restoran dari Beaufort, Sabah, yang kembali ke Labuan untuk bekerja disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian saringan sebaik tiba di Terminal Feri Labuan pada 31 Mei manakala tiga lagi, dua daripada mereka bekerja dalam sektor perkhidmatan penting dan seorang bekerja sendiri, dikesan positif pada 1 Jun.

 

Dr Ismuni menggesa penduduk setempat untuk memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa tempatan dengan tidak menerima sanak saudara dan rakan yang datang ke Labuan menerusi cara yang salah di sisi undang-undang. - ©BERNAMA


Attachments