Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Pustakawan turut main peranan, sumbang bahan ilmiah - Nancy

06/06/2020

KUALA LUMPUR, 6 Jun -- Peranan perpustakaan dan para pustakawan tetap relevan walaupun pergerakan masyarakat terbatas ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

 

Tampil dalam video pendek sempena sambutan Hari Pustakawan Malaysia 2020, beliau berkata sepanjang tempoh itu para pustakawan dan perpustakaan telah memainkan peranan aktif bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terputus akses kepada maklumat serta bahan bacaan.

 

"Sejak 18 Mac, kesemua jenis perpustakaan telah menyediakan pelbagai inisiatif untuk semua lapisan masyarakat seperti perkhidmatan dalam talian, pembangunan pangkalan data COVID-19, penawaran bahan bacaan dalam talian secara percuma dan penyediaan kandungan tempatan. 

 

"Ada juga yang melibatkan diri dengan penyediaan peralatan perlindungan diri serta berkolaborasi dengan pembekal bahan bacaan untuk membuka pangkalan data penyelidikan bagi membolehkan para penyelidik mendapat akses percuma kepada bahan penyelidikan COVID-19," menurutnya dalam video itu yang disiarkan di Facebook Persatuan Pustakawan Malaysia hari ini.   

 

Justeru itu, Nancy berkata tema  #tetaprelevan dan #stayingrelevant dipilih bagi sambutan tahun ini untuk menonjolkan peranan mereka yang sentiasa bergerak sejajar keperluan pembangunan semasa. "Dengan kemahiran pengurusan dan pengetahuan yang ada serta akses kepada data polar di tangan, para pustakawan Malaysia berupaya dan bersedia untuk bergerak sealiran dengan pergerakan masa dan perubahan. 

 

"Belajar, tinggalkan dan belajar semula, tingkatkan serta tambah baik kemahiran dan kaedah supaya anda semua tetap relevan dalam apa sahaja arus perubahan yang melanda dunia," katanya. Nancy berkata pustakawan tidak kira di Perpustakaan Negara, perpustakaan awam, perpustakaan akademik, perpustakaan khusus dan pusat sumber sekolah telah banyak menyumbang kepada pembentukan masyarakat Malaysia berasaskan pengetahuan. 

 

"Usaha anda (pustakawan) semua telah turut berperanan dalam membentuk masyarakat berilmu serta berwawasan. Ini amat membantu ke arah pembangunan negara.

 

"Selamat menyambut Hari Pustakawan Malaysia dan semoga anda semua relevan dalam apa keadaan sekali pun!" katanya. - ©BERNAMA


Attachments