Manage PermissionsManage Permissions

Axle Motorsport akan sertai 24 Hours Of Le Mans Virtual

06/06/2020

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Axle Motorsport yang diterajui bekas pelumba F1 Alex Yoong terpilih sebagai antara 60 pasukan yang akan bertanding dalam perlumbaan maya menerusi trek rFactor 2 dikenali  "24 Hours of Le Mans Virtual" pada 13 dan 14 Jun ini.

 

Dalam kenyataannya hari ini, Axle Motorsport berkata pasukan mereka akan dibarisi rakyat Malaysia merangkumi pemandu yang pernah memenangi pertandingan dalam talian eRacing GP.

 

Memandangkan Le Mans mensyaratkan dua daripada empat pemandu adalah pelumba dalam realiti sebenar, Alister Yoong akan dinamakan sebagai pemandu kedua dalam kombinasi ayah-anak bagi Axle Motorsport.  

 

Dua lagi pemandu ialah pelumba sim terpantas di Malaysia pada masa ini, Naquib Azlan yang menamatkan saingan eRacing GP Edisi Global pertama di tempat kedua dan pelumba berpengalaman Mika Hakimi yang pernah memenangi beberapa perlumbaan lasak.

 

Mereka akan berlumba dalam kelas Le Mans Prototypes 2, memandu ORECA putih dan merah bernombor 21.

 

Pasukan Malaysia merupakan satu-satunya pasukan Asia yang tersenarai selain pasukan Toyota Gazoo Racing team dan mereka akan disertai pemandu seperti Fernando Alonso, Max Verstappen dan ramai lagi pemandu kereta lumba bertaraf dunia.

 

Perlumbaan maya itu diadakan berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memaksa perlumbaan ke-88 "24 Hours of Le Mans" ditangguhkan ke September ini. - ©BERNAMA

 


Attachments