Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : 11 kes dalam komuniti antara 291 kes baharu di Singapura

27/06/2020

​COVID-SINGAPURA (KES)/I

 



SINGAPURA, 27 Jun. - Singapura yang kini di minggu kedua Fasa Dua langkah 'pembukaan semula', hari ini mengesahkan 291 kes baharu jangkitan COVID-19, dengan 11 kes melibatkan jangkitan dalam komuniti.

 

Dalam data ringkas yang dikeluarkan tengah hari tadi, Kementerian Kesihatan Singapura berkata daripada 11 kes itu, lima adalah rakyat tempatan, manakala enam merupakan pemegang pas kerja.

 

Ia menjadikan angka keseluruhan jangkitan di Singapura kini berjumlah 43,246 kes, dengan kes pertama dikesan pada 23 Jan lepas.

 

Menurutnya kebanyakan kes masih melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

 

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,846 daripada kes berkenaan sebagai berkaitan dengan komuniti, 581 sebagai kes import, dan 40,528 melibatkan pekerja asing di asrama.

 

Sehingga tengah hari semalam, 36,825 pesakit, atau 86 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

 

Masih terdapat 183 kes disahkan yang sedang menerima rawatan di hospital, Jumaat, dengan satu kes kritikal kini ditempatkan di unit rawatan rapi.

 

Sementara itu menurutnya 5,921 pesakit dengan simptom ringan atau sembuh secara klinikal namun masih positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

 

Sehingga kini 26 orang telah meninggal dunia di Singapura akibat komplikasi yang berpunca daripada COVID-19, dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac.

 

Satu kluster dikenal pasti Jumaat, melibatkan sebuah asrama di 143 Tuas View Square, menurut kementerian itu. - ©BERNAMA




Attachments