Manage PermissionsManage Permissions

Dua kawasan pantai di Labuan diancam hakisan tahap kritikal

28/06/2020

LABUAN, 28 Jun. - Kerja-kerja menambak pantai dua buah kawasan yang kini berada dalam situasi hakisan yang kritikal di sini akan bermula awal tahun depan sebaik kontraktor dilantik melalui proses tender, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman.

 

Katanya, dua kawasan pantai berkenaan iaitu Pantai Sungai Pagar (berhampiran Terminal Minyak Mentah Labuan - LCOT) dan Pantai Kampung Sungai Miri yang menjadi tumpuan pelancong serta penduduk setempat untuk menyaksikan matahari terbenam.

 

"Hakisan semula jadi di kedua-dua pantai sangat kritikal. Usaha untuk melindungi kawasan pantai ini perlu dilakukan segera. Sembilan pantai yang lain juga akan terus dipantau," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan pantai berkenaan, yang turut disertai pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) hari ini.

 

Kawasan di kedua-dua pantai dikenali sebagai Pantai United Nation (Pantai UN'08) selepas ia menerima Anugerah Pantai Bersih daripada Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui kempen Bengkel dan Pembersihan Sampah Laut COBSEA ke-2 yang diadakan pada tahun 2008. Selain itu, katanya, kerja-kerja tebatan banjir juga akan dilakukan di beberapa buah sungai di pulau itu untuk mencegah banjir kilat. - ©BERNAMA


Attachments