Manage PermissionsManage Permissions

Penyahsulitan kotak hitam pesawat Ukraine bermula di Perancis 20 Julai

29/06/2020

MOSCOW, 29 Jun. - Proses penyahsulitan kotak hitam pesawat Ukraine yang ditembak jatuh, akan dilakukan di Perancis bermula 20 Julai, di bawah pengawasan pasukan Iran, kata Timbalan Menteri Luar untuk Hal Ehwal Undang-Undang Mohsen Baharvand.

 

Pada Mac, Pertubuhan Penerbangan Awam Iran mengesahkan perakam data pesawat PS752 yang terhempas di Tehran pada Januari lalu akan dihantar ke Ukraine atau Perancis untuk penyahsulitan. Perkara itu bagaimanapun ditangguhkan kerana pandemik COVID-19, lapor agensi berita Sputnik.

 

"Jika semua berjalan seperti yang dirancang dan tiada keadaan luar jangka berlaku, kotak hitam itu akan dihantar ke Perancis untuk penyahsulitan bermula 20 Julai," kata Baharvand.

 

Beliau berkata sepasukan pakar dari Iran akan mengetuai proses itu, bagaimanapun negara yang mempunyai kaitan dengan nahas boleh menghantar wakil mereka ke Perancis.

 

Pesawat penerbangan Ukrainian International Airlines PS752 terhempas sejurus berlepas dari Tehran, meragut 167 nyawa penumpang - kebanyakannya warga Kanada dan Iran serta sembilan anak kapal Ukraine - selepas pesawat itu dikatakan tidak sengaja ditembak jatuh pihak berkuasa Iran. - ©BERNAMA

 


Attachments