Manage PermissionsManage Permissions

Arab Saudi, AS gesa sekatan senjata Iran dilanjutkan

30/06/2020


RIYADH, 30 Jun. - Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin menggesa masyarakat antarabangsa melanjutkan sekatan senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Iran, dan memberi amaran tamatnya tempoh itu akan memberi peluang kepada Tehran untuk menyahstabilkan wilayah itu, lapor agensi berita Xinhua.

 

Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi Adel Al-Jubeir dan wakil khas AS untuk Iran Brian Hook berkata demikikan pada sidang media bersama di Riyadh.

 

Pada sidang media itu turut ditunjukkan dron dan peluru berpandu yang digunakan Houthi semasa menyerang bandar Arab Saudi baru-baru ini.

 

Al-Jubeir berkata Arab Saudi sedang berunding dengan semua anggota Majlis Keselamatan PBB mengenai bahaya menamatkan sekatan senjata itu.

 

Hook berkata jika ia ditamatkan, Iran akan dapat meningkatkan lagi kemampuan ketenteraannya dan memperoleh teknologi baharu.

 

"Senjata yang kita lihat hari ini menjadi bukti sekatan senjata itu perlu dilanjutkan," katanya sambil menegaskan Iran tidak dibenarkan untuk membangunkan senjata nuklear.

 

Sekatan senjata PBB ke atas Iran tamat pada 18 Oktober 2020. - ©BERNAMA



Attachments