Manage PermissionsManage Permissions

Peniaga didakwa ugut bunuh ibu kandung

30/06/2020

 


MELAKA, 30 Jun. - Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut mahu membunuh ibu kandungnya, Khamis lepas.

 

Tertuduh, Muhammad Shaifulzaini Pazeli, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

 

Bapa tiga anak itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Noor Jahan Beevi Abdul Jabar, 48, untuk mendatangkan ketakutan dengan cara mengeluarkan kata-kata mahu membunuh mangsa di sebuah rumah di Taman Tun Rahah, Ayer Keroh, di sini pada 7.30 malam, 25 Jun lepas.

 

Pendakwaan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan jika ugutannya menyebabkan kematian atau cedera parah boleh dihukum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan atas alasan dia perlu menanggung anak dan isteri.

 

Majistret Muhammad Nazrin membenarkan Muhammad Shaifulzaini diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu dia tidak boleh mengacau ganggu ibunya.

 

Mahkamah menetapkan 13 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. - ¬©BERNAMA 


300620_UGUT1.jpg

MELAKA, 30 Jun. - Peniaga Muhammad Shaifulzaini Pazeli, 28, (tengah) diiringi keluar oleh dua anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan mengugut mahu membunuh ibu kandungnya, Khamis lepas.

Bapa tiga anak itu didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Noor Jahan Beevi Abdul Jabar, 48, untuk mendatangkan ketakutan dengan cara mengeluarkan kata-kata mahu membunuh mangsa di sebuah rumah di Taman Tun Rahah, Ayer Keroh, 25 Jun lepas.

Mahkamah menetapkan 13 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. - ©BERNAMA



Attachments