Manage PermissionsManage Permissions

Maduro arah Duta EU tinggalkan Venezuela

30/06/2020


BOGOTA (Colombia), 30 Jun -- Presiden Nicolas Maduro pada Isnin mengarahkan duta Kesatuan Eropah (EU) meninggalkan negara itu dalam tempoh 72 jam selepas EU mengenakan sekatan terhadap sekumpulan pegawai Venezuela.

 

"Saya memutuskan untuk memberikan tempoh 72 jam kepada duta EU supaya meninggalkan negara ini," kata Maduro dalam ucapannya yang disiarkan televisyen tempatan.

 

Beliau merujuk kepada duta Isabel Brilhante Pedrosa, lapor agensi berita Anadolu.

 

EU pada Isnin mengenakan sekatan terhadap 11 pegawai Venezuela kerana membantah Majlis Negara yang dikuasai pihak menentang pemerintahan Maduro.

 

Sehingga kini seramai 36 pegawai telah dikenakan sekatan, yang pada pendapat blok itu, mengganggu-gugat demokrasi, undang-undang dan hak asasi manusia di Venezuela. Sekatan itu termasuk larangan perjalanan dan pembekuan aset.

 

Maduro yang mengkritik tindakan itu dan berkata "Cukuplah dengan intervensionisme kolonial dan rasisme...jangan melampau."  - ©BERNAMA



Attachments