Manage PermissionsManage Permissions

CAAT benar 11 kategori pelancong asing masuk ke Thailand

30/06/2020


BANGKOK, 30 Jun -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) melanjutkan lagi larangan sementara untuk penerbangan antarabangsa, bagaimanapun, penerbangan yang membawa 11 kategori pelancong asing dibenarkan masuk ke negara ini, bermula esok.

 

Ketua Pengarah CAAT Chula Sukmanop berkata larangan itu tidak tertakhluk kepada pesawat negara atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau bantuan, penerbangan membawa pulang warganegara dan penerbangan kargo.

 

"Disebabkan keadaan COVID-19 di banyak negara asing buat masa ini masih serius, perlu untuk mengambil langkah mengehadkan perjalanan masuk ke Thailand, sesuai dengan kemampuan mengendalikan pemeriksaan kesihatan untuk memastikan ia dapat dilakukan dengan efisien," katanya dalam satu kenyataan.

 

Chula berkata, permit untuk pesawat penumpang akan dikeluarkan CAAT jika penumpang berada dalam pesawat terdiri warga Thailand, tetamu kerajaan, pasangan dan anak-anak rakyat Thailand dan penduduk tetap.

 

Selain itu, katanya, syarikat penerbangan membawa pemegang permit kerja, pelajar asing dan ibu bapa atau penjaga mereka, yang memerlukan rawatan perubatan (kecuali rawatan COVID-19), diplomat termasuk pasangan, ibu bapa atau anak-anak, dan mereka yang di bawah perjanjian khusus dengan negara asing, dibenarkan memasuki negara ini.

 

Pesawat mengangkut barang pula perlu meninggalkan negara ini sebaik tugas penghantaran selesai. Sementara itu, hanya kru yang perlu melakukan perjalanan di Thailand dan mempunyai tarikh serta masa pulang ke negara asal, diberi kebenaran masuk.

 

"Pesawat dan penumpang yang masuk ke Thailand perlu mematuhi syarat, had waktu dan peraturan di bawah undang-undang ditetapkan," katanya.

 

Larangan itu mula dikuat kuasa dari 4 April hingga 6 April sebelum dilanjutkan hingga 18 April. Kemudian, ia dilanjutkan lagi sehingga 30 April, 31 Mei dan 30 Jun.

 

Semalam, Thailand mengumumkan akan membenarkan enam kategori warga asing yang boleh masuk ke negara itu bermula 1 Julai. - ©BERNAMA



Attachments