Manage PermissionsManage Permissions

Boeing 737 MAX mulakan ujian penerbangan

30/06/2020


SAN FRANCISCO, 30 Jun -- Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) pada Isnin memulakan ujian penerbangan Boeing 737 MAX pada Isnin, sebelum pesawat itu boleh kembali beroperasi selepas perkhidmatannya digantung, lapor agensi berita Xinhua.

 

Sebuah pesawat Boeing 737 MAX berlepas dari Boeing Field di Seattle untuk melakukan ujian penerbangan pusingan pertama bagi proses pensijilan, kata FAA dalam satu kenyataan.

 

FAA turut mengesahkan pihaknya dan Boeing sedang melaksanakan program ujian pada minggu ini untuk menilai perubahan yang dicadangkan Boeing pada sistem kawalan penerbangan automatik 737 MAX.

 

Proses itu mengambil masa kira-kira tiga hari, merangkumi pelbagai prosedur untuk memenuhi standard pensijilan FAA. Ujian dijalankan oleh juruterbang dan jurutera dari FAA dan Boeing.

 

Pesawat Boeing 737 MAX digantung perkhidmatannya di seluruh dunia sejak awal Mac tahun lalu, berikutan banyak bukti menunjukkan perisian kawalan penerbangan pesawat itu menjadi punca kepada dua nahas udara yang mengorbankan banyak nyawa dalam masa kurang setahun. - ©BERNAMA



Attachments