Manage PermissionsManage Permissions

Huawei kini penjual telefon pintar terbesar dunia, kalahkan Samsung

30/07/2020

MOSCOW, 30 Julai. - Gergasi telekomunikasi China, Huawei kini muncul penjual telefon pintar terbesar dunia pada suku kedua 2020, mengalahkan Samsung Electronics Korea Selatan, lapor agensi berita Sputnik, memetik syarikat penyelidikan teknologi antarabangsa Canalys pada Khamis.

 

"#Huawei mengalahkan #Samsung buat pertama kalinya di pasaran telefon pintar seluruh dunia pada suku kedua 2020," tulis Canalys di Twitter.

 

Menurut firma teknologi itu, ia juga sekaligus menandakan pertama kali dalam tempoh sembilan tahun, syarikat lain selain Samsung atau Apple menguasai pasaran telefon pintar.

 

Huawei membuat penghantaran sebanyak 55.8 juta telefon pintar, menurun lima peratus tahun ke tahun, sebaliknya Samsung hanya menghantar 53.7 juta - penurunan 30 peratus.

 

Jualan antarabangsa Huawei merosot 27 peratus, berbanding suku pertama tahun ini, tetapi syarikat itu meningkatkan kehadirannya di pasaran domestik China sebanyak lapan peratus.

 

Penguasaan global Huawei muncul di tengah-tengah sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat itu - Huawei disenarai hitam oleh AS yang menyekat aksesnya kepada teknologi Amerika.

 

Washington menuduh syarikat itu bekerjasama dengan perkhidmatan perisik China dan menggunakan peralatannya untuk tujuan pengawasan secara haram, namun, dinafikan syarikat berkenaan dan menyifatkan tuduhan berkenaan bermotifkan politik dan antipersaingan. - ©BERNAMA


Attachments