Manage PermissionsManage Permissions

Majlis ibadah korban di Sarawak dipantau

31/07/2020





KUCHING, 31 Julai. - Majlis ibadah korban selama tiga hari di Sarawak, yang bermula hari ini ,akan dipantau bagi memastikan pihak pengelola mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Islam Sarawak (MIS).

 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Dewan Bandaraya Kuching Utara), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, berkata pematuhan terhadap garis panduan dan SOP adalah perlu sebagai langkah berjaga-jaga dalam mengekang risiko penularan wabak COVID-19.

 

"Antara garis panduan dan SOP yang ditetapkan MIS dan wajib dipatuhi semua ahli jawatankuasa pengelola ialah semua majlis ibadah korban hanya dibenarkan di dewan atau perkarangan masjid, surau dan rumah penyembelihan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Korban Perdana peringkat negeri di Dewan Hikmah di sini, hari ini.

 

Katanya, jawatankuasa pengelola juga wajib mendapatkan kebenaran bertulis daripada MIS dan Jabatan Veterinar untuk pengesahan kesihatan lembu-lembu yang hendak dikorbankan.

 

Beliau berkata urusan kerja pula dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu bahagian penyembelihan hanya 10 orang dibenarkan, pelapahan 20 orang dan bahagian penimbangan dan penyampaian 20 orang.

 

Selain itu, katanya setiap tempat hanya dibenarkan untuk menyembelih tidak lebih daripada 10 ekor lembu dalam satu masa dan daging korban akan diagihkan oleh ahli jawatankuasa pengelola ke rumah penerima.

 

''Setakat ini saya menerima maklumat bahawa semua tempat yang mengadakan majlis ibadah korban hari ini mematuhi garis panduan dan SOP yang ditetapkan,'' katanya.

 

Katanya, garis panduan berkenaan adalah bagi memastikan setiap orang yang mengambil bahagian mematuhi penjarakan fizikal, menyediakan pensanitasi tangan dan mengambil suhu badan, selain mengurangkan bilangan orang yang hadir. - ©BERNAMA




Attachments