Manage PermissionsManage Permissions

Masyarakat Bidayuh Muslim di Padawan laksana ibadah korban

31/07/2020







PADAWAN (Sarawak), 31 Julai. - Penduduk berturunan Bidayuh yang beragama Islam di Kampung Darul Islam di sini tidak ketinggalan menjalankan ibadah korban bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

 

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II Willie Mongin yang merupakan Ahli Parlimen Puncak Borneo adalah antara penyumbang untuk ibadah itu dengan serahan seekor lembu kepada pengerusi jawatankuasa masjid kampung berkenaan Hussein Banyak.

 

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Willie menyumbang untuk ibadah korban yang diharapkannya dapat membantu umat Islam di sini melaksanakan ibadah itu dengan sempurna.

 

Selain itu, pihak masjid kampung berkenaan turut menerima beberapa ekor lembu daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan beberapa individu.

 

Menurut wakil penduduk kampung berkenaan Musa Mohd Syaid, ibadah korban termasuk agihan daging dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Islam Sarawak bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19. - ©BERNAMA




Attachments