Manage PermissionsManage Permissions

Pembantu rumah ditahan disyaki dera kanak-kanak

31/07/2020





SHAH ALAM, 31 Julai. - Polis menahan seorang pembantu rumah semalam disyaki mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun di Taman Klang Perdana, Klang, dekat sini, Rabu lalu. Mangsa telah melecur di bahagian belakang badan, punggung dan paha apabila terkena air panas ketika wanita warga Indonesia berusia 30-an itu sedang memandikan mangsa di bilik air.

 

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek wanita itu ditahan pada jam 1.30 pagi selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada majikannya. Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, nenek mangsa (pengadu) mendengar cucunya (mangsa) menangis selepas orang gajinya memandikan mangsa dengan air panas, katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata berdasarkan laporan, suspek dikatakan berbuat demikian kerana tidak mahu lagi bekerja dan ingin pulang ke Indonesia.

 

Katanya, siasatan mendapati suspek yang mula bekerja sejak November tahun lepas itu tidak mempunyai sebarang masalah dengan majikannya sebelum ini. "Suspek juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, dia kini direman empat hari sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001," katanya. - ©BERNAMA




Attachments