Manage PermissionsManage Permissions

21 warga tempatan ditahan disyaki terlibat judi haram

01/08/2020




KUALA LUMPUR, 1 Ogos. - Polis menahan 21 warga tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian (mahjong) dalam Op Dadu di sebuah rumah di Jalan 20/7 Taman Paramount, Petaling Jaya, semalam. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata serbuan pada kira-kira 4 petang itu telah membawa kepada penahanan 16 lelaki dan lima wanita warga tempatan, berumur 35 hingga 77 tahun, termasuk seorang lelaki yang dipercayai pemilik premis. "Pemeriksaan mendapati individu-individu berkenaan sedang leka berjudi mengunakan batu mahjong di atas sebuah meja dengan mempertaruhkan beberapa keping wang ringgit, serta cip yang boleh ditukarkan dengan nilai wang.

 

"Polis merampas pelbagai jenis barang yang disyaki digunakan untuk aktiviti perjudian (mahjong) dan wang tunai lebih kurang RM3,413," katanya dalam kenyataan hari ini. Nik Ezanee berkata semua suspek disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan telah dibebaskan dengan jaminan polis. "Mereka juga dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana kesalahan di bawah Peraturan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 7) 2020," katanya. - ©BERNAMA




Attachments