Manage PermissionsManage Permissions

Perjanjian pulihkan hubungan, delegasi Israel berlepas ke Washington

14/09/2020





BAITULMAQDIS, 14 Sept. - Delegasi Israel diketuai Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berlepas ke Washington pada Ahad malam untuk menghadiri majlis menandatangani perjanjian mengenai memulihkan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, lapor agensi berita Xinhua.

 

Turut serta dalam delegasi itu termasuk ketua agensi perisikan Mossad Israel Yossi Cohen dan Penasihat Keselamatan Negara Meir Ben-Shabbat.

 

"Malam ini, saya akan memulakan misi bersejarah bagi pihak rakyat Israel," kata Netanyahu pada sidang media Ahad pagi, sambil menambah perjanjian itu akan membawa "perdamaian dan berbilion dolar untuk ekonomi (Israel)".

 

Sementara itu, Cohen berkata Israel berhasrat untuk mencapai perjanjian damai dengan "lebih banyak negara".

 

Majlis dijadual diadakan pada Selasa di Rumah Putih, bakal dihadiri Presiden Donald Trump, Menteri Luar UAE, Abdullah bin Zayed dan Menteri Luar Bahrain, Abdullatif bin Rashid Al Zayani. - ©BERNAMA




Attachments