Manage PermissionsManage Permissions

Persidangan wartawan Sedunia 2020 tumpu isu COVID-19, berita tidak benar

15/09/2020







KUALA LUMPUR, 15 Sept - Persidangan Wartawan Sedunia 2020 (WJC 2020) membuka tirainya di Seoul pada Isnin, dengan Perdana Menteri Korea Selatan Chung Sye-kyun menyuarakan sokongan padunya kepada wartawan di saat mencabar akibat pandemik COVID-19 dan berharap perhimpunan kali ini memperkukuh mengenai kepentingan kewartawanan.

 

WJC kelapan tahun ini diadakan secara dalam talian berikutan larangan perjalanan disebabkan COVID-19, menurut laporan The Asian.

 

"Walaupun baru berusia lapan tahun, namun, persidangan itu sudah dianggap sebagai satu contoh diplomasi awam yang sangat penting," kata perdana menteri dalam ucapannya.

 

Tambah beliau dunia yang terkepung akibat pandemik yang belum pernah berlaku sebelum ini di era moden dan kesan kemelesetan ekonomi, diburukkan lagi dengan penyebaran berita tidak benar.

 

Katanya, untuk memastikan kebebasan bersuara tidak dihalang, peraturan untuk menangani berita tidak benar perlu diteliti dengan sebaik mungkin.

 

"Pendekatan itulah yang cuba dilakukan kerajaan Korea dalam menangani masalah berita tidak benar mengenai COVID-19. Apatah lagi apabila maklumat itu menimbulkan masalah sosial yang serius, mengancam kesihatan dan keselamatan rakyat.

 

Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Korea (JAK) Dong Hoon Kim menekankan mengenai pentingnya komitmen wartawan terhadap kebenaran, walaupun berdepan banyak cabaran ditimbulkan COVID-19 dan penyebaran berita tidak benar.

 

"Walaupun berbeza jantina, warna kulit dan ideologi, kami masih memiliki beberapa persamaan. Kami semua wartawan bekerja keras untuk menyebarkan kebenaran demi keamanan dan kebebasan," katanya pada perasmian WJC 2020 di Seoul.

 

Persidangan tiga hari itu menampilkan tiga tema utama - Berita tidak benar dan masa depan kewartawanan, tindak balas global terhadap COVID-19 dan kawalan penyakit dan ulang tahun ke-70 Perang Korea dan dasar perdamaian di Semenanjung Korea.

 

Ditubuhkan pada 1964, Persatuan Wartawan Korea adalah persatuan wartawan terbesar di negara ini dengan lebih 10,000 ahli daripada 188 syarikat media. - ¬©BERNAMA 




Attachments