Manage PermissionsManage Permissions

China lanjutkan pengecualian tarif beberapa barangan AS

15/09/2020







MOSCOW, 15 Sept - China akan melanjutkan pengecualian tarif untuk beberapa produk yang diimport dari Amerika Syarikat (AS) selama setahun lagi, lapor Agensi Berita Sputnik memetik penyiar CGTN.

 

September lalu, Beijing mengeluarkan dua senarai mengandungi 16 barangan AS yang dikecualikan duti import selama setahun mulai 17 September 2019.

 

Antara barang yang dikecualikan adalah serbuk alfalfa organik, makanan ikan dan pelbagai jenis produk pelincir.

Menurut CGTN memetik Kementerian Kewangan China, pengecualian untuk mengimport 16 produk itu bakal berakhir pada Rabu, akan dilanjutkan sehingga 16 September 2021.

 

Duti import tambahan diperkenalkan sebagai sebahagian usaha untuk menamatkan pertikaian perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu yang mula tercetus pada Jun 2018.

 

Kedua-dua negara kemudian menandatangani perjanjian pada pertengahan Januari.

 

Di bawah perjanjian itu Beijing bersetuju untuk meningkatkan pembelian barangan dan perkhidmatan AS sebanyak $200 bilion selama dua tahun.

 

Rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan untuk langkah seterusnya dalam menyelesaikan kemelut perang perdagangan itu. - ©BERNAMA




Attachments