Manage PermissionsManage Permissions

Kebakaran musnahkan sebahagian kawasan paya terbesar di Brazil

15/09/2020





BOGOTA, 15 Sept - Kebakaran yang berlaku di tanah paya di tengah Brazil, menyebabkan banyak kemusnahan di kawasan yang dianggap sebagai syurga biodiversiti itu, lapor Agensi Anadolu.

 

Hampir 12 peratus tanah paya tropika terbesar di dunia itu musnah, sekali gus mengganggu ekosistem di kawasan berkenaan.

 

Menurut pihak berkuasa kebakaran dikatakan berpunca akibat aktiviti pembersihan kawasan tanah oleh penternak dan petani, keadaan diburukkan lagi dengan kemarau, yang disifatkan terburuk pernah melanda dalam tempoh 47 tahun.

 

Hutan meliputi wilayah Bolivia dan Paraguay itu merupakan kawasan untuk kira-kira 1,200 haiwan vertebrata, termasuk 36 spesies yang semakin terancam. Wilayah ini juga dihuni burung langka dan populasi jaguar, paling padat di dunia.

 

Menurut saintis anggaran kerugian sukar dipastikan. Institut Penyelidikan Angkasa Kebangsaan melaporkan dari Januari hingga September, 14,764 kebakaran berlaku di kawasan flora dan fauna di Brazil, peningkatan 214 peratus dari tempoh sama pada 2019.

 

Aktiviti penebangan hutan memburukkan lagi keadaan dan aktivis alam sekitar menyalahkan Presiden Jair Bolsonaro kerana menggalakkan campur tangan di kawasan pemuliharaan itu. - ©BERNAMA 




Attachments