Manage PermissionsManage Permissions

'Battle Of Jitra' signifikan kepada sejarah Kedah

16/09/2020





ALOR SETAR, 16 Sept. - 'Battle of Jitra' amat signifikan dalam catatan sejarah Kedah, apabila pertempuran yang bermula di Jitra semasa Perang Dunia Ke-2 itu, menyebabkan British mula kalah di sebelah Timur selepas berperang dengan Jepun pada 11 hingga 13 Dis 1941.

 

Pertempuran itu juga menjadi titik permulaan kepada operasi ketenteraan Jepun di bawah kepimpinan Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita, yang bermula pada 11 Dis 1941 sehingga kejatuhan Singapura ke tangan Jepun pada 15 Feb 1942.

 

Pengarah Muzium Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Kasri Saidon berkata, Jitra merupakan bandar utama pada masa itu yang perlu dipertahankan British, berikutan kedudukan Jitra berada kira-kira 10 kilometer ke arah selatan di mana terletaknya Lapangan Terbang Kepala Batas dekat Alor Setar.

 

''Sebelum pertempuran itu berlaku, pihak British menyedari akan rancangan Jepun yang mahu menawan Tanah Melayu, dan telah melakukan pelbagai persediaan termasuk membuat kubu pertahanan, selain menempatkan aset ketenteraan seperti meriam di kawasan sekitar Changlun, Asun dan Nongka, dekat Kubang Pasu ini,'' katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

Mohd Kasri berkata bagaimanapun pihak British tidak menjangkakan daripada segi taktikal peperangan tentera Jepun, apabila serangan berlaku pada musim tengkujuh sehingga menyebabkan kubu yang dibina di kawasan sawah, tidak dapat digunakan secara efektif setelah dinaiki air.

 

''British yang turut menggunakan pasukan tentera dari Australia, India dan Gurkha pada masa itu, agak kelam-kabut berbanding tentera Jepun yang lebih berpengalaman dan berkemahiran dalam aspek taktikal peperangan, kerana mereka baharu sahaja selesai berperang di Indo-China...ini siri perang yang besar, di sinilah (Jitra) tempat pertama British mula tewas, di sebelah Timur,'' katanya.

 

Untuk rekod, strategi peperangan tentera British yang diketuai Mejar Jeneral David Murray-Lyon ketika itu yang sepatutnya mampu bertahan selama tiga bulan, hanya bertahan tiga hari selepas Jepun berjaya menumpaskan pihak lawan, dan ini mempercepatkan pergerakan tentera Jepun.

 

Menurut Mohd Kasri, kemuncak pertempuran itu yang membawa kepada kekalahan tentera British, apabila British sendiri meletupkan tempat simpanan minyak di Lapangan Terbang Kepala Batas supaya Jepun tidak dapat menggunakan lapangan terbang dan minyak berkenaan.

 

''Susulan letupan ini, semangat tentera British yang berada pada barisan belakang luntur bagi terus pertahankan pasukan mereka dan membuat serangan, sekali gus terpaksa berundur sehingga memberikan keselesaan kepada tentera Jepun untuk memasuki kawasan Alor Setar,'' katanya.

 

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Baru di Bukit Pinang dekat Alor Setar yang pernah menyaksikan pertempuran tersebut Romli Salleh, 94, berkata, beliau mendengar letupan sangat kuat dari arah Lapangan Terbang Kepala Batas dan melihat asap hitam berkepul-kepul ke udara, pada Disember 1941 itu.

Romli yang ketika itu berusia belasan tahun berkata, susulan kejadian berkenaan ada penduduk kampung yang lari bertempiaran, kerana ketakutan akan bunyi letupan yang kuat tersebut.

 

Beliau yang masih mengingati beberapa ayat dalam Bahasa Jepun itu menarik perhatian, tapak rumah yang didiami bersama isteri sekarang, pernah menjadi tempat bengkel tentera Jepun pada masa itu.

 

''Saya juga pernah bekerja sebagai buruh kepada pihak Jepun, termasuk disuruh mencabut rumput dengan gaji RM1 dan pernah merasai ditampar tentera Jepun bersama rakan saya yang dikenali sebagai panggilan 'Hamid', pada ketika itu. Waktu zaman Jepun ini kita hidup susah, nak dapat beras makan pun susah,'' katanya. - ©BERNAMA



01.JPG


KAPSYEN :

 

 

ALOR SETAR, 16 Sept. - Senjata lama yang digunakan oleh tentera Jepun dalam pertempuran 'Battle of Jitra' dengan tentera British pada tahun 1941 untuk menawan Tanah Melayu disimpan dan dipamerkan di Muzium Universiti Utara Malaysia, Sintok. Pertempuran ini amat signifikan dalam catatan sejarah Kedah, apabila pertempuran yang bermula di Jitra semasa Perang Dunia ke-2, menyebabkan British mula kalah di sebelah Timur selepas berperang dengan Jepun pada 11 hingga 13 Disember 1941. Pertempuran itu juga menjadi titik permulaan kepada operasi ketenteraan Jepun di bawah kepimpinan Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita, yang bermula pada 11 Dis 1941 sehingga kejatuhan Singapura ke tangan Jepun pada 15 Feb 1942. - ©BERNAMA




Attachments