Manage PermissionsManage Permissions

Selfie Ria tawar pengalaman baharu swafoto di Langkawi

16/09/2020





LANGKAWI, 16 Sept. - Penggemar swafoto kini berpeluang menyerlahkan kreativiti masing-masing menerusi Selfie Ria: Selfie Museum The Dessert Series, tarikan terbaharu di Oriental Village, di sini yang dilancarkan secara rasmi hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dr Hezri Adnan berkata produk terbaharu itu dibangunkan secara kerjasama Panorama Langkawi Sdn Bhd, pengendali Langkawi SkyCab, dengan sebuah syarikat swasta.

 

"Muzium ini mengetengahkan seni swafoto dengan memberi peluang kepada pengunjung meneroka pelbagai ruang tarikan yang disediakan termasuk 'starlight room', sebuah bilik berkonsepkan cermin infiniti yang nampak seolah-olah tiada penghujung.

 

"Pengunjung akan diajar oleh petugas di sini pelbagai kaedah terbaik untuk swafoto. Saya rasa produk baharu ini bakal menjadi satu lagi pilihan kepada pelbagai tarikan sedia ada di Oriental Village," katanya selepas merasmikan Selfie Ria: Selfie Museum The Dessert Series yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn Bhd Rohizat Hashim di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Pengurus Selfie Ria: Selfie Museum The Dessert Series Noor Ain Mohamad Khalil berkata tarikan terbaharu tersebut menyediakan lima zon swafoto kepada pengunjung iaitu doughnut zone, cupcakes and ice cream zone, candy zone, starlight room dan neon light zone.

 

"Muzium ini beroperasi setiap hari bermula 9 pagi hingga 6 petang. Tiket dijual pada harga RM22 untuk pemegang MyKad/MyKid (dewasa dan kanak-kanak), manakala pelancong asing RM27 dan setiap pembelian tiket pengunjung akan diberi dua pencuci mulut secara percuma," katanya. - ©BERNAMA




Attachments