Manage PermissionsManage Permissions

Anggota Senat Brazil letak jawatan selepas duit dijumpai di pakaian dalamnya

16/10/2020

BOGOTA (Colombia), 16 Okt. - Anggota parlimen Brazil, Chico Rodrigues, terpaksa meletakkan jawatan sebagai anggota Senat pada Khamis selepas polis menjumpai wang tunai tersembunyi di pakaian dalamnya semasa rumahnya digeledah, lapor Agensi Anadolu.

 

Serbuan itu sebagai sebahagian siasatan oleh pihak berkuasa berhubung tuduhan penyalahgunaan 20 juta reais (US$3.5 juta) dana awam untuk memerangi COVID-19, menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Komunikasi.

 

Kira-kira 30,000 reais (US$5,000) dijumpai di rumah anggota kongres itu, memetik majalah Crusoe dan akhbar Folha. Sebahagian wang dijumpai di pakaian dalamnya.

 

Rodrigues berkata akan membuktikan dirinya tidak terlibat dengan rasuah.

 

"Rumah saya diceroboh kerana telah menjalankan tugas saya sebagai anggota parlimen, mendapatkan sumber bagi negeri untuk memerangi COVID-19," katanya.

 

"Saya percaya pada keadilan dan saya akan membuktikan saya tidak ada kaitan dengan perbuatan haram itu".

 

Rodrigues merupakan wakil rakyat negeri Roraima dan dipilih sebagai timbalan ketua pentadbiran Presiden Jair Bolsonaro.

 

Bolsonaro berkata serbuan itu membuktikan kerajaan pimpinannya memerangi rasuah tanpa mengira pangkat, kedudukan atau siapa yang melakukan. - ©BERNAMA

 


Attachments