Manage PermissionsManage Permissions

Perintah darurat di Bangkok perlu, kata PM Prayuth

16/10/2020

BANGKOK, 16 Okt - Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha berkata langkah menguatkuasakan perintah darurat di Bangkok perlu, berikutan insiden tunjuk perasaan pada 13 dan 14 Oktober yang disifatkan tidak pernah berlaku sebelum ini.

 

Semalam, Prayuth mengisytiharkan darurat untuk melarang perhimpunan awam melebihi lima orang, berkuat kuasa 4 pagi (waktu tempatan) pada Khamis dalam usaha menamatkan protes jalanan dipimpin pelajar yang sudah berlarutan selama tiga bulan.

 

"Kerajaan membuat keputusan itu untuk menentang pihak yang melanggar larangan perjumpaan politik memandangkan ia boleh bertukar menjadi ganas. Ia juga untuk melindungi keselamatan awam.

 

"Protes itu merosakkan ekonomi, keselamatan negara dan usaha kerajaan untuk membendung penularan COVID-19. Justeru, langkah darurat sangat diperlukan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

 

Antara insiden yang tercetus termasuk penunjuk perasaan menghalang perarakan diraja pada Rabu.

 

Terdahulu, Prayuth mempengerusikan mesyuarat kabinet di Pejabat Perdana Menteri untuk meluluskan dekri darurat.

 

Beliau berkata ia akan dikuatkuasakan selama 30 hari atau kurang jika keadaan kembali tenang.

Sementara itu, Prayuth berkata tidak akan meletakkan jawatan meskipun di tengah-tengah protes antikerajaan yang tercetus.

 

Semalam, ribuan penunjuk perasaan tidak mengendahkan larangan itu dan tetap mengadakan demonstrasi yang disifatkan terbesar, di persimpangan Ratchaprasong di Bangkok, mengulangi tuntutan supaya perdana menteri berundur, pembubaran parlimen, pindaan perlembagaan dan reformasi monarki.

 

"Saya tidak akan berhenti," ujar Prayuth.

 

Sementara itu, Jurucakap Kerajaan Anucha Burapachaisri berkata kerajaan memberi jaminan kebebasan bersuara kepada rakyat di bawah perlembagaan.

 

Namun, langkah pencegahan termasuk pengisytiharan darurat diperlukan untuk mengurangkan ketegangan, katanya.

 

Protes pada 13 dan 14 Oktober itu didapati melanggar undang-undang dan menjejaskan keselamatan negara dan orang awam. Ia bukan perhimpunan aman di bawah perlembagaan.

 

"Prihatin dengan situasi sekarang, kerajaan beranggapan perlu untuk menerapkan tindakan pencegahan bagi mengurangi kekerasan dan mendorong semua pihak bertenang," katanya. - ©BERNAMA


Attachments